HASAN PART 8

BAB 8
DOA SELAMAT

Pemergian Hasan malam tu, buat aku makin tertanya-tanya, apa yang dibisikkan kepada Hasan, kerana ini mungkin ada kaitan dengan aku. Jadi, aku mungkin dapat sedikit petunjuk angkara apa.

Pada waktu itu, aku memang tak tahu apa pun tentang cerita, atau klasifikasi jenis makhluk-makhluk ghaib ni.

Ada yang mengatakan penunggu, ada yang kata saka, tapi saka tu macam mana?

Ada yang kata hantu raya, berbulu? Tak pernah pula nampak bulu. Tempoh hari di wad tu, hanya bayangan bengis dan tinggi. Tak pula aku nampak lambaian bulu di badannya.

Selepas kelibat yang muncul dari pintu belakang ambulan tu menyebabkan aku terpaksa memilih untuk tidur di Jabatan Kecemasan. Ada ramai orang, taklah cuak sangat.

Aku di Wad 6 masih runsing, kaki masih terketar, aku tak sabar. Lutut bergoyang atas ke bawah bagaikan menunggu keputusan peperiksaan. Aku pun menelefon Jabatan Kecemasan di Johor Bahru untuk mencari siapakah doktor yang bakal melihat Hasan nanti.

“Hello, Saya doktor on-call dari Jabatan Kecemasan Hospital Mering, boleh sambungkan ke doktor on-call Jabatan Kecemasan?”

Panggilan aku disambungkan kepada doktor on-call. Rupa-rupanya doktor itu kawan yang aku kenal semasa aku bekerja di Johor Bahru sebelum dipindahkan ke Mering.

“Bro! Aku ni, Yazeed. Ingat lagi tak dulu kita posting ortopedik sama-sama?” aku bertanya Dr. Maslan(bukan nama sebenar).

“Hai bro, ya aku kenal lagi. Kau dekat Mering, kan? Apa cerita kalut sangat ni? Ada refer kes apa?” tanya Dr. Maslan

“Macam ni, aku ada refer ke bahagian surgical tadi. aku hantar kes GI bleed (pendarahan). Pesakit RVD positive. Hemoglobin 7. Darah pun gelap, aku agak upper GI bleed. (pendarahan bahagian atas),” aku terangkan.
HASAN / 47

“OK nanti pesakit kau sampai, aku inform bahagian surgical segera, tapi apa yang kau cuak sangat? Biasalah case bleeding ni,” tanya Dr. Maslan pelik.

“Bro, aku nak mintak tolong satu benda. Nanti kau periksa consciousness (kesedaran) dia. Tadi dia macam lemah sikit, dan yang paling penting kalau dia ada cakap apa-apa yang bukan-bukan selain daripada jawab soalan kau, kau cuba fokus apa yang dia cakap, OK?” rayu aku.

“Alah, tak ada hal lah. Pesakit pendarahan ni biasanya memang tahap consciousness akan kurang sedikit. Kenapa kau macam pelik je ni?” tanya Dr. Maslan.

“Tak ada apalah, aku sengaja nak tahu je, sebab dekat sini, dia ada kena gangguan sikit. Meracau. Aku nak tahulah, jika dia ada cakap apa-apa,” ujarku.

“Iyalah iyalah, nanti aku pasang telinga. Kalau aku dengar apa-apa nanti aku beritahu, walaupun aku tak faham apa yang kau nak, haha,” Dr. Maslan gelakkan aku.

“OKlah, kalau ada apa-apa nanti, kau call aku, ya!”

Perjalanan dari Mering ke Johor Bahru mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit dengan ambulans, tapi kalau pakai Honda Dolphin swap K20, sekilas petir je tu. Sementara menunggu panggilan, aku pun mengambil keputusan untuk tunggu di kecemasan. Nak pulang ke rumah, seram pula.

Aku pun berjalan perlahan dari Wad 6 ke Jabatan Kecemasan. Seperti biasa, suasana suram, gelap, sunyi dan malap.

Srettttt… srettttt! Semakin haus tapak kasut aku. Dah buruk, dah lama, kasut dari zaman belajar di university namun ianya masih selesa. Aku seretkan lagi kaki aku supaya aku tak dengar bunyi-bunyi yang lain. Habis bersepah batu-batuan atas jalan tar.

Kali ini, waktu aku melintasi Wad 5, aku mempercepatkan langkahku. Aku tidak mengintai pun pohon besar itu.

Nun jauh, aku nampak ada orang sedang berjalan ke arah aku, menuju ke arah Wad 6. Aku yakin itu orang. Pakaian dari atas serba putih dan segak, Aku mula lega, ada juga yang teman di kala sudah lewat malam ni.

