KISAH OPAH 3

EPISOD 3

“Abang! Abang! Moh ler nengok apekebendanye ni!”, jerit ibuku ketika sedang asyik memetik pucuk paku di pinggir hutan di hujung kampung bersama opah manakala kami tiga beradik masing-masing sedang leka memetik ulam tenggek burung bersama ayah.

Kami semua bergegas mendapatkan ibu dan opah yang sedang asyik membersihkan semak berdekatan..

“Apekeheinya tu?”, soal ayah sambil membetulkan parang di pinggangnya..

“Itu ha… banyak bebenor bonggol besor kat dalam sane… idok ke pelik ghupenye (rupanya)?”, tokok ibuku lagi..

“Allah! Itu kubor! Udoh-udoh moh (mari) ler kite balik ghumoh (rumah)! Usoh diusik lagi kawasan deme (mereka) ni!”, jerkah ayah kepada kami yang cuba memanjat bonggolan yang ada di situ..

“Kamu pasti ke Ad? Bukan busut??”, soal opah..

“takkan ler busut ghupenya (rupanya) same je… saiz dengan lebornye seghupe (serupa)… “, balas ayahku lagi sambil merangkul Chor yang masih berdegil untuk memanjat bonggolan tersebut..

Untuk pengetahuan kau orang, ayahku merupakan salah seorang pengamal perubatan tradisional di kampung.. sebab itu jugalah aku mempunyai pelbagai kisah dan pengalaman mistik yang ingin dikongsi semasa kecil..

“Deras (cepat) sikit jalan tu!” jerkah ayah kepada kami yang masih terpaku merenung ke arah bonggolan tersebut..

“Itu kubor apa yah?”, soal Nyah..

“Entah ler… kubor lame… idok (tidak) ler pulok bertande…”, balas ayahku lagi sambil berjalan membawa raga berisi ulaman..

Setibanya di rumah, ayah memerintahkan kami semua agar mandi dengan segera manakala ibu dan opah pula sibuk menyediakan hidangan tengahari di dapur…

“lepas makan tengahari ni, kamu teman ayah ke kampung sebelah.. ayah nak tetemehkan (pulihkan) si anak Pak Johar tu..”, kata ayah kepada aku yang ketika itu sedang asyik menyuap nasi ke dalam mulut..

“kamu dengor ke idok (tidak) ape yang ayah kabor (beritahu) ni?”, ulang ayahku lagi..

“Baik ayah”, balasku ringkas lalu terus menyambung santapan yang terhidang di depan mata..

“Nyah nak ikut juga yah..”, tokok Nyah..

“tak usoh ler… kamu bukannye boleh buat ape pun.. dok nanguk (tengok) je buat ape”, balas ayah sambil mencebikkan mukanya ke arah ibu..

Usai makan dan solat zuhur, aku pun membonceng basikal bersama ayah menuju ke kampung sebelah..
Untuk ke kampung sebelah, kami akan melalui hutan kecil dan juga terpaksa menyeberangi sungai menggunakan sampan..

“Moh (mari) tolong ayah bawak bundut (beg kain) ni!”, kata ayah kepadaku sambil menghulurkan beg tersebut lalu menjinjit basikalnya masuk ke dalam sampan..

Perjalanan menyeberangi sungai itu hanyalah dalam 5 minit sahaja… sungai tersebut tidaklah begitu dalam namun agak mustahil untuk kami menyeberanginya tanpa menaiki sampan.

“jauh lagi ke ayah ghumohnye (rumahnya)?”, soalku sambil membetulkan lipatan seluar di hujung kakiku..

“sepenanak nasi (20 minit) sampai ler tu”, balas ayah sambil menyorong basikalnya dari jeti ke tanah yang agak rata..

“Udoh sampai.. Cer (cuba) kamu bagi salam”, kata ayah sambil memberhentikan basikalnya di hadapan rumah yang tersergam indah..

“Dari golongan ada-ada barangkali”, bisik hati kecilku..
“Assalamualaikum..”, aku cuba memberi salam di bucu tangga…

“Waalaikumussalam.. Moh ler masuk.. Pintu idok(tak) berkunci..”, kedengaran suara seorang wanita dari dalam rumah..

Aku dan ayah melangkah masuk ke ruang tamu rumah tersebut. Kelihatan seorang wanita pertengahan umur berkebaya perang keluar sambil membetulkan sanggulnya..

“Johar mana?”, soal ayah..

“Jap ye… Apaknye… Tamunye (tetamunya) udoh sampai.. “, balas wanita tersebut…

Lalu kelihatan seorang lelaki berjanggut putih keluar dari pintu ruang tengah dan menuju ke arah kami..

“Jemputlah duduk.. Kiah, kamu buatkan ayor kopi ye.. Biskut lutut (biskut kering) tu bak maghi (bawa ke mari) sekali”, tokok Pak Johar..

Kami pun duduk di kerusi rotan di ruang tamu tersebut.. kelihatan perabot dan perhiasan rumah tersebut begitu indah hingga membuatkan mulutku terlopong..

Almaklumlah aku berasal dari keluarga yang agak susah, maka rumah kami hanya beralaskan tikar mengkuang dan almari usang untuk pakaian..

“Cer katup (tutup) sikit mulut kamu tu Yop! Udoh menjelejeh (meleleh) ayor liur tu!”, tegur ayahku sambil mengerutkan keningnya ke arah aku..

Lantas aku terus menutup mulut dan mengesat air liur yang meleleh di daguku..
“apekeheinye dengan anak kamu Johar? Teruk benor ke sampai nak suroh aku tetemehkan (pulihkan) dia tu?”, soal ayahku sambil menghirup kopi yang dihidang oleh makcik Kiah..

“Nak kata teruk bebenor tu idok ler.. Tapi udoh tiap malam teghoyak (menangis) kate nampak antu.. mane ler teman tahan Ad.. tiap malam tak soh (nyenyak) teman nk tidor weh…”, balas Pak Johar sambil mengurut janggutnya..

“Antu ape pulok yang duk kacau si Ayu tu Johar? Jantan ke betina?”, soal ayahku lagi..

“Entah ler.. katanya ada antu bawok pedang”, tambah Pak Johar lagi?

“Pedang?” soal ayah semula kepada Pak Johar..

“Gini (begini) ler.. Bagi ler teman nengok anak kamu tu dulu.. Kendian (Kemudian) baru kita ceghita (cerita) camane (macamana) ke caranye”, jawab ayah..

Pak Johar membawa aku dan ayah menuju ke sebuah bilik di ruang tengah…

Kelihatan seorang gadis berusia belasan tahun sedang duduk termenung menghadap ke jendela yang terbuka..

“Ayu.. ada tamu nak nengok kamu..”, kata Pak johar sambil menepuk bahu anaknya..

“Ayah, nape dia negun (pegun) je?”, soalku pada ayah..

“Ayu…”, panggil Pak Johar lagi..

Kali ini Ayu menolehkan wajahnya menghadap kami.. Namun wajahnya amat pucat dan seakan tidak terurus..

“astaghfirullah… Semangat dia udoh hilang ni.. bak maghi (bawa ke mari) ayor mati (air kosong)…”, kata ayah kepada Pak Johar..

“nah.. ni ayornye (airnya)”, kata makcik Kiah…

Ayah terus mencapai gelas tersebut dan membacakan zikir dan doa lalu menghulurkan air tersebut kepada Ayu untuk diminum dan disapu ke muka…

“Johar, teman nak minta diri dulu la ye.. kalau si Ayu tu masih tak elok, moh ler ke ghumoh teman.. kamu tanya jele orang kampung dengan nama Saad penawo.. tahu ler deme (mereka) nak menunjuk jalan nanti,” kata ayah lagi..

Keadaan semakin gelap ketika kami tiba di jeti.. ketika itu keadaan amat lengang..

“Lu mau pigi siberang ka?”, soal lelaki berbangsa Tionghwa kepada ayah..

“iya.. kamu boleh ke bawak kami menyeberang ni?”, soal ayah kepadanya..

“bule.. bule.. kasi cepat sikit.. sini malam manyak gelap.. gua manyak takut.. itu ada hantu mari kacau!”, tokok lelaki itu tadi..

“kamu percaye kat antu jugak ke?”, soal ayah..

“simua orang takut sama antu ma… lu malayu ka.. india ka.. cina ka.. simua ada antu sindiri ma…”, kata lelaki itu lagi sambil mendayung sampannya..

“Ayah.. kenapa dia panggil ayah ‘ma’ pulok?”, soalku..

“Haiya… ini budak tala tahu dialek cina ka?”, keluh lelaki tersebut..
Ayah hanya mengerling ke arah aku sambil menggelengkan kepalanya..

“woke.. sudah sampai… lu olang cipat-cipat balik lumah lo.. nanti itu antu suda kiluar.. lu olang tarak sempat mau lali punya…”, kata lelaki itu lagi sambil mendayung kembali ke seberang sungai..

“ayah.. kenapa orang tu cakap gitu yah?”, soalku ingin mendapatkan penjelasan..

“Jangan banyak tanya.. kamu pegang ayah kuat-kuat.. ayah nak kayuh beskal ni laju-laju!”, arah ayahku sambil memulakan kayuhan semaksima yang mungkin..

Entah bagaimana ketika tiba di pinggir hutan di mana kami memetik ulaman siang tadi, ayah terlanggar bonggolan akar pokok lalu aku tercicir di pertengahan jalan manakala ayahku masih laju mengayuh basikalnya tanpa menoleh ke belakang!

“Ayah! Ayah!”, jeritku sambil berlari mengejar ayah..

“Aduh! Apekeheinye ayah aku ni?”, rungutku sambil meneruskan larianku ke arah ayah..

Namun keadaan semakin gelap membuatkan langkah aku semakin perlahan dan akhirnya berhenti di tengah jalan..

Ketika itu keadaan amat sunyi dan aku hanya ditemani oleh nyanyian unggas dan cengkerik..

Ketika itu juga kedengaran suara seperti seseorang sedang menjerit memberikan arahan..

Aku cuba memasang telinga bagi memastikan adakah ianya suara ayahku yang sedang mencari aku atau mungkin juga suara penduduk kampung yang membantu mencari aku..
Aku terus mengamati bunyi yang datang..

Semakin lama semakin dekat dan jelas…

Derapan tapak kaki seakan seiringan…

Drappp… drappp… drapppp… drappp…

“apekebendanye tu?”, bisikku di dalam hati..

Drapppp… drappp… drapppp… drappp… drappp… drapppp… drappp…
Bunyi itu semakin dekat dan dekat…………..

“Tatte!!!”
Satu pekikan yang sangat lantang dan keras kedengaran di belakangku!

Aku menoleh ke belakang dan kelihatan seorang jejaka berpakaian ala tentera sedang memandang tepat ke arah aku..
“Apekebendanya? Nak bertateh (belajar berjalan) apekeheinye?”, soalku sambil menggaru kepala..

“Tatte!!!”

“Nak bertateh kat maner pulok??”, soalku kembali ke arah tentera tersebut..

“Tatte!!!!!!”
Jeritan kali ini jelas lebih kuat dan lantang!

Aku bingkas bangun lalu menjerit ke arah tentera tersebut..

“Kamu nak aku bertateh kat maner?? Teman udoh reti berjalan, apekeheinye nak bertateh-tateh pulok!”, jerkahku ke arah tentera tersebut..

Namun jelingan tentera tersebut begitu tajam!

“kochi ni!!!” balas tentera tersebut..
“apekebendenya mintok kuih koci pulok!”, balasku kembali..

“kochi ni!!!” balas tentera tersebut sekali lagi..

“HAIT!!!!!” kedengaran sahutan suara yang agak ramai..

Kali ini kelihatan beberapa tentera lain datang menuju ke arah aku!

“abesler(habislah)!”, bisik hati kecilku..

Dalam samar-samar kelihatan beberapa orang tentera yang sedang bergerak ke arahku itu berada dalam keadaan berdarah.. bahkan ada juga yang tiada kepala!!

“Ayah!!!!!!!!!!!!!!!!!!! Mak!!!!!!!!!!!!!!!!!” jeritku sekuat hati sambil berlari menuju ke arah bertentangan…

Tentera tersebut terus berkawad mengejar aku sambil menjerit

“Hah! Hah! Hah!””

aku terus berlari.. malangnya larian aku terhenti apablia aku tersungkur dan tersadung di atas bonggolan yang pernah aku lalui sebelum ini..

“Ya Allah!! Kubor!!!”, jeritku..

Badanku seakan terkunci kaku dan tentera tersebut kini berada di hadapan aku!

“Hah! Hah! Hah!””

Langkah mereka terhenti lalu pedang dihunus keluar dan diangkat tinggi…

Aku hanya mampu memejamkan mata serapat yang mungkin..

Tiba-tiba..

“Allahuakbar!!!!!! Allahuakbar!!!!”, satu jeritan dari suara yang amat ku kenali!
“Ayah!!!!!!!!!”, jeritku..

Tentera tersebut menghentikan henyunan pedang samurainya dan menoleh ke arah ayah!
Kelihatan Tok Imam, Pak Amri, Pak Mustapa dan Nyah datang bersama ayah..

“Usero!!!!!!!”, ketua tentera tersebut menjerit ke arah ayah..

“Apekebendanya yang dicakapkan tu Ad?”, soal imam…

“Pelik bebenor bunyinye..”, sampuk Pak Mustapa..

“Dia suroh berambus tu Ad”, balas Pak Amri..

Pak Amri merupakan salah seorang pegawai yang pernah berkhidmat semasa zaman pemerintahan Jepun dahulu.. oleh kerana itu dia boleh bertutur di dalam Bahasa Jepun dengan baik..

“Ini dunia kami! Tanah kami! Pergilah kome ke dunia kome sendiri! Jangan diganggu anak cucu dan keturunan kami!”, jerkah ayah ke arah tentera-tentera tadi..

Pak Amri kemudiannya menterjemahkan ayat ayah tadi kepada tentera-tentera tersebut..

Tentera-tentera tersebut saling berpandangan sesama mereka..
Kelihatan mereka berbisik-bisik antara mereka…

“Hait!!!” balas salah seorang tentera tersebut..

“dia kata baiklah”, terjemah Pak Amri..

Tentera tersebut terus berdialog di dalam Bahasa jepun yang langsung kami tidak faham ertinya..

“Apekebende yang dicakap antu Jepun tadi tu?”, soal Pak Imam kepada Pak Amri.

“Depa kabo, lain kali jangan ganggu tempat depa.. Depa nak buat latihan perang tapi orang kita selalu duk intai.. depa tak mau ler strategi depa terbongkar”, balas Pak Amri..

“Terbongkar apekebendenya.. bukan ke depa ni udoh mati.. udoh jadi antu??”, tokok Pak Mustapa..

“NaNi??” tentera tersebut bersuara sambil menghunuskan pedang ke arah kami..

“Gomen.. gomen..”, kata Pak Amri sambil membongkokkan badannya kepada tentera tersebut..

“Tunduklah.. semua ikut macam teman buat!”, perintah Pak Amri lagi..

Kami saling berpandangan antara satu sama lain..

“Degheh (cepat) ler!”, jerit Pak Amri sambil menepuk punggung Pak Mustapa dan Tok Imam..

Lantas kami semua mengikut Pak Amri membongkokkan badan..

Dalam beberapa ketika, tentera-tentera tersebut terus berlalu pergi meninggalkan kami..

“Tadi kamu ada nyebut gomen tu apekebende ye?”, soal ayahku..

“Maksudnya maap ler..”, balas Pak Amri..

“OOOOOO”, balas kami semua serentak..
“Yang bonggol-bonggol tu ape ye?”, soalku kepada Pak Amri..

“Entah ler.. teman pun tak tahu.. tapi itu bukan kubo”, balas Pak Amri lagi..

“ad eke patut tadi masa mula-mula dia jumpe Yop, disuruhnye Yop Tateh!”, ceritaku kepada Pak Amri..

“Dia suruh berdiri tu.. bukannya suruh kamu bertateh macam budak kecik berjalan”, balas Pak Amri sambil tergelak..

“Pahtu dia mintak pulok kuih koci Pak Amri! Lapor kot deme tu?”, tokokku lagi..

“Hahahaha… Dia panggil geng tu… bukannya nak makan koci!”, balas Pak Amri lagi sambil menyuluh laluan kami berjalan.

“Ayah! Masa ayah langgor akor pokok tadi, idok ke ayah perasan Yop udoh cicir?”, soalku kepada ayah sambil berjalan beriringan bersama-sama yang lain..
“Ayah tak perasan.. ingat kamu yang duduk belakang ayah.. ghupenye benda lain”, balas ayahku lagi..

“Benda apa yah?”, soalku lagi..

“Entah ler.. masa bonceng ghase(rasa) berat yang amat.. Udoh sampai ghumoh, nengok-nengok bukannya kamu”, jawab ayah..

“abeh tu apekebendenye Ad?”, soal Pak Mustapa pula..

“Langsuir ler..”, balas ayah sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal..

“Patut ler kamu teghiak (Menjerit) sampai satu kampung buleh dengor… kami berlaghi (berlari) gi nengok ayah kamu ni.. macam udoh disampok dek antu!”, balas Tok Imam..

“Kamu tak ape-ape ke Yop?”, soal Pak Amri..

“Ok je Pak Amri”, balasku ringkas..

Setelah berjalan hampir sejam akhirnya kami sampai ke rumah aku..

Namun, ada peristiwa lain pula yang berlaku….

Ok lah.. nanti akan datang kalau tiny free tiny tulis kisah opah lagi ye..
Sekarang ni jadual kerja tiny agak padat.. doakan kejayaan tiny dan rakan-rakan ya.. terima kasih..

Advertisements

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.