HASAN PART 7

BAB 7
BISIKAN

Dalam rimbunan selimut, aku terketar satu badan. Deruman guruh saling berdentum, anak mataku sekali lagi fokus, kini lebih tajam.

“MasyaAllah!”

Bayangan dua kaki yang sedang berdiri di dalam kegelapan. Aku hairan. Bukankah selalunya kelibat ni dalam filem pakai kain jubah, tapi kali ini aku nampak bayang-bayang kaki dari biasan cahaya yang datang dari bawah pintu.

Tiba-tiba hidungku setajam anjing buruan. Bau hanyir singgah ke dalam rongga hidung. Aduh tak tahan. Bagaikan bau bangkai.

Makin laju kumat kamit ”Lailahaillah Allahuakbar”

Ayat kursi? Tiba-tiba langsung tak muncul di fikiran. Nak mula surah macam mana pun tak ingat. Aku blank!

Dalam hati “habislah aku. Nak buat macam mana ni? Kalau aku jerit kang, orang sebelah ingat pondan mana jerit-jerit malam-malam ni.”

Dulu aku pernah ceritakan tentang respon automatik manusia fight or flight?(lawan atau lari?). Kali ini, nak lari, tapi lari ke mana? Sang kelibat di hadapan pintu, takkan aku nak keluar ikut tingkap? Tak pasal nanti masuk berita doktor bunuh diri. lagi merapu.

Nak lawan? Aduhai, aku kalau boleh tak nak tengok lagi kelibat tu dengan jelas. Cukuplah bayang-bayang dah buat jiwa goyang.

Lawan pun tak boleh, lari pun tak boleh, jadi aku mengambil keputusan untuk mengelak. Aku pusingkan kepala, perlahan-lahan masuk ke bawah bantal, mata aku pejamkan kuat-kuat, kaki kejang rapat. Tiba-tiba…

Tap! Tap!

Aku terasa bahu kananku disentuh, ditepuk perlahan dua kali. Aku tak endahkan. Aku tetap meniarap, kepala di bawah bantal. Sesak nafas tahu tak? Rasa macam tak ada kerja lemaskan diri sendiri.
HASAN / 40

Tap! Tap! Tap!

Kali ini, kali ketiga. Ah sudah, habislah aku. Kali ni, kepla masih di bawah bantal, aku cuba menoleh ke kanan. Aku cuba intai jika ada jasad atau kelibat yang berada di sebelah.

Tak nampak pula. Rasa nak kejang satu badan, meremang bagai nak gila. Aku intai lagi. Aku amati di sudut hujung tingkap, bagai ada satu lembaga gelap yang berdiri, menutupi biasan cahaya dari luar. Bentuk kepala, bentuk badan, lurus ke bawah.

“Apa pula ni? Bila masa dia berdiri di situ pula?” keluh dalam hati.

Aku terperangkap, hanya katil sahaja kawasan yang aku ada. Aku kaku.

“Aduh, apa nak buat ni?”

Shhhhhh! Shhhhhh!— datang dari telinga kiri.

Maknanya datang dari belah pintu, tapi yang paling menyeramkan, bunyi tu datang betulbetul sebelah telinga. Aku tekap muka aku lebih kuat. Aku tak boleh tahan bau hanyir. Bangkai, lumpur, lumut, apa lagi? Semua ada. Aku harap aku bermimpi, tapi tidak…

Srettttt!

Selimut ditarik, kini tidak lagi menutup muka, aku makin kejang, makin gigil, makin lama makin turun ke pinggang. Kini tiada apa lagi yang menutupi aku dari pinggang ke atas.

Kenapa macam sama dalam filem hantu yang lain? Aku tak faham.

Muka masih di bawah bantal.

Bagaikan nak histeria perasaan pada masa tu.

Dia usik lagi— Tap! Tap! Tap!

Tepat ditulang belakangku.

“Haih, boleh gila macam ni.”

Aku tak tahan lagi, bagaikan budak yang sedang diperkontang-kantingkan.
HASAN / 41

“JANGAN KACAU AKU! Ya Allah Kau lindunglah aku! Allahuakbar!”

BRangggg! Guruh makin kuat berdentum dentum! Kilat sabung menyabung. Cahaya biru putih saling terpancar di balik langsir menampakkan rimbunan bayang yang jelas. Aku makin kejang, tak boleh lari, hanya menjadi saksi kepada kewujudan.

Kali ini lebih jelas penampakan susuk bertubuh seakan manusia di belakang langsir. Susuk bonjolan kepala yang bujur, dilitupi garis rambut mengurai panjang jatuh ke bahu, rangka tangan yang panjang dan jari-jemari menari.

Kemudian hilang… bagai hembusan asap yang menyelinap pudar.

Aku kaku. Mataku menular, tular ke atas, bawah, kanan dan perlahan-lahan terpakunya aku di tolehan ke kiri. Aku gumpalkan cadar, aku gigit sekuat-kuatnya. Tanganku aku genggam seat-eratnya di hujung bantal, masukkan kembali mukaku ke dalam bantal.