Makin lama makin hampir. Lebih kurang 30 kaki. Aku makin dekat.
HASAN / 48

“Siapa yang tengah jalan ni eh?” aku tanya dalam hati.

Gayanya tunduk ke bawah, jalan perlahan, tak bawa apa pun di tangan. Aku semakin hampir, sewaktu bahu melewati bahu, aku sapa, “Selamat malam!”

Dia terus berjalan melepasi aku, tanpa membalas sapaan aku. Pelik!

“Selalu staf mesti kenal aku, bukan besar sangat tempat ni, belum lagi ada staf yang aku tak kenal.”

Dalam keadaan yang gelap, samar dan malap, aku tak nampak dengan jelas wajah atau rupa dia. Aku mengambil keputusan untuk menoleh. Aku pun toleh ke belakang, mengintai. Tiba-tiba dia menoleh ke arah aku semula.

Perlahan-lahan aku mengerut dahi ketika renung ke arah aku. Tolehan aku dibalas dengan kejutan. Semput, kecut paru-paru bagaikan tercekik dileher. Rasa berat untuk mulakan larian, namun aku lari!

Lari mencari di mana aku parkir keretaku. Mencanak dan terseksa. Macam sebelum ni, seksaan lari tanpa jeritan. Ya Allah. bila kau akan hentikan semua ini?

Jantung berdegup laju. Lintang-pukang larian aku, lebih teruk berbanding larian dari bilik mayat tempoh hari.

Mana kereta, mana kereta? Allahuakbar! Allahuakbar! Aku parking mana ni? Aku lari sambil mengintai mencari keretaku. Pertama kalinya dalam hidup, aku melihat…

Wajah aku sendiri, tapi pada jasad yang lain.

Hah! Itu pun kereta aku! Cepat-cepat aku bergegas. Iyalah takkan aku tak perasan muka sendiri. Hari-hari tengok muka di cermin, cuma bezanya aku tak pernah lagi lihat wajah sendiri dalam keadaan mata merah dan bengis pada jasad yang lain. Takkanlah tengok depan cermin sambil buat gaya macam tu, kan?

Aku pun terus memandu. Pandu ke kedai mamak. Ramai orang, lega sikit tapi dalam hati ni masih goyang. Aku pun lepaklah mamak, duduk santai, minum teh tarik. Bosan! Jadi, aku telefon Pak Leman.

“Pak Leman, malam ni shif malam ke?”
HASAN / 49

“Ya, doktor. Ada ni, tadi buat rondaan di belakang jabatan X-ray. Kenapa, doktor?”

“Pak Leman, mari la minum kopi sekejap. Saya di kedai mamak di bandar ni. Ada perkara nak cerita.”

15 minit lepas tu, Pak Leman sampai. Dia mengangkat tangan menyapa, senyumannya ditutup misai.

“Ha, kenapa ni, doktor? Macam isu besar saja bunyinya.”

Aku pun menceritakan apa yang berlaku dari awal hingga ke sudah. Yang peliknya, selesai sahaja aku cerita, Pak Leman hanya senyum sinis. Aneh!

“Saya dah agak dah, doktor. Saya selalu nampak doktor berlegar di kawasan hospital ni, tapi saya tau itu bukan doktor. Aaya ada telefon kawan saya, ustaz yang pandai dalam bab ni. Ustaz tu kata, perhatikan dahulu.”

Terbeliak mata aku. Selama ni Pak Leman tahu semua cerita ni?

“Pak Leman, kenapa tak beritahu saya dari awal? Yang di bilik mayat tu, Pak Leman tahu?” aku tak puas hati.

“Bukan apa, Pak Leman tak mahu doktor jadi lebih takut. Nanti nak kerja susah. Lagi pun Pak Leman tak nak doktor panik. Kalau ada kecemasan pesakit, doktor tak boleh fokus. Tu lebih penting.”

Betul juga kata Pak Leman, tapi dia tak tahu aku kena lagi teruk di rumah dan hotel.

“Pak Leman boleh tak kita panggil ustaz tu, baca doa selamat di rumah saya malam lusa? Nanti saya jemput beberapa orang untuk datang,” aku beri cadangan bernas.

“Boleh, nanti saya aturkan dengan ustaz tu. Biasalah doktor, bukan doktor seorang sahaja yang kena. Ramai lagi staf lain yang kena gangguan yang lebih kurang sama, tapi mereka tak nak ceritakan. Takut nanti menakutkan staf-staf yang lain. Habis siapa nak kerja nanti?” jawab Pak Leman sambil tergelak.

