KISSER 60 : BUNUH

BUNUH

Oleh : Ketilang Sepi

~~~~~~~~~~~~~

“Tell me, Nurul. Who was he…?”

Sebaris pertanyaan terhambur keluar dari mulut Dato Bador. Nurul Badariah hanya menekur lantai, sambil memeluk lutut. Matanya basah, tubuhnya sesekali terhinggut.

“Kenapa Nurul buat macam ni kat kami?? Sampai hati Nurul conteng arang kat muka Ummi dan Baba. Tak rasa malu dengan Allah ke…?” Datin Rabiah sudah hilang jelitanya, kerana menangis sejak petang tadi.

“Answer me, Nurul!! Kau berzina dengan siapa…?” 

Tangan Dato Bador sudah tinggi melepasi bahu. Nurul Badariah masih diam membeku. Hanya tangisan yang terdengar. Tiada jawapan yang diberi.

“Besok kita pergi klinik, budak tu mesti dibuang. Baba tak nak ada zuriat haram dalam rumah ni. This is my final decision…,” ungkap Dato Bador.

“No!! Nurul tak nak…!!” Jawab gadis itu.

“I don’t care. Baba kata gugurkan. I don’t want to keep it in my house…!!” Balas Dato Bador.

“She is not just simply an it. She is my child…!!” bentak Nurul Badariah.

Mata Dato Bador terbuntang. Kalau sudah tahu jantina, maknanya Nurul Badariah sudah lama tahu tentang kandungannya. Bagaimana dia mampu menyembunyikan segalanya, tanpa sebarang tanda?

“Who is the father?? Tell me…,” nada suara Dato Bador mulai kendur.

Dia tahu, tak ada gunanya dia berkeras lagi. Nurul Badariah sudah cukup dewasa. Nurul Badariah anak bongsu yang paling rapat dengannya. Buah hati pengarang jantung. Dia tak mahu hubungan mereka menjadi renggang. Tapi, bayi itu tidak akan lahir dalam keluarga mereka. Itu muktamad.

“Razis…,” pendek sahaja jawapan Nurul Badariah.

“Razis?? Siapa dia?? Anak Dato mana…?” Tanya Datin Rabiah. Dato Bador menjeling tajam ke arah isterinya.

“Bukankah Razis dah meninggal?? Atau, ada Razis lain…?” Dato Bador merenung wajah anaknya.

“Razis mana ni, Baba? Anyone I know…?” Datin Rabiah kelihatan masih keliru.

“Razis, budak pejabat kita. Budak yang awak tak suka tu laaa…,” balas Dato Bador.

“Budak despatch tu??”

Nurul Badariah diam. Dato Bador hanya mengeluh.

“Dia bapa kepada anak kami. I love him…,” bisik Nurul Badariah.

“What??? No way!! Nurul tak malu ke, buat hubungan dengan budak macam tu?? Bukan aje setakat bercinta, sampai ke tahap berzina pulak. Ummi tak nak zuriat budak tu, ada dalam keluarga kita. No!! Besok kita pergi gugurkan..!!”

“Ummi….!!!” Nurul Badariah menangis. Meraung. Namun, keputusan sudah dibuat. Bukan sahaja oleh Babanya, namun Umminya juga. Tangisan sudah tidak lagi mampu menghalang tindakan itu.

***********

Suasana rumah agam di pinggir bandar itu, kelihatan agak suram. Malah, sangat suram dan sunyi. Televisyen yang terpasang, tak mampu menambah keriangan dalam ruang tamu. Dato Bador hanya memandang kosong ke arah peti bergambar itu.

Suasana sepi dan sejuk, yang ditambah oleh alat pendingin hawa, membuatkan hati Dato Bador sedikit sayu. Datin Rabiah sudah lama melancarkan konfrantasi dengan Nurul Badariah.

Makan minum si anak, tidak lagi dipedulikan. Hanya Dato Bador yang memberi arahan kepada Mak Nab, pembantu rumahnya, untuk menghantar makanan ke bilik Nurul Badariah.

Dan, setiap kali dulang makanan diambil kembali, tiada sesudu nasi pun yang luak. Hanya sedikit air, dan buah yang dikecap, itupun setelah dipaksa oleh Mak Nab.

Dato Bador terasa kehilangan. Anak yang selama ini menjadi penghibur hati, kini sudah tidak seperti dulu lagi. Walaupun sudah sebulan segala urusan menggugurkan kandungan Nurul Badariah dibuat, suasana masih terasa beku.