Kerana dalam bayangan itu, kali ini si dia berada di atas meja solek. Duduk sambil mengurai belai rambut ikal. Mulanya pandang lurus, perlahan-lahan dia toleh ke arah aku.

“Oh shit!” sempat mencarut dalam hati.

Langsir tadi yang separa terbuka tiba-tiba dengan sendirinya bergerak perlahan ke tengah, menutupi kesemua ruang tingkap. Suasana makin gelap. Akhirnya, aku tak tahan, berani dalam ketakutan. Kalian paham tak perasaan itu?

“Oi! Kau nak apa, sial?”

“Dahlah tu!! KAU NAK APA?” tanya aku sambil muka di bawah bantal.

Suaraku keluar dari celahan bantal. Aku curi jerit. Aku dah tak tak tahan! Tiba-tiba..

Aku rasa, kalian patut bersyukur kalau tak pernah kena macam ni. Rasa yang aku tak boleh nak terangkan lagi. Kalau aku ada sakit jantung, mesti dah meninggal.

Tusukan hujung jari yang aku rasa menyentuh, mulai kulit tengkuk, perlahan-lahan belaian itu turun ke pinggang, selari dengan tulang belakang. Aku makin kejang, mata makin rapat, gigil tetap gigil, selimut tutup separa.

Aku rasa aku kini dibelai bagaikan kucing, haiwan belaan yang dibelai-belai.
HASAN / 42

Masa tu, aku memang rasa nak gila. Nak jerit tak boleh, mulut keras tertutup. Semakin lama rasa makin berat. Mesti ramai yang pernah kena timpa kan? Ha, macam tulah. Tak mampu nak gerakkan apa pun anggota badan.

Hinggahlah aku penat, akhirnya aku tumpas, aku terlelap, aku tertidur dalam keadaan yang pasrah.

Esok paginya aku tak bekerja. Sakit kepala tak boleh tahan. Aku dah beri tahu pada rakan sekerja dan pengarah yang aku tak sihat. Aku masih terbaring di atas katil, merenung sekeliling bilik. Betapa aku diduga tanpa belas kasihan malam tadi. Nasib baik tak histeria.

Aku pun bersiap untuk pulang dan check out dari hotel.

Setibanya aku di rumah, aku duduk di sofa, berfikir sejenak.

Adakah rumah ni yang berpuaka?

Adakah bilik hotel tu yang berpuaka, atau sebenarnya si puaka ni semua yang ikut aku?

Soalan macam biasa— ‘malam ni nak tidur mana?’

Perah otak, puas memikirkan. Akhirnya aku berpendapat, sebenarnya akulah puncanya. Si kelibat itu hanya ikut aku ke mana sahaja dan dah mula sikit demi sedikit untuk menunjukkan dirinya.

Tapi adakah kelibat itu satu, atau lebih?

Bagaimana dengan Hasan? Macam mana pula dia nampak aku dalam wad? Kenapa aku ada pendua? Kenapa si dia bertukar wajah iras aku? Bagaimana dengan Awi yang nampak aku sedang berjalan ke wad, sedangkan aku berada di hotel?

Kenapa aku ada pendua?

Kalian pernah tonton filem VERONICA? Kisah benar tentang seorang remaja wanita berumur 15 tahun yang memuja syaitan menggunakan ouija board? Ada satu babak di mana Veronica sedang berjalan dan terserempak dengan si pendua sendiri. Muka dan pakaian yang sama, cuma ekspresi wajah yang lain. Malangnya Veronica meninggal selepas enam bulan diganggu kelibat itu.

HASAN / 43
Waktu itu polis yang menjalankan siasatan terjumpa gambar Veronica yang terbakar. Selepas daripada itu, semua polis yang terlibat, jatuh sakit selama sebulan dan ketua penyiasat dipindahkan ke daerah lain.

Jadi si pendua ini, adakah perkara ini memang sama tak kira dari mana negara? Contoh Veronica datangnya dari Spain.

Kesimpulan yang aku dapat rencah kan, kau pasti akan terserempak dengan si pendua jika ada yang sedang mengikuti kau, atau selama ini dia ada tapi kau tak perasan, atau pun kau belum bersedia untuk nampak.

Aku cuma risau jika psikologi aku makin terbawa-bawa dan menyebabkan gangguan jiwa. Syukur alhamdulilah ada penawarnya.

Rimas betul hidup macam ni. Jadi aku bercadang untuk adakan kenduri doa selamat. Aku pun telefon Chaku. Kalian kenal Chaku si penulis buku GHOSTPITAL tu, kan? Dia junior aku masa di universiti.

“Bro, bila free tak kerja? Aku cadang nak buat doa selamat. Jomlah turun Mering! Pantai cantik kot. Boleh berkonvoi layan jalan selekoh,” kata aku pada Chaku. Trylah BMW M-Sport kau tu. Takkan bawa pergi pasar je,” saja aku perli dia.

“So far, mula esok aku cuti, bro. Tak ada apa plan. OK juga tu, makan kenduri free,” balas Chaku.

Aku tak mahulah beritahu dia apa sebenarnya sebab aku minta dia turun ke Mering, dan kenapa aku nak buat kenduri doa. Takut nanti dia tak mahu datang. Jadi aku pancing dia dengan kecantikan pantai. Kami memang sama-sama minat main kereta, seronok dapat layan selekoh dari Mering ke Endau.

“Tapi, Chaku boleh datang esok. Malam ni macam mana eh?” aku pening.

“Ah, tengoklah macam mana. Terpaksa tidur rumah, tidur dekat sofa, pasang TV, pasang lampu, kalau apa-apa nak lari dah dekat. Bijak plan ni, bijak,” aku berbangga.

Pada malam tu, aku dapat panggilan dari wad jam 11 malam.

“Doktor, maaf ganggu. Saya tahu bos tak on-call, tapi saya nak inform tentang Hasan. Tekanan darah menurun, makin pucat, kurang respon, jantung laju, saya periksa lampin dia,
HASAN / 44
banyak darahlah, doktor. Saya dah inform doktor on-call, tapi saya sengaja beritahu doktor sebab Hasan kan pesakit Wad 6.”

“OK baiklah, saya datang sekarang. Tolong saya ambil darah untuk periksa kandungan darah secepat mungkin. Sementara itu, lajukan IV drip. Periksa SP02 (tahap oksigen), jika kurang dari 98%, mulakan nasal prong untuk bantu pernafasan,” Arah aku.

Aku pun terus bergegas ke wad, dan setibanya aku di sana, Hasan masih lemah.

“Berapa bacaan darah merah, ya?” aku tanya misi.

“Hemoglobin terbaru— 7.0, doktor!”

Patutlah Hasan makin lemah, pendarahan rupanya. Hasan perlukan bantuan tambahan darah. Aku pun hubungi Hospital Johor Bahru untuk rujuk pada pakar. Akhirnya Hasan diarah untuk dihantar ke hospital Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Aku lega.

Selesai persiapan untuk menghantar Hasan ke Hospital Johor Bahru, ambulan sudah pun berada di hadapan wad, kami pun tolak Hasan masuk ke ambulan. Sebelum aku tutup pintu belakang ambulan. Tiba-tiba tangan Hasan menggengam tanganku dirangka stretcher. Dia tarik lenganku ke bawah mendekatinya. Hasan berbisik.

“Saya dah tahu. Malam sebelum tu bukan doktor yang temankan saya, kan?” tanya
Hasan.

Alamak! Aku tergamam.

“Kenapa tiba-tiba awak cakap macam tu, San? tanyaku.

“Malam tadi, dia datang lagi. Kali ini betul-betul duduk sebelah saya. Mula-mula saya ingat doktor. Rupa memang sama tapi dia senyap pandang ke tepi. Saya pelik. Saya tanya, ‘doktor kenapa duduk di sini? Tak balik rumah ke?’

“Benda tu pusing ke arah saya. Saya terketar. Tiba-tiba dia rupa berubah— rambut panjang, muka bekedut, bau hanyir busuk, bayang-bayang senyuman ke arah saya. Saya tak boleh lari mana. Saya rasa badan berat. Saya jerit pun mis tak dengar. Saya menangis. Saya dapat rasa air mata mengalir. Saya kaku”

Mata mula terbeliak balik, aku tanya lagi, “lepas tu, San. Apa jadi lagi?”

HASAN / 45
“Dia bisik sesuatu pada saya.”

“Dia cakap apa, San?” aku tanya lagi ghairah! Aku makin rapat sambil tangan menggigil genggam tangan Hasan.

“Doktor! Kita kena gerak sekarang ni. Pakar dah tunggu tu” kata pemandu ambulan, ”takut nanti dorang salahkan saya sampai lambat.”

Genggaman tangan Hasan makin kuat. Aku lepaskan. Aduh kacau betul, tapi demi keselamatan Hasan, aku tak mahu berlengah lagi. Aku harap Hasan selamat.

Tunggu Hasan balik nantilah tanyaku. Curiga, jiwa ingin tahu makin tebal. Aku tak senang duduk. Tak sabar tunggu Hasan pulang ke Mering semula. Aku betul-betul ingin tahu apa si kelibat tu bisik pada Hasan.

Aku tutup pintu ambulan, dan berdiri kaku sambil melihat ambulan berlalu pergi. Setelah itu, sekali lagi aku tergamam. Dalam lima kaki dari tempat aku berdiri, aku nampak di pintu kaca pintu belakang ambulan, bayangan susuk putih berdiri, memandang tepat ke arah aku sambil senyum. Terpaku aku melihat ia pergi bersama Hasan.

Takkan aku nak lari ke belakang. Belakang tu arah rumah mayat. Aku lari macam biasa, seksaan tanpa jeritan, masuk semula ke Wad 6.

“Doktor tak nak balik ke? tanya misi.

“Hmmm nantilah. Saya plan nak tidur di Jabatan Kecemasan”

Apabila aku rasa makin takut dan kerdil.

Dia sudah mula berani menunjukkan dirinya.

Aku mula belajar dan sedar.

Advertisements

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.