Seusai itu aku pun pulang ke rumah. Waktu tu sudah jam 5 pagi, tekanan jiwa betul, nanti pukul 8 pagi nak kerja semula.

HASAN / 50
Sampai di rumah kali ni, keadaan lebih tenang. Walaupun gelap dan suram, suasana tak menyeramkan. Bulu roma pun tidur sahaja. Aku buka semua lampu dan kipas, serta salin pakaian baru. Aku baring di dalam bilik lalu terlena hingga pagi. Tenang bagaikan tiada apa-apa.

Tenenettt! Tenenettt!

Pengera berbunyi. Aku lihat telefon. Ya Allah, dah jam 10 pagi! Notifikasi mesej dan panggilan puniyalah banyak! Aduh, dah lambat! Cepat-cepat aku bersiap, dan terus ke hospital. Sampai sahaja aku di wad, misi dah pandang aku.

“Hai doktor, lambat hari ni…”

“Saya terlajak tidurlah. Malam tadi kes Hasan punya pasallah ni,” aku jawab.

“Doktor, ada berita tak baik,” kata misi.

Aku mulai seram.

“Eh, apa tu? Hasan macam mana? Kawan saya tak ada pula telefon saya lagi.”

“Tadi pagi, pengarah ada datang, tapi doktor tak sampai lagi. Pengarah geleng kepala sahaja. Dia marahlah tu kot.”

Aduh, kantoi besar! Aku tak sengaja, tapi tak apalah, nanti aku sendiri mesej pengarah untuk minta maaf. Aku pun teruskan rondaan wad. Sampai sahaja di katil Hasan, aku terus teringat kembali tentang Hasan. Apa cerita dia di sana?

Aku pun menelefon Dr. Maslan.

“Hello, Bro Selan! Aku nak tanya sikit ni.”

“Bukan pasal GST tau, pasal Hasan. Macam mana? Pesakit aku si Hasan tu ada tak? Semalam apa jadi?”

“Oh, Hasan! Ada sampai semalam. Kelam-kabut kami standby darah untuk transfuse. Nampak makin tak bagus. Sekarang di ICU, masih lagi dalam rawatan,” jawab Dr. Maslan

“Semalam dia ada cakap apa-apa tak?” tanyaku.

“Tak ada pula, bro. Dia sampai dah lemah, tak cakap apa pun.”
HASAN / 51

“Oh OK, nanti kau update aku lagi ya.”

Makin runsing, seribu teka-teki. Tapi, penting ke petunjuk dari Hasan tu?

Mungkin ya, mungkin tidak.

Tak apalah, nantilah aku tanya sendiri bila Hasan dah pulang. Semakin lama, semakin aku serabut dengan pelbagai gangguan yang datang.

Sebelum ni, aku pernah mencabar ke? Tak juga. Aku hanya dilatih untuk tidak percaya kepada perkara ghaib. tetapi akhirnya kena pada batang hidung sendiri.

Aku tak pernah cabar. aku tak pernah celupar…

Petang ni, Chaku (Dr. Kamarul) datang. Syoklah ada teman. Senang aku nak rancang untuk kenduri doa selamat esok. Ada orang teman tidur di rumah. Tapi bilik asinglah ya! kami bukan LGBT. Harap maklum!

Lebih kurang jam 6 petang, yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Yang Amat Berhormat Chaku akhirnya sampai di tanah Mering dengan BMW M-Sport dia. Memang penuh bergaya! Aku hanyalah pembela besi buruk Suzuki Vitara berwarna hitam belak. Tapi, aku rasa Vitara pacuan 4 roda tu lebih kacak dan ganas. Vitara ni aku beli khas untuk tujuan memancing. Tak sesuai pandu Subaru impreza kesayangan tu untuk pergi memancing.

“Ha bro, sampai jugak kau lagi sekali. Jom masuk, layan teh-O cicah biskut lutut” pelawa aku teruja kerana ada kawan teman malam ni.

“Fuh, layan juga selekoh pergi Mering ni. Aku baru tukar tayar tadi di Johor Bahru, dia punya cengkam memang terbaik.”

Dalam hati aku, ‘Eleh, eksyen-lah tu pakai kereta sport.’

“Sekut kering je ke? Pizza ke, spaghetti ke, tak ada ke?” perli Chaku yang kononnya Johor Bahru tu moden sangat.

“Bro, pizza tak ada, spaghetti jauh skali, tapi kau mesti tak pernah makan Nasi Goreng Astro, kan? Kau rugi bro! Dekat JB tak ada! Kejap lagi, lepas maghrib, kita pergi!”