Dato Bador tahu, Nurul Badariah masih marah dengan keputusan yang dibuat. Malah, masih terbayang-bayang di matanya saat kedua belah tangan dan kaki anaknya itu terpaksa diikat ke katil hospital, bila Nurul Badariah memberontak dan cuba hendak lari.

Dia benar-benar tidak mahu bayinya digugurkan. Sangat sayangnya dia kepada anak itu, walaupun ia hasil penzinaan dengan pekerja Babanya. Berkali-kali Nurul Badariah merayu, agar Dato Badar dan Datin Rabiah mengubah keputusan.

Namun, sebaik Dato Badar memberi arahan, ubat tidur disuntik ke lengan Nurul Badariah. Dan, di saat gadis itu berada dalam keadaan separuh sedar, satu lagi suntikan diberi, untuk memaksa agar dia dapat melahirkan segera.

**********

“Allahuakbar. Allah, ampunkan aku….,” Dato Bador mengeluh. Airmatanya tumpah.

Alangkah seksanya Nurul Badariah ketika itu. Tak seorang pun yang sanggup melihat keadaannya yang dipaksa melahirkan, dalam keadaan di bawah pengaruh dadah. Tanpa dia sedar, satu jasad yang selama ini berkongsi nyawa dengannya, disentap keluar secara paksa, dari tubuhnya.

Doktor bertugas hanya berusaha melakukan semuanya, secepat mungkin. Dua orang jururawat yang membantu, tidak bercakap sepatah kata pun. Seorang daripadanya tersedu-sedu menangis, yang seorang lagi termuntah di lantai bilik rawatan. Bukan kerana mual, tetapi lebih kepada terbentur dengan tekanan jiwa yang hanya seorang wanita mampu memahaminya.

Dan, sebaik Nurul Badariah sedar dari lena yang panjang. Tiada sepatah kata lahir dari bibirnya lagi, sampailah ke saat itu. Nurul Badariah tahu, anaknya sudah tiada. Nyawa bayi itu sudah mati, begitu juga nikmat hidup Nurul Badariah sendiri. 

Dato Bador mengambil cuti panjang, untuk membawa Nurul Badariah ke luar negara. Tiket kapal terbang ke London, sudah ditempah. Namun, sebaik sahaja mereka tiba di rumah, Nurul Badariah terus mengunci diri di dalam bilik. Keluar tidak, bercakap pun tidak.

Telefon tangannya, ditinggalkan di luar bilik. Talian telefon rumah, yang satu unit tambahan diletakkan di setiap bilik, telah dia tanggalkan soketnya. Hanya rayuan Mak Nab yang dibalasnya, dengan membuka kunci pintu bilik. Selebihnya, hanya sepi.

*******

Dato Bador mengeluh lagi. Dia melihat ke arah jam dinding. Sudah pukul 12 tengah malam. Dato Bador mahu cuba melelapkan mata. Dia perlu rehat. Esok ada mesyuarat dengan wakil syarikat pembekal. 

TV dimatikan. Dato Bador memeriksa pintu depan, lalu dikunci rapat. Suis lampu digapai. Suasana ruang tamu terus menjadi sunyi, dan gelap. Hanya lampu limpah di ruang letak kereta, dan lampu kecil di dapur, yang menyinari laluannya ke bilik tidur.

Sebaik tombol pintu bilik dipulas, telinga Dato Bador disapa satu bunyi yang sayup-sayup. Dia terdiam, terpaku di depan pintu.

Dari mana datangnya suara bayi menangis, di tengah malam begitu? Jiran terdekat, Cikgu Linggam, rumahnya terletak kira-kira 700 meter di sebelah barat. Dan, Cikgu Linggam tiada anak kecil. Semuanya sudah remaja, dan ada yang tinggal di asrama universiti. Tiada yang sudah berkahwin.

Sedetik, suara tangisan bayi berhenti. Tiada lagi kedengaran.

“Ah, perasaan aku saja agaknya. Kurang rehat, stress. Otak pun mula fikir bukan-bukan…,” bisik hati kecil Dato Bador.

Dia membuka pintu bilik, dan masuk ke ruangan yang suram dan sedikit harum. Datin Rabiah kelihatan sudah nyenyak tidur. Dato Bador tidak mahu mengejutkan. Dia ke bilik mandi, mencuci muka dan mengambil wuduk. Tergerak hatinya, hendak sujud menyembah Allah. Nak memohon ampun, dan menenangkan jiwa yang kacau bilau.

