KISSER 47 – MISTERI RUMAH SEWA SCIENTEX

Rumah sewa Scientex

Assalamualaikum semua.. masih ingat lagi pada Tiny ke? Maaflah sebab dah lama tak bersiaran.. almaklumlah semenjak wabak covid19 melanda, Tiny memang agak sibuk dengan urusan kerja kerana terlibat dengan servis jenis essential. Bahkan saat ini, Perintah Pergerakan Penuh dilaksanakan, Tiny masih sibuk bekerja dari rumah. Pendek kata hampir 24jam di hadapan komputer riba melaksanakan tugas yang diamanahkan demi kesejahteraan kita semua..

Berbalik kepada kisah yang Tiny nak kongsikan sebentar lagi. Kejadian ini berlaku ketika Tiny berada di semester 2 di sebuah institusi pengajian awam tempatan. Masa tu kalau tak silap Tiny berlaku pada tahun 2005. Rumah sewa yang Tiny maksudkan terletak di Taman Scientex, Pasir Gudang. Macam mana Tiny boleh sewa rumah tu? Dapat dari anak kawan mak, senior di institusi yang sama dengan Tiny. Semester tersebut beliau mula latihan industri jadi, dia perlukan penyewa baru untuk dapatkan semula deposit sewa dari tuan rumah.

Terdapat pelbagai kisah-kisah mistik yang berlaku di rumah tersebut. Namun Tiny ringkaskan supaya mudah untuk difahami dan dihayati.

Kisah 1:

Kejadian ni berlaku ketika seminggu lagi pendaftaran semester kedua akan bermula. Namun disebabkan aku bertugas sebagai sekarelawan pendaftaran dan sesi suai kenal bagi pelajar semester 1, terpaksalah aku ke institusi seminggu awal sebelum pendaftaran bermula.

Aku, Lina dan Ecah bersetuju untuk berulang dari rumah sewa ke institusi bagi membantu pengurusan pelajar-pelajar yang baru masuk kerana rumah sewa tersebut terletak di belakang pintu masuk institusi pengajian kami. Sekiranya berjalan kaki, hanya memerlukan masa antara 10-15 minit sahaja.

Sesi pendaftaran pelajar baru bermula pada hari ahad, manakala taklimat untuk petugas sukarelawan adalah pada hari sabtu. Oleh itu kami mengambil keputusan untuk tidur di rumah sewa tersebut pada hari Jumaat.

Waktu yang dinanti telah tiba. Kami dihantar oleh keluarga masing-masing ke rumah sewa tersebut pada hari Jumaat anggaran jam 10 pagi. Disebabkan rumah sewa tersebut hampir 2 bulan kosong tanpa penghuni, kami bergotong royong membersihkan kawasan dalam rumah seperti mengemop dan mengelap segala perabot yang ada.

Mujurlah penyewa sebelum ini telah membersihkan sisa tinggalan mereka, maka proses membersihkan rumah agak mudah bagi kami bertiga.

Aku kagum melihat keluasan rumah tersebut. Ruang tamunya luas. Dapur, bilik dan tandas bawah juga agak luas. Setiap bilik boleh memuatkan sekurang-kurangnya 4 orang.

Di ruangan atas pula terdapat sebuah pintu betul-betul di hujung tangga atas. Apabila dibuka terdapat ruangan luas seakan ruang tamu kedua dan terdapat 1 balkoni kecil di bahagian belakang untuk menyidai jemuran. 1 bilik mandi juga disediakan di situ dan mampu memuatkan hampir 8 orang dalam satu masa.

Setelah menikmati juadah tengah hari yang dibekalkan olehhh keluarga dan solat zohor, akhirnya kami bertiga terlena di ruang tamu berhadapan dengan tangga menuju ke tingkat atas.

“tik.. tiktiktiktiktik….,”kedengaran bunyi guli seakan bergolek menuruni anak tangga dari tingkat atas.

Aku masih memejamkan mata kerana terlalu letih.

“zrettt…… zretttttttttt,” kedengaran bunyi perabot dialihkan pula di tingkat atas. aku cuba membuka mata. Keadaan sekeliling begitu gelap. Jari jemariku cuba meraba di bawah bantal untuk mencari telefon bimbit.

Punat telefon bimbitku ditekan. Bertemankan suluhan lampu dari telefon, aku cuba mengejutkan Lina dan Ecah. Mereka mula membuka mata dan duduk dalam kegelapan.

“eh dah pukul berapa ni?,” soal Ecah sambil menggosok matanya yang masih kelat.

“pukul 8,” balasku..

