KISAH OPAH 1

EPISOD 1

KISAH OPAH
Episod 1

Nama aku Pak Rahim..
Kisah yang ingin aku kongsikan melalui si tiny ni adalah berdasarkan pengalaman sebenar aku ketika aku kecil dulu.. aku berasal dari Perak..

Dari daerah mana? Biarlah rahsia kerana menurut Tiny kau orang memang hebat untuk menyiasat tempat kejadian.. Kalah CSI katanya.. hahaha..

semasa kecil dulu, aku, mak, ayah dan adik-adik aku duduk bersama-sama dengan Opah (Mak kepada mak aku).. aku merupakan anak yang sulung dari 3 beradik lelaki… jadi, panggilan untuk aku adalah Yop, adik kedua aku Nyah manakala yang ketiga adalah Chor..

Ada beberapa pengalaman kami diganggu hantu semasa kecil.. jadi terpulang kepada si Tiny nak tulis semula cerita aku ni macamana.. yang penting, mesejnya sampai kepada kau orang semua..

Kisah pertama yang akan aku ceritakan adalah kisah aku diganggu oleh HANTU POKOK PISANG…

Kisah ni berlaku ketika aku berumur 10 tahun.. Nyah berusia 8 tahun manakala Chor berumur 7 tahun..

“Kome udoh ke tandas ke belum? (kamu semua sudah ke tandas atau belum?) Opah nak padam api luor dah ni.. (Opah nak tutup pelita di luar ni),” kata Opahku sambil menjenguk kami tiga beradik yang sedang bergolek di ruang tengah rumah..

“Udah opah… udah nak tidor ler ni..(Sudah Opah.. kami nak tidur dah),” balasku sambil mengibas-ngibas kain hamparan untuk tidur..

Selang beberapa minit kami semua melelapkan mata, tiba-tiba perutku memulas… terasa bagai ingin melunaskan hajat di tandas…
Namun, untuk aku ke tandas seorang diri memang aku tidak berani.. maklumlah tandas terletak di luar rumah, berhampiran rimbunan pokok pisang pula tu…

Bagaimana jika ada haiwan berbisa yang tiba-tiba muncul di celahan pokok pisang itu nanti?
Pelbagai soalan muncul di benak fikiran lalu aku mengambil keputusan untuk mengejutkan adikku, Nyah untuk menemani aku..

“Nyah! Nyah! Bangunle wei… Yop sakit perut ni.. udoh memutor beno ni… (Nyah! Nyah! Bangunlah.. Yop sakit perut ni.. sangat memulas ni),” kataku kepada Nyah sambil menggoyangkan bahunya berkali-kali..
“apekehenye ni yop? Udoh tengah malam bute baru nak memerot ke?? (Kenapa ni Yop? Sudah tengah malam baru nak membuang air besar ke?),” balas Nyah sambil mengerutkan keningnya menunjukkan tanda marah tidurnya diganggu..

“teman kejap je Nyah.. Udoh hujung dah ni..(teman sekejap sahaja Nyah.. Dah tak tahan sangat dah ni),” kataku lagi sambil melepaskan angin padu aroma ammonia…

“Perghhhhhhh… busuk benor kentut kamu ni yop! Udoh pesan jangan makan doyan banyak sangat.. busuk ni yop! (Busuk sangat kentut yop, dah pesan jangan makan durian banyak sangat, busuk ni yop!),” balas Nyah sambil bingkas bangun dan menekup hidung dan mulutnya dengan kedua-dua tangannya..

“Apa lagi.. Moh ler teman…(Apa tunggu lagi.. marilah temankan yop)” kataku lagi sambil menarik tangan Nyah lalu mencapai pelita di hujung kaki…

“Kome nak ke mana? Chor nak ngikut… (Kau orang nak ke mana? Chor nak ikut juga)” adikku terjaga lalu bangun dan memeluk belakang Nyah..

“Udoh ler tu.. deras sikit! Ada yang terabor ni kang! (sudah la tu.. pantas sikit! Ada yang terkincit nanti),” kataku kepada adik-adikku..

Kami bertiga menuruni tangga menuju ke pintu ruang bawah perlahan-lahan…
Krekkkk………
Kedengaran bunyi pintu dikuak dan ditutup kembali.. maka berjalanlah kami menuju ke tandas dalam jarak 15 meter dari pintu tadi..

“Kome duduk sini depan pintu.. jangan lari!,” pesanku kepada adik-adikku..

Aku terus mengatur langkah dan mendapatkan posisi terbaik untuk melunaskan hajat…

“Lama lagi ke yop?” Chor bersuara..

“Kejap ler… taik tak brapa nak keluor.. (sekejaplah.. sembelit),” balasku..

“Nyah.. apakebendanye tu Nyah?? (Nyah, benda apa tu?),” tiba-tiba Chor bersuara..
“Mana ada apa-apa… diamlah!,” balas Nyah..

Lantas, kedengaran seperti dedaun pisang bergeseran antara-satu sama lain…

Semakin lama semakin dekat dan jelas..
Terasa seperti sesuatu sedang mencuit bahuku!!!

Aku menoleh ke belakang lalu terlihat sepasang mata merah sedang merenung tepat ke arah aku!!

Aku terus merempuh keluar dari tandas dan najis yang tadinya tersangkut tercicir di pertengahan jalan!

“ada antu!!! (Ada hantu!!),’ jeritku kepada adik-adikku yang sedang mencangkung di tepi tandas.

Mereka turut mengikuti langkah larianku namun malangnya Nyah tersungkur dan mukanya tepat tersemban ke atas najisku yang tercicir tadi!!

“Mak!!!! Opah!!!! Antu kamu yop!!!,” Nyah berteriak sambil mendongakkan kepalanya menampakkan bayangan najis tadi di mukanya..

Lantas dengan itu kelihatan seolah-olah seorang wanita cantik berbaju putih berterbangan di dalam rimbunan pokok pisang..

“apekehenye kome ni?? Teroyak malam-malam bute ni??( kenapa dengan kamu semua ni?? Terjerit-jerit di tengah malam ni??),” ibuku muncul bersama opah dan ayah..

“Ada antu opah! Mak! Dekat pokok pisang sana tu!,” balas Chor sambil memeluk ibuku seerat-eratnya..

“Yang kamu ni pi bolen udoh kenapa?? Kain kamu mane?? (kenapa kamu berbogel? Kain pelikat kamu di mana?),” teriak ayahku kepadaku…

“Tak sempat sarung tadi ayah,” balasku sambil mengerling ke arah kain pelikatku yang masih tersidai di pintu tandas..

“Yang kamu pulok gi tepek muke kamu dengan taik dah kenape?? Tak ader kojer?? (yang kamu pula pergi letak najis di muka kenapa? Sudah tidak ada kerja ke?),” teriak ayahku pada Nyah pula..

Belum sempat Nyah menjawab…..

“Hiiiii!! HIiiihiiiiiihihihihihi!!!”, kedengaran hilaian persis Pontianak di sebalik rimbunan pokok pisang tersebut!

“Udoh! Bawak anak-anak masuk ghumoh! Bior ayah tengok apekebendenya yang duk mengacau tengah malam bute ni (Sudah! Bawa anak-anak masuk ke rumah.. biar ayah tengok benda apa yang mengganggu tengah malam ni!), perintah ayahku kepada ibu dan opah..

“Moh masuk lekas! Usoh ditoleh nak menengok benda tu! (mari masuk cepat! Jangan toleh untuk melihat benda tersebut!),’ jerit opah kepada kami semua..

Maka kami anak beranak berhimpun di ruang bawah melihat ayah mengusir makhluk tersebut..

Aku dengan keadaan tidak berkain, Nyah dengan najis aku masih di muka manakala Chor masih mendakap ibu sambil menekup mukanya di baju ibu..

“Berambus kau dari sini! Jangan kau ganggu keluarga aku!” gertak ayah kepada makhluk tersebut sambil menghunuskan keris ke langit..

“HIiiiiiii… aaaaaaaaa…. Aaaaahaaahahahahahahaha” kedengaran hilaian si hantu pokok pisang tadi semakin kuat dan menyeramkan!

Ayahku terus membacakan mentera di dalam Bahasa jawa kuno yang aku sendiri tidak faham dan tidak ingat butiran sebutannya…

Selepas bertempur hampir setengah jam, akhirnya keadaan kembali reda.. tiada lagi hilaian tawa dari hantu tersebut…

“Semuanya udoh selesai… ni ayah nak Tanya kome…. Apebende yang kome buat dekat pokok pisang siang tadi? Hah? Jawab! (semuanya telah selesai.. ayah ingin bertanya apa yang kamu semua buat berhampiran pokok pisang siang tadi?) ,” jegil ayahku kepada kami bertiga sambil memegang benang merah di tangan kirinya..

Kami hanya menunduk kerana berasa gerun untuk menjawab…

“Yop! Bawak si Nyah ni bersihkan muka dia! Lepas tu tidor! Esok pagi ayah nak kamu semua ngadap ayah! Bagi jawapan ape yang kome udoh buat siang tadi paham?? (Yop! Bawa Nyah bersihkan muka kemudian tidur.. esok pagi ayah mahu kamu semua berjumpa ayah dan berikan jawapan apa yang telah kamu semua lakukan siang tadi faham??),” bentak ayahku lagi.

Aku dan Nyah hanya menurut sahaja lalu kami segera masuk tidur..

Keesokan harinya, kami bertiga sudah terpancul di meja makan menghadap ayah kami..

“Cer citer ape yang kome buat semalam siang? (Cuba ceritakan apa yang kamu semua telah buat siang semalam?), soal ayahku sambil menunjukkan benang merah di tangannya lantas menghirup kopi..

Aku menjeling ke arah Nyah manakala Nyah hanya menunduk bisu…

Aku cuba mengimbas kembali apa yang kami lakukan semalam..

Ya! Semalam aku dan Nyah bermain di celahan pokok pisang!

Kami bermain sorok-sorok bersama Chor juga!

Tetapi… satu kesilapan terbesar yang Nyah lakukan adalah dia mengikat benang merah pada Chor… bermakna benang merah tersebut melilit pokok-pokok pisang yang ada apabila Chor melalui dan berlari mengelilingi kawasan tersebut..

Tujuannya agar Nyah mudah mencari Chor!

“Ini semua sebab Nyah!”, chor bersuara..

“Semalam Nyah ikat benang merah kat kaki Chor! Banyak benang merah sangkut kat sana!”, tambah Chor lagi..

“Kamu tahu ke idok benda ni mengundang ‘DIA’ untuk datang ke ghumoh kite?? “ gertak ayah ke arah Nyah

Nyah hanya menunduk sambil mengesat air mata..

“Bagaikan udoh jatuh ditimpa taik, dimaroh pulok si ayah pagi ni (Bagaikan jatuh ditimpa najis, dimarah pula oleh ayah pada pagi ini),” bisikku di dalam hati..

“Lepas ni ingat pesan ayah! Jangan sembarangan main kat pokok pisang tu faham?” bentak ayahku lagi..

“Faham ayah…” balas kami bertiga sambil menunduk…

Berdasarkan apa yang diterangkan oleh ibu, rupanya benang merah mahupun kain atau tali berwarna merah yang diikat pada pokok pisang adalah digunakan untuk menambat makhluk tersebut agar berdamping dengan orang yang mengikat benang tersebut.. cara itu lazimnya dilakukan oleh orang-orang dahulu untuk menjadikan makhluk tersebut sebagai utusan membalas dendam kepada orang yang dibenci..

Namun, kisah dan alasan terperinci mengenai perkara ini aku masih tidak begitu jelas.. mungkin ada dikalangan pembaca yang tahu tentang perkara ini, bolehlah berkongsi di ruangan komen nanti..

Ha… kalau kau orang nak tahu apa lagi kisah-kisah seram yang dilalui Pak Rahim semasa kecil, insyaAllah nanti Tiny tuliskan lagi jika ada kelapangan ya..

2 comments

  1. Jalan cerita menarik.. Cuma jadi crowd bila nk kena translate loghat perak ke bahasa melayu… Smpai pening kdg2 terbaca dua kali yg sama maksud..

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.