Sebaik mengangkat takbir, telinga Dato Bador menangkap suara tangisan bayi sekali lagi. Dia cuba tidak peduli, tetapi hatinya semakin terganggu. Dato Bador beristighafar di dalam hati, dan meneruskan solat. Namun, sebaik bangkit dari rukuk, degup jantungnya seakan terhenti.

Dari sudut pandang matanya, Dato Bador terlihat sesuatu di sebelah kirinya. Kecil saja saiznya, namun jelas di mata. Lelaki lewat 50an itu cuba untuk tidak peduli. Solatnya diteruskan, namun fokusnya sudah tiada lagi. Lirik matanya tertumpu kepada apa yang ada di sisi.

Bungkusan itu persis seorang bayi, yang dibedung dengan kain lampin. Kakinya kelihatan bergerak-gerak, tubuhnya begitu juga. Namun, kesuraman lampu tidur dan posisi pandang yang tidak meluas, menyukarkan untuk Dato Bador melihat kepala ‘bayi’ itu.

“Assalamualaikum warahmatullah…,” perlahan suara Dato Bador membatalkan solat dengan salam pertama, ke sebelah kanan.

Kemudian, dia menoleh ke sebelah kiri. Namun, hanya ruang kosong yang ada di situ. Hatinya tersentap. Bukankah dia melihat dengan jelas, adanya bayi di situ tadi?? Ke mana perginya??

“Astaghfirullahaladzim. Syaitan nak bergurau nampaknya…,” bisik hati Dato Bador.

Dia meneruskan zikir dan wirid. Sudah agak lama juga dia tidak bermunajat di tengah malam, seperti itu. Namun, seketika kemudian, cuping telinganya menangkap bunyi bayi menangis lagi. Kali ini lebih kuat. Diselangi dengan suara seorang perempuan bernyanyi, bagai mendodoikan bayi yang sedang menangis itu.

Dato Bador bingkas dari duduknya. Sejadah dilipat, dan diletakkan di sudut katil. Dato Bador bergegas keluar dari bilik, dan menyalakan lampu ruang tamu. Dia membuka pintu utama, cuba mencari bunyi yang entah dari mana. Tiada lagi bunyi tangisan bayi. Yang ada, cuma gelap pekat dan sunyi dinihari. Dan, suara wanita yang masih menyanyi.

Dato Bador mengecamkan puncanya. Dia menutup pintu, dan memasang telinga. Benar, bunyi suara wanita itu, datang dari bilik Nurul Badariah. Kelihatan ada cahaya samar-samar, di antara daun pintu dan lantai.

“Mungkin budak ni menonton filem di YouTube, agaknya…,” bisik hati Dato Bador.

Dia melangkah, mendekati pintu bilik tidur anak bongsu yang sudah sebulan tidak dilihat wajahnya itu. Hatinya sedikit berbunga, mungkin keadaan Nurul Badariah sudah semakin baik.

Bak kata Mak Nab semalam, gadis itu sudah mahu mandi dan menyisir rambut. Walaupun masih belum mahu bercakap, dan tidak sudi makan nasi, namun kata Mak Nab, Nurul Badariah sudah mahu bangkit dari katilnya dan berjalan ke tingkap, untuk termenung.

Dato Bador menyalahkan diri sendiri, kerana membina bilik mandi di setiap bilik tidur di rumah itu. Kalau tidak, mungkin kini dia sudah dapat melihat Nurul Badariah keluar dari biliknya untuk membersihkan diri. Dato Bador hanya tersenyum pahit.

********

Di depan pintu bilik tidur anaknya, langkah Dato Bador terhenti. Cahaya yang dia nampak di celah bawah daun pintu tadi, sudah tidak ada. Suasana senyap dan sepi, bagai tidak ada sesuatu apa pun yang berlaku. Dia cuba memulas tombol pintu. Terkejut seketika dia, kerana didapatinya, pintu tidak berkunci.

Dato Bador menolak daun pintu perlahan-lahan. Cahaya lampu tidur menerangi tepi katil, dan sebahagian ruang dalam bilik itu. Dia melihat ke arah katil, Nurul Badariah kelihatan sedang nyenyak tidur. Wajahnya kelihatan tenang, dan keadaannya agak rapi. Dato Bador melangkah masuk perlahan-lahan, dan katil anaknya dihampiri.