Bunyi perabot dialihkan masih kedengaran di tingkat atas. kami seakan terkejut dan berdiam diri. Sekali lagi bunyi guli seakan dijatuhkan dari tingkat atas menuruni anak tangga kedengaran dengan lebih jelas.

Lina bingkas bangun dan memetik suis lampu. Keadaan menjadi terang dan tenang. Bunyi guli dan perabot dialihkan juga tiada.Guli yang kami sangkakan berada di hadapan kami juga tidak wujud.

Kami menghela nafas lega lalu terus ke tandas dan mengambil wudhuk untuk solat maghrib dan mengqada’kan solat asar yang tertinggal tadi.

Usai solat, dan mandi, kami mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke kedai makan yang terletak di hujung simpang Taman Scientex (dahulunya di hujung jalan ini tiada pembangunan, kini dah dipenuhi dengan perumahan dan sudah ada jalan yang baru).

Sedang kami berjalan menuju ke hujung simpang untuk menuruni bukit menghadap ke pintu belakang institusi pengajian kami, kami disapa oleh seorang pakcik yang kebetulan sedang menaiki motor pulang dari surau barangkali.

“assalamualaikum! Kamu bertiga ni dari mana? Pakcik tak pernah nampak pun kamu sebelum ni?,” soalnya kepada kami.

“Waalaikumussalam pakcik. Kami penyewa baru di rumah sana,” balas Lina sambil menunjukkan jarinya ke arah rumah sewa.

“Rumah no.4 tu ke?,” soal pakcik itu lagi.

“Ya betul tu pakcik,” balasku.

“Hati-hati duduk di situ. Kalau perlukan apa-apa bagitahu je pakcik ya. Ni rumah pakcik,” balasnya sambil menunjukkan rumah di hadapan kami yang selangnya hampir 5 buah rumah.

“Ni kamu semua nak ke mana malam-malam ni?,” soalnya lagi.

“Makan pakcik,” balas Ecah pula.

“Hati-hati. Dah malam ni. Kawasan sini ramai orang yang berniat tak baik. Jangan mudah percaya dengan mereka,” tokok pakcik itu lagi.

Kami hanya menganggukkan kepala lalu terus berjalan ke rumah kedai yang dimaksudkan tadi.

Setibanya di kedai makan, kami terus memesan makanan dan mula melihat skrin televisyen yang terdapat di situ.

“Weh korang, tadi masa aku dalam tandas atas kan, aku dengar macam ada orang panggil aku lah,” tiba-tiba Ecah bersuara.

“aku tak naik atas langsung lepas bangun tidur tadi. Lepas solat tadi aku terus mandi dan bersiap,” balas Lina.

Lantas mereka berdua memandang ke arah aku.

“aku memang tak naik langsung lepas bangun tidur tadi. Lepas solat, aku masuk bilik sidai baju-baju aku dalam almari sementara tunggu si Lina ni mandi,” ujarku serius.

“Kau jangan main-main pula Tiny,” tenung Ecah.

“Betul lah.. tak percaya cuba tanya Lina,” balasku sambil mencebikkan bibirku ke arah Lina.

“Ye tak ye juga kan. Masa aku masuk toilet pun kau dah dalam bilik kemas baju-baju. Bila aku siap mandi kau dah tercongok depan pintu toilet tunggu giliran,” tokok Lina.

“Dah lah. Perasaan kau je kot. Mungkin kau masih teringat suara mak kau panggil di rumah. Almaklumlah dah dua bulan memerap di rumah.. Homesick lah tu,” selorohku bagi menenangkan keadaan.

Usai makan, kami terus pulang berjalan kaki menuju ke rumah. Jam menghampiri pukul 10.30 malam.

Kelihatan kiri dan kanan rumah kami kosong, tidak berpenghuni. Begitu juga dengan rumah yang berhadapan dengan rumah sewa kami.

“assalamualaikum..,” ucapku tatkala membuka pintu utama.

“eh Lina, kenapa tuala mandi kau bersepuk atas lantai ni?,” soal Ecah ketika kami semua melangkah masuk.

“Bukan ke tadi aku dah sidai dekat kerusi hujung sana tu?,” ujar Lina sambil menggarukan kepala.

“Mungkin kau terlupa kot. Letih sangat agaknya,” balasku lantas mengutip tuala tadi dan menghulurkan ke arah Lina.

“Dah kunci semua pintu kan?,” soal Ecah kepadaku.

“Dah,”balasku ringkas.

“dah jom tidur. Esok pukul 8 pagi kita kena pergi ke dewan utama. Ada taklimat,” tokokku lagi.

Aku terus menuju ke bilik paling belakang, Lina di bilik bertentangan denganku manakala Ecah menuju ke bilik atas.