HASAN / 52
Kalian pernah rasa Nasi Goreng Astro? Tak pernah, kan? Hanya di Mering sahaja ada. Kalau kalian nak tahu, kedai tu betul-betul di sudut simpang dari Mering masuk kiri ke arah Kluang, ikut Felda Nitar.

Lepas maghrib kami pun ke kedai Nasi Goreng Astro. Si Chaku dah terkebil-kebil.

“Bro, kedai ni nampak macam biasa je, mana Astro? Astronaut pun tak nampak,” perli Chaku si orang bandar.

“Ah, tu tak penting! Kau rasa dulu. Nama dia Astro sebab macam-macam ada. Dalam nasi goreng tu semua jenis lauk ada. Kau rasa dulu, tambah lagi telur mata. Memang menangis,” aku cuba meracun.

“Fuh! Memang sedap nasi goreng ni! Terbaiklah!.Dari haiwan laut sampai haiwan darat. Memang sarat!” akhirnya Chaku setuju dengan selera aku.

“Bro, aku ajak kau datang ni nak ajak bincang dan tolong uruskan kenduri doa selamat esok. Aku nak buat baca-baca ayat suci al-Quranlah. Dari pindah masuk, aku belum pernah lagi buat majlis perasmian,” ujarku.

“OK, boleh. Esok aku uruskan bab makan. Nanti kau kasi aku kenalan yang mana boleh sediakan masakan, aku tolong uruskan. Lepas tu nanti aku carilah surau mana-mana untuk pinjam buku yasin. Kau pastikan tetamu semua dah diberitahu. Kita buat lepas maghriblah, OK?”

Lega hati aku, ada juga yang boleh ringankan beban. Cumanya, aku belum bersedia untuk ceritakan hal sebenar.

Malam tu, selepas makan kami terus ke pantai, kononnya saja nak pusing-pusing ambil angin malam. Duduk rumah aku pun bosan juga, bukan ada apa. Kami pulang jam, 12 malam.

“OK bro, kau pergilah mandi, solat dulu, buat apa yang patut. Kau tidurlah di bilik tetamu ni. Bilik ni selalu mak ayah aku guna kalau dia orang datang sini. Selimut semua dah ada, kain kensal dalam almari tu ya,” ujarku.

“Itulah, aku pun dah penat ni. Aku pun nak tidur awal. Esok banyak kerja nak di selesaikan ni,” balas si Chaku.

“OK bro, esok pagi-pagi aku kejut. Kita pergi sarap dekat satu kedai ni, tepi laut. Syok bro! Memang syurga. Dah dah! Kau pergi rehat dulu,” aku putuskan perbualan.
HASAN / 53

Lebih kurang jam 4 pagi.

Kedegangg! Kedegangg!

Aku tersentak bagai minta nyawa. Kuat betul bunyi hempasan yang datang dari ruang tamu depan. Terus segar mata yang layu tadi.

“Eh bunyi apa pula ni? Kuat semacam. Siapa pula yang hentam pintu depan ni.”

Aku mula meremang semula. Bibir terkumat-kamit, berketap gigil. Aku sambung selimut, tutup kepala. Bunyi lagi!

Chettt! Chett! Chett! Kedegang! Kedegang!

Tak boleh jadi, aku serba tak keruan. Hati mendesak ingin lebih tahu. Perlahan-lahan aku bangkit, sambil tangan meraba mencari suis lampu. Lampu terbuka. Perlahan aku pusingkan tombol pintu sambil aku tarik ke dalam. Aku mengesot keluar.

Aku pandang ke dapur, gelap tapi nampak baik-baik sahaja walaupun dapur aku tu seram bagai nak gila. Aku teruskan menyusur ikut dinding ke bilik tetamu. Aku buka sedikit bilik tamu, dan masuk menyelinap, mengintai.

“Pssssttt. Bro, bro! Woi Chaku, bangun, bangun!” aku bisik dari pintu.

Kelihatan si Chaku sedang enak tidur dibuai lautan mimpi, mengiring menghala ke dinding. Bilik gelap, hanya sedikit biasan cahaya dari luar. Bunyi kipas yang acuh tak acuh. kelibat Chaku yang diselubung selimut bunga, masih lagi terbaring tidur nyenyak.

“Woi Chaku… Woi, bangun… bangun! Kau ada dengar apa-apa tak?”

Namun teman yang aku sangkakan berfungsi sebagai peneman, akhirnya tidak berguna langsung malam tu. Tak sampai hati aku nak kejutkan dia, dah la pandu kereta dari Johor Bahru. Tentulah si Chaku ni kepenatan.

Tapi tak mengapa, aku sekurang-kurangnya rasa lega. Ada juga orang di dalam rumah ni. Nak tak nak aku harus periksa juga apa yang berlaku di depan. Aku pun berjalan terus ke ruang tamu. Perlahan-lahan aku mencari suis lampu dan hidupkan.

HASAN / 54
“Eh, kenapa pintu depan ni tak tutup rapat? Mungkin ada orang pecah masuk ni. Grill pintu pun terbuka.”

Anehnya, rumah aku ni kemas sahaja. Kunci kereta dan computer riba elok sahaja ada di atas meja. Dompet aku pun ada. TV pun ada, semua yang ada atas meja, apa pun tak terusik. Kalau pencuri, kenapa dia tak angkut semuanya? Pelik betul.

Jadi aku pun kunci semula segala pintu yang ada. Kunci, aku simpan dalam poket seluarku. Aku berjalan masuk ke arah bilik. Sebelum tu aku singgah di bilik Chaku. Aku buka perlahan, kononnya nak kejutkan Chaku.Bila aku masuk, si Chaku masih lagi di taman mimpi yang indah.

“Mamat ni jenis tidur mati. Kalau on-call ni mesti panas hati operator nak cuba hubungi dia. Nak kejut tak sampi hati, esok jelah aku cerita. Lagipun bukan ada apa yang hilang.”

Aku sebenarnya masa tu emosi bercampur, takut dan tenang. Takut, seram, tapi dapat di atasi dengan kehadiran Chaku di bilik sebelah. Itu membuatkan aku yakin dan lega. Aku pun masuk ke dalam bilik, tutup lampu dan sambung tidur.

Tiba-tiba, baru sahaja lelap 10 minit, —

Krakkkkk! Bunyi pintu bilik Chaku terbuka.

Kecak! Kecak! Kecak! Tapak kaki berjalan melepasi hadapan bilik aku.

Krakkk! Pintu tandas terbuka.

Baammmm! Hempasan pintu tandas tertutup.

Haih, buat suspen sahaja si Chaku ni. Nak terkencing baru kau bangun, ya? Aku geleng kepala.

Pagi tu, macam biasa aku bangun awal. Selesai solat, mandi, tak sabar nak kejut si Chaku ni. Kononnya nak bersarapan di jeti awal pagi.

Kalau kalian pernah sampai ke Mering, banyak kedai sarapan pagi ada di jeti depan laut. Pekena teh tarik, roti canai atau pun nasi dagang, diselitkan lagi dengan kuih tempatan, dia punya kalori bukan kepalang. Memanglah bertambah berat badan. Tapi nak buat macam mana, memang tradisi makanan kita macam ni, kan?

HASAN / 55
Setelah siap semuanya, aku pun ketuk pintu bilik Chaku, tak berjawab. Aku pun buka terus, dengan harapan si Chaku masih dalam keadaan berselimut. Ya lah. Takut-takut ternampak kawan kau punya tiang bendera pagi terselak. Mahunya aku muntah darah, meninggal dekat situ. Malangnya, dia bangun lebih awal.

Mana si Chaku ni? Dahlah katil bersepah tak dikemas. Awal pula mamat ni bangun, Beg baju masih ada lagi. Mungkin dekat depan kot. Aku pun terus ke ruang tamu. Eh mana mamat ni?

“Chaku oi! Bro, mana oi? Jom sarap!” ujarku.

Aku cari dia di tandas, tiada. Aku jenguk di dapur, pun tiada. Hairan, si Chaku ni pergi ke mana? Aku pergi ke ruang tamu, tiada. Pintu masih terkunci rapi. Aku masuk semula ke bilikku, cari kunci dalam poket yang malam tadi aku simpan.

Aku buka pintu luar dan keluar.

Mana pula hilang si Chaku ni? Kereta dia pun tiada!

Aku masuk semula. Aku periksa semua pintu. Pintu belakang terkunci. Pintu ke garaj pun terkunci. Hanya aku seorang pegang kunci, dan tiada kunci pendua. Tingkap pun tertutup. Takkanlah si Chaku ni gila nak keluar ikut tingkap. Hilang akal ke apa?

Boleh je dia kejut aku minta kunci.

Makin lama makin pelik. Aku cuba menelefon si Chaku.

“nombor yang anda dail, tiada dalam perkhidmatan,” suara operator wanita,

Kenapa bertubi tubi teka teki yang datang. Sekarang, bukan lagi hanya Hasan seorang, tapi ditambah lagi seorang yang memeningkan otak aku.

Mana Chaku?

Yang pasti aku akan ke Johor Bahru sendiri untuk mencari Hasan.

Advertisements

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.