Tidur Nurul Badariah nampak kelihatan terlalu nyenyak. Tidak seperti orang yang baru melelapkan mata. Di dalam pelukannya, ada sebuah anak patung berbentuk bayi. Patung itu hadiah daripada para jururawat di hospital, tempat Nurul Badariah dirawat setelah dipaksa menggugurkan kandungan.

Hati Dato Bador bagai tersayat sembilu. Segera dia keluar dari bilik anaknya, dan menutup pintu. Dia menyandarkan tubuhnya ke daun pintu. Matanya berkaca, dan tangisannya pecah. Rindu yang berkepuk dalam hati, terhadap anak kesayangan, tak mampu dipadam dengan hanya melihat wajah dalam kesamaran.

Namun, tiba-tiba Dato Bador tersentak. Bunyi suara bayi ketawa mengelikik, kedengaran sayup-sayup dari dalam bilik Nurul Badariah. Lelaki itu membalikkan tubuh. Apakah Nurul Badariah sengaja mempermainkan Babanya? Sengaja buat-buat tidur, bila Babanya mahu masuk ke bilik, dan kemudian kembali menonton YouTube bila Babanya sudah keluar??

Sejuta persoalan bermain di benak dan minda. Dato Bador memulas tombol pintu, cuba hendak masuk ke bilik tidur anaknya sekali lagi. Namun, ternyata pintu itu berkunci.

Dan, baru Dato Bador teringat, yang henfon Nurul Badariah ada di dalam laci di meja solek isterinya. Jadi, dari mana datangnya bunyi bayi, dan suara perempuan mendodoikan bayi??

Hati Dato Bador menjadi kian tidak tenteram. Suara bayi ketawa, semakin kuat dan jelas. Dato Bador berusaha membuka pintu bilik tidur Nurul Badariah. Diketuknya pintu itu, bertalu-talu. Dia tahu, sesuatu yang tidak normal sedang berlaku ketika itu. Ketukan di pintu yang kian lama kian kuat, seperti tidak mampu membangunkan sesiapa pun di dalam rumah itu.

Suara ketawa bayi, kini bertukar menjadi tangisan. Kedengaran sekali lagi, suara seorang wanita sedang mendodoikan. Dan, suara itu bukan suara Nurul Badariah.

Dato Bador semakin panik. Dia tahu, ada seseorang atau sesuatu di dalam bilik anaknya. Dia tak peduli kalaupun Nurul Badariah akan bertambah marah padanya. Keselamatan anaknya itu, yang paling utama sekarang ini.

Dato Bador cuba bersuara, mahu mengejutkan isterinya. Atau paling tidak pun, dia harap Mak Nab akan terjaga, walaupun bilik Mak Nab jauh di bahagian dapur.

Tetapi, mulutnya seakan terkunci. Suaranya juga tidak keluar dari tenggorok. Sedangkan suara tangisan bayi semakin kuat, dan suara wanita yang mendodoikan juga kedengaran sudah mulai bertukar nada.

*********

“Kenapa kau bunuh anak aku…!!” Tiba-tiba, Dato Bador terkejut dengan sergahan suara seorang wanita di belakangnya.

Dato Bador menoleh. Di belakangnya, berdiri seorang wanita berpakaian serba putih dengan rambut mengerbang. Wajahnya tidak kelihatan. Dato Bador cuba menjerit, mahu memarahi wanita itu dan menghalaunya keluar dari rumah. Tetapi, suaranya bagaikan tidak ada.

“Kenapa Baba bunuh anak Nurul?? Baba zalim. She’s my child, Baba. Dia cucu Baba…,”

Tiba-tiba, suara yang nyaring dan garau, bertukar menjadi lembut dan merintih. Tangisan yang sayu, menghiris jiwa lelaki Dato Bador. Namun, dia tidak mampu untuk percaya bahawa yang berdiri di depannya itu, adalah anaknya. Pintu bilik masih berkunci, tak mungkin Nurul Badariah dapat keluar tanpa melangkauinya dahulu.

“Kau siapa, hah?? Aku bukan Baba kau! Anak aku ada dalam bilik. Kau ni syaitan. Kau bukan anak aku…,” Dato Badar ingin menjerit, namun suaranya terkunci.