Sedang aku tidur seorang diri, kedengaran bunyi seperti seseorang sedang membebel dalam Bahasa yang tidak difahami diselangi dengan bunyi tangisan anak kecil.

Aku cuba mengamati bunyi tersebut, seakan-akan muncul dari arah tingkat atas. 

“Jiran belakang rumah agaknya,” bisikku lantas memejamkan mata.

Bunyi bebelan perempuan tersebut semakin jelas dan esakan anak kecil tersebut mengganggu lenaku.

Aku cuba duduk dan menekupkan telingaku di dinding berhampiran belakang rumah.

Kedengaran bunyi lesung batu berlaga seakan menumbuk sambal semakin rancak diselangi suara anak kecil menangis.

Aku semakin resah dan mula berasa tidak sedap hati.

Lalu aku bangun dan membuka pintu.

Kelihatan Lina juga sedang berdiri di hadapan pintunya sambil menunjukkan isyarat senyap kepadaku.

Aku mula kaget dan menunjukkan isyarat untuk bergerak ke ruang tamu.

Tuala mandi yang disidai Lina di kerusi ketika tiba di rumah juga kelihatan bersepuk di atas lantai seakan dilempar oleh seseorang.

Ketika itu, kami terlihat Ecah sedang membelakangi kami, menekupkan mukanya berhampiran dengan tangga.

“Ecah! Kenapa tu?,” soalku dalam nada berbisik namun jelas.

Ecah memalingkan wajahnya lalu berlari ke arah kami.

“Weh kenapa ni?,” Lina mula memeluk Ecah yang kelihatan pusat dan gementar.

“A.. a.. ada suara perempuan marah-marah anak dia kat ruang atas!,” balas Ecah sambil menangis.

“Ah sudah! Kau pasti ke kat ruang atas? bukan dari rumah belakang kita ni?,” soalku kaget.

Ecah hanya menggelengkan kepala..

“Habis tu kenapa kau tercongok kat tepi tangga? Kenapa tak masuk ke bilik aku terus?,” soalku tegas.

“Masa aku nk ke bilik kau orang, aku nampak ada bayang hitam lalu di dapur, betul-betul sebelah bilik kau Tiny,” balasnya dalam nada ketar.

“Dah jom ambil wudhuk dulu sebelum tidur,” ujarku.

Aku terus menuju ke tandas, manakala Lina dan Ecah mengekoriku dari belakang.

Lampu dapur dihidupkan supaya dapat menghilangkan rasa gundah di hati.

Setelah berwudhuk, kami bertiga berpakat untuk tidur di bilikku.

Namun, kedengaran bunyi perabot dialihkan sekali lagi dari tingkat atas.

Kali ini bunyi tersebut agak kuat berbanding siang tadi..

“zrettt…… zretttttttttt…………. Zretttt,” bunyi tersebut semakin rancak.

“Gedebum!!!!!!!!!!!!,” bunyi seakan objek besar terjatuh di tingkat atas kedengaran.

“Weh aku takut! Buatlah sesuatu Tiny.. Kau kan pakai tudung labuh.. mesti kau tahu nak buat apa kan?,” rungut Lina dan Ecah sambil memegang tanganku.

“Cet! Kau orang ingat tudung labuh je pandai halau jin eh?,” jerkah ku.

“Dah-dah pi amek laptop kau Lina, kita pasang ayat quran!,” ujarku kepada Lina.

“Macamana kau tahu aku ada ayat quran dalam laptop?,” soal Lina.
“Jangan banyak tanya.. ambil je dan pasang!,” arahku lagi.

Alunan ayat-atay suci al-Quran mula dimainkan dari komputer riba Lina.. bunyi heretan dan alihan perabot kini sepi dan tidak lagi kedengaran.

Akhirnya kami terlena sehingga azan subuh berkumandang. 

“Weh, jom teman aku naik atas ambil baju..,” pujuk Ecah kepada aku dan Lina..

Kami bersetuju dan mula menaiki tangga ke ruang atas.

Kelihatan pakaian Ecah bersepah seakan dilontar ke bucu bilik. Lampu dan kipas terpasang dan pintu bilik air juga terbuka dengan lampu menyala.

Kami terus membantu Ecah mengutip dan mengemas kesemua barang dan pakaiannya dan membawanya turun ke bawah.

Selepas solat subuh dan bersiap, kami terus ke dewan utama institusi untuk mendengar taklimat.

Mujur pada malam tersebut, kami dikehendaki untuk tidur di asrama yang disediakan. Selepas zohor, kami terus berkemas dan meninggalkan rumah sewa tersebut sehinggalah selesai program suai kenal pelajar baru dan rakan-rakan rumah sewa kami yang lain berbaki 12 orang telah memasuki rumah tersebut.

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.