HASAN PART 4

BAB 4
AMUKAN

Setelah Wak Leman terangkan segalanya. Syukur hari ini ada ustaz yang akan datang untuk buat pendinding. Iya, selepas kejadian malam sudah aku kirakan semuanya sudah berakhir.

Tapi fikiran ku sejenak, akhir bagaimana? Tapi tidak mengapa,

“Aku tak on-call malam ni. apa nak jadi, jadi lah!”

Jadi aku merancang untuk rehat sepuas-puasnya malam ini.

Tepat jam 5 petang. Yes! Akhirnya tamat waktu kerja. Tanpa berlengah lagi aku terus pulang. Kepenatan semalaman tidak tidur membuatkan aku rasa katil adalah impian!

Masa aku mula-mula ditempatkan di sini, kuarters hospital sudah pun penuh. Jadi aku terpaksalah menyewa di luar. Aku mencuba nasib bertanyakan dengan kuarters Jabatan