“Kenapa Dato Bador?? Kau takut?? Takut dengan hantu?? Takut dengan kematian?? Pembunuh macam kau, pernahkah berasa takut…??”

Suara yang nyaring, tetapi sedikit berbisik dan merengus, terasa sangat dekat dengan cuping telinganya. Dato Bador ingin memejamkan mata, tetapi pandangannya tetap terbelalak menatap lembaga di depannya itu.

Tiba-tiba, tanpa sebarang tanda, satu dentuman petir menggegar seisi alam. Kilat menyambar sekali, menerangi sekitar dalam ruang rumah. Dan, Dato Bador dapat melihat dengan jelas, apa yang ada di depan matanya.

Wajah lembaga itu dipenuhi ulat di setiap rongga mata, hidung dan mulutnya. Rambutnya panjang mencecah lantai, kusut tak terurus. Pakaian berwarna putih yang membalut tubuhnya, ada kesan darah di bahagian pinggul ke bawah. Dan, kakinya… 

Dato Bador tersentap. Kaki lembaga itu, tidak menyentuh lantai. Ia seakan tergantung, tapi tanpa tali. Hujung jari jemarinya merunduk. Darah kelihatan mengalir di kakinya, dan terus ke hujung jari jemari, sebelum menitik ke lantai.

Belum sempat Dato Bador mengerdipkan mata, lembaga itu meluru pantas ke arahnya. Wajah penuh ulat, lendir, nanah dan darah, sekejapan sahaja sudah berada beberapa inci dari mukanya. Bau yang sangat busuk dan memualkan, tak mampu Dato Bador tahan.

Dato Bador terasa ingin muntah, namun hanya mampu menelan air liur. Bagai ada satu kuasa, yang memaksanya memandang ke arah dada lembaga itu. Kedua belah tangan yang penuh darah, kelihatan memeluk erat sesuatu.

Suara tangisan bayi, kedengaran jelas. Mula-mula perlahan, namun kian lama semakin keras bunyinya. Mata Dato Bador tertancap ke arah bayi yang masih bertali pusat, dan dibedung dengan kain putih berlumuran darah.

Dia melihat wajah bayi itu. Tak kan sekali pun, dia mampu melupakan satu wajah yang seketika dahulu, dimandi dan dikafankannya, sebelum ditanam di kawasan tersorok dalam kebunnya yang luas. Kawasan itu, tak pernah ada sesiapa pun yang tahu. Hanya dia, dan penjaga kebun sahaja pernah sampai ke situ.

Jujur dia akui, walaupun tidak sanggup menerima kehadiran bayi itu dalam keluarganya, namun Dato Bador tak mampu menolak hakikat bahawa bayi itu adalah sebahagian daripada diri anaknya. Malah, bayi itu punyai darah yang sama dengan apa yang Dato Bador miliki dalam tubuhnya.

“Tengok budak ini. Tengok muka cucu kau, yang kau dah bunuh!! Tengok…!!”

Dato Bador tak mampu terus melihat. Airmatanya mengalir laju. Kekesalan menghantui jiwanya. Degupan jantung Dato Bador semakin pantas. Dadanya sakit akibat tekanan yang kian memuncak. Dia memejamkan mata, dan dengan tiba-tiba, terlontar suara takbir dari bibirnya.

“Allahuakbar…!!”

Dan, pandangan mata Dato Bador hilang. Suasana tiba-tiba menjadi sunyi. Gelap. Mati.

*********

“Baba, bangun…,” sayup-sayup, Dato Bador terdengar suara Badrul Hisham, anak sulongnya.

Dato Bador membuka mata. Suasana sekeliling masih agak asing. Tapi dia tahu, dia sekarang berada di hospital. Dato Bador cuba bangun, namun ditahan oleh Badrul Hisham.

“Doktor suruh Baba rehat. Dah 3 hari Baba koma. Tiba-tiba, hari ini doktor bagitahu, yang Baba dah sedar. Syukur Alhamdulillah…,”

“Saiful tak balik jenguk Baba…?” Dato Bador bertanya. 

“Sudah. Tapi, masa tu Baba belum sedar. Doktor pun tak berani jamin, Baba akan koma sampai bila. So, Sham suruh Saiful balik. Jaga Ummi dan adik di rumah…,” balas Badrul Hisham.

“Nurul macamana?? Dia tahu tak, Baba masuk wad…?” Hati Dato Bador dicengkam keresahan.

“Adik tahu. Dia dah keluar dari bilik. Macam tak ada apa-apa yang berlaku pun…,”

“Pandai juga kamu pujuk dia…,” Dato Bador memotong cakap anaknya.

“Sham tak pujuk pun. Dia sendiri keluar jumpa Sham, masa Sham sampai di rumah. Masa Saiful balik pun, dia keluar juga. Saiful dah bawa adik pergi klinik, ambil ubat. Demam rupanya…,” terang Badrul Hisham.

Dato Bador diam mendengar. Dia bersyukur kerana Nurul Badariah sudah berubah. Dato Bador rasa tak sabar hendak pulang. Dia mahu kembalikan kebahagiaan yang sudah sekian lama pudar, dalam rumah itu. Anak-anaknya hanya ada tiga. Dan, Nurul Badariah bagaikan permata dalam keluarga. Tapi, apakan daya, kesilapan anak itu terlanjur di usia muda, mengubah segalanya.

“Kesian Baba tengok adik kamu tu. Apakan daya si Razis tu, dah mati. Kalau tidak, Baba sanggup nikahkan Nurul dengan dia. Tak payah nak paksa gugurkan kandungan…,” keluh Dato Bador.

Wajah Badrul Hisham kelihatan berubah. Dahinya berkerut. Dato Bador terkejut, saat melihat anak lelaki sulongnya itu mula menangis. Tangan Badrul Hisham menggenggam palang penghadang di sisi katil.

“Kenapa, Sham?? Kamu sakit ke…?”

Badrul Hisham menggelengkan kepalanya. Dato Bador hanya mampu memandang anak sulongnya berjalan ke arah tingkap, dan melepaskan tangisan di situ.

“Eh, kenapa dengan kamu ni, Sham?? Cuba cerita kat Baba, apa masalahnya…,” Dato Bador kebingungan.

“Anak itu, bukan anak luar nikah, Baba…,” bisik Badrul Hisham, antara dengar dengan tidak.

“What??! Apa maksud Sham…?” Dato Bador mula rasa tak sedap hati. Banyak sungguh rahsia yang dia tidak tahu, tentang anak-anaknya yang sudah dewasa.

“Kenapa Baba paksa adik gugurkan kandungan?? Kenapa Baba bunuh anak itu…?” Nada suara Badrul Hisham kedengaran keras. Dato Bador tidak mampu menjawab.

“Baba, Sham minta maaf sebab rahsiakan segalanya daripada Baba. Adik dah nikah, dengan seseorang yang baik dan sangat menyintainya. Sham yang jadi walinya…,”

“Apa maksud Sham?? Apa benda semua ni?? Baba tak faham…,”

“Adik dan Razis dah bernikah, Baba. Mereka dah hampir 7 bulan bergelar suami isteri, sebelum Ummi menghantar seseorang untuk membunuh Razis. Mama tak nak mengakui Razis sebagai menantu…,”

Mata Dato Bador terbuntang. Astaghfirullahaladzim. Apa yang sudah dia lakukan?? Dia membunuh cucunya sendiri. Dato Bador rasa pandangan matanya berkunang. Dunia sekeliling berpusing. Laju.

“Ummi dah bunuh suami adik. Sekarang Baba pulak bunuh anak dia. Can you imagine, how she’s gonna survive this life…?”

Dato Bador sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi. Bunyi tangisan bayi, kedengaran lagi di telinganya. Suara Dato Bador tersekat di kerongkong. Dia cuba menjerit, memanggil nama Allah. Cuba nak memohon ampun, menyesali perbuatannya.

Namun dia tak mampu. Airmatanya berjuraian ke pipi. Pandangan matanya gelap. Dato Bador terasa bagai nak pengsan. Nafasnya rasa tersekat. Jantungnya berdegup laju. Tidak sempat dia hendak berkata apa-apa. Bunyi suara bayi menangis kian kuat. Dato Bador hanya berserah, dan diam.

“Doktor!! Doktor!! Baba saya…,” Badrul Hisham menjerit panik.

Seketika selepas itu, doktor masuk ke bilik, dengan seorang jururawat. Namun, mesin pembaca hayat sudah tidak lagi menunjukkan apa-apa. Tiada bacaan degup jantung. Tiada bacaan tekanan darah. Semuanya kosong. Hanya bunyi tooot yang panjang dan nyaring, mengisi ruang yang kian hening.

TAMAT.

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.