HASAN PART 9

BAB 9
MANA CHAKU?

“Bro, bila nak datang sini lagi?” tanya Yazeed ke pada aku (Chaku) melalui telefon.

Alamak! Aku dah serik sebenarnya pergi tempat Yazeed di Mering tu. Kali pertama aku pergi, macam-macam gangguan paranormal aku kena. Trauma tak hilang lagi.

“Malaslah aku nak pergi sana!” balas aku pendek.

“Janganlah macam tu, bro. Aku rancang nak buat kenduri doa selamat apa semua kat rumah aku ni. Kau datanglah sini, tolong aku uruskan,” jelas Yazeed.

Setelah fikir masak-masak, aku setuju untuk ke Mering bantu Yazeed uruskan majlis yang dia nak buat tu. Mungkin boleh selesai masalah gangguan di rumah dia lepas majlis tu nanti.

Nak tolong kawan punya pasal, bersemangat aku nak pergi Mering jadinya. Siap tukar tayar Michelin Pilot Sport 3 sebab nak layan selekoh jalan Kota Tinggi—Mering. Haha!


“Ha, bro! Sampai juga kau lagi sekali. Jom masuk! Layan biskut lutut cicah teh-O,” kata Yazeed menyambut ketibaan aku.

Biskut lutut? Apa benda punya biskut tu? Tak naklah! Aku beritahu dia yang aku lapar, dan aku kata aku nak makan berat. Dia syorkan Nasi Goreng Astro. Tadi lutut, ni Astro pula. Aneh-aneh betul makanan Mering ni.

Walaupun nama dia pelik, Nasi Goreng Astro tu serius sedap weh! Segala binatang ada. Kalau kau ada gout, meletup terus sendi lepas makan nasi goreng tu. Hahaha!

Lepas dah bincang-bincang pasal urusan majlis kenduri doa selamat, kita orang lepak di pantai Air Papan, lepas tu baru balik rumah Yazeed. Sampai rumah, aku terus tidur di bilik tamu. Penat gila.


HASAN / 57

KEDEGANG! KEDEGANG!

Aku terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi yang kuat. Terpisat-pisat aku bangun lalu melihat muka jam di tangan, 4:12 AM. Apa benda si Yazeed ni bertukang pagi-pagi ni?

Mula-mula aku malas nak ambil tahu, tapi lepas terdengar bunyi macam bunyi serunai, aku rasa curiga dengan apa yang si Yazeed tengah buat. Aku pun keluar bilik untuk periksa.

Ruang tamu gelap, tapi aku nampak pintu rumah ternganga sedikit kerana lampu di anjung luar rumah, meremang masuk ke dalam.

“Yazeed ni keluar ke?” detik hati aku.

Aku melangkah ke arah pintu untuk menyiasat. Bila aku buka pintu, kedengaran bunyi angin menderu-deru. Aku mengerut dahi dan mengenyit mata kerana angin menerpa ke dalam mata. Dingin bukan main.

Di luar, tak ada sesiapa. Selipar Yazeed ada di lantai. Kereta dia pun ada di tempat letak kereta. Dia selalu kata dia mampu Vitara sahaja, padahal kereta dia sebenarnya adalah Subaru Impreza WRX STI warna biru. Kereta rally pacuan 4 roda.

“Hmmm, kereta ada. Takkan dia keluar kaki ayam. Ni mesti si Yazeed ni tak tutup pintu rapat. Tu yang angin boleh tolak sampai terbuka,” omel aku sendirian.

Aku pun ambil keputusan untuk tutup dan kunci sahaja pintu tu, tapi masa aku nak tutup daun pintu, aku terdengar macam bunyi seseorang main serunai di luar. Jadi, aku buka semula pintu untuk periksa.

Tiada sesiapa.

Aku perhati segenap ruang di luar, memang tiada orang. Aku jadi makin curiga. Si Yazeed ni ada di luar ke ada dalam rumah? Nak keluar dan periksa, memang taklah. Kang jumpa benda-benda aneh kang, mampus aku. Jadi pilihan yang ada adalah, pergi bilik dia dan tengok dia ada ke tak.

Tak banyak lengah, aku terus tuju ke bilik dia. Nampak pintu bilik dia tak rapat. Aku dah mula buat tanggapan memang dia keluar rumah sebab pintu bilik tak rapat, pintu rumah tak rapat, maka kemungkinan dia lari keluar rumah tergesa-gesa.
HASAN / 58

“Ah! Selagi tak periksa, selagi tu tak tahu,” kata aku pada diri sendiri seraya menolak daun pintu bilik Yazeed perlahan-lahan.

Bila isi perut bilik tu kelihatan, meletup-letup jantung aku berdegup, bagai nak terputus tangkai jantung. Nafas pun terus tersekat di kerongkong.

Ternyata telahan aku salah. Yazeed tak keluar, dia ada dalam bilik. Cumanya, ada dua Yazeed dalam bilik tu. Seorang tengah tidur, dan seorang lagi tengah mencangkung di sebelahnya sambil melihat Yazeed yang sedang tidur tu.

Bila aku buka pintu, Yazeed yang mencangkung tu menengadah mukanya perlahan-lahan dan menyeringai. Terus aku tutup pintu. Kedegang!

Aku lari masuk dalam bilik tamu, tutup pintu laju-laju. Kedegang! Lompat atas katil dan berselubung menghadap ke dinding. Menggigil aku dalam selimut. Aku dengar pintu bilik sebelah dibuka— Keriuuuuk! Lepas tu punya tapak kaki berjalan perlahan— Tap! Tap! Tap! Tap! Tap! Tap!

Klik! Kriukkkk! Pintu bilik aku dibuka.

“Psstt, bro. Bro, woi Chaku, bangun. bangun.”

Itu suara Yazeed, tapi aku pejam mata rapat-rapat. Aku tak tahu nak sahut ke tak. Aku tak tahu tu suara Yazeed yang mana. Kawan aku, atau Yazeed yang satu lagi tu.

“Woi Chaku! Woi… bangun. Kau dengar apa-apa ke tadi?” ujar suara tu lagi. Dalam nada suara tu macam ada unsur sinis. Seolah-olah mengajing aku.

Aku pura-pura tidur. Aku tahan nafas. Aku khuatir kalau aku buka mata dan sahut, tibatiba Yazeed satu lagi yang terpacul depan aku. Aku terbayang muka menyeringai dia tadi. Mata dia penuh rasa benci. Senyuman dia penuh kelicikan.

Kriukkkk!

Bunyi pintu bilik ditutup kembali, disusuli bunyi tapak kaki beredar ke ruang tamu. Tap! Tap! Tap! Tap! Tap! Tap!

Hati aku lega sedikit. Benda tu dah beredar. Tak lama lepas tu, aku dengar bunyi pintu ditutup. Aku tak pasti pintu rumah atau pintu bilik Yazeed.
HASAN / 59

Aku kaku sahaja mendengar segala bunyi. Bunyi tapak kaki di korridor. Bunyi deruan angin di luar. Bunyi serunai. Bunyi suis lampu. Bunyi pintu. Bunyi air di tandas. Bila kau dalam ketakutan, deria kau semua jadi sensitif.

“BANGUN!”

Tiba-tiba suatu suara garau kedengaran. Akibat terkejut, aku terlonjak ke belakang dan jatuh dari katil. Bedebuk!

Aku menyiuk kesakitan. Sakit bukan kepalang. Tulang tungking aku macam retak seribu rasanya. Rasa seperti terkena renjatan elektrik. Kebas kaki aku. Rasa semut-semut di jari kaki.

Bila aku buka mata, aku jadi keliru. Aku terpinga-pinga. Aku kat mana ni? Kenapa janggal sangat ni? Aku bingkas bangun, dan melihat sekeliling.

Aku di luar rumah! Di garaj kereta!

Kegilaan apakah ini? Aku toleh kiri dan kanan. Suasana masih gelap. Masih malam. Angin masih menderu-deru. Dalam cemas tu aku terus lari ke arah pintu rumah.

Klak! Jeriji berkunci! Shit!

Macam mana aku boleh berada di luar rumah sekelip mata? Jeriji di pintu rumah ni berkunci kot. Aku pergi ke tingkap bilik Yazeed dan panggil nama dia.

“Yazeed! Woi! Bangun weh! Buka pintu!”

Tak ada respon, jadi aku pun buka sikit tingkap bilik dia dan hendap ke dalam. Terus terlompat aku ke belakang. Masa aku hendap, ada sepasang mata hendap aku semula. Mata bertentang mata.

Aku lihat sekeliling. Apa aku nak buat ni? Tak boleh masuk ke dalam rumah. Duduk luar pun cuak juga. Gelap lagi ni. Bila ternampak kereta aku, aku terus raba poket seluar. Kunci kereta ada dalam poket. Good!

Nasib baik balik makan tadi tadi aku tak tukar baju dan terus tidur. Aku keluarkan kunci kereta, buka pintu kereta, hidupkan enjin dan terus beredar meninggalkan rumah Yazeed!

HASAN / 60
Aku tekan pedal minyak sampai lantai. Berdecit tayar bergeser dengan tar. Mengaum enjin 2500cc sport sedan aku.

Aku lihat jam di papan pemuka kereta. 4:45 pagi. Bila dah menjauhi kawasan kuarters JKR di mana rumah Yazeed tu terletak, tiba-tiba aku teringat sesuatu.

Wallet! Handphone! Shit!

Aku raba-raba poket. Fuh! Nasib baik aku tak keluarkan juga dari poket! Aku keluarkan telefon dari poket dan dapati ia kehabisan bateri. Aku tak cas malam tadi.

Ah, pergi mampuslah! Yang penting aku dah tak ada dalam rumah puaka tu. Aku dah terkena dua kali, jadi jangan harap aku datang ke sana semula.

Aku pergi mana? Pergi mana lagi? Balik JBlah! Mana lagi! Aku sangka bila aku balik JB, gangguan ni akan berakhir.

Silap besar. Aku silap besar. rupa-rupanya, pagi tu bukan aku seorang sahaja pulang ke JB. Ada penumpang tak diundang ikut sekali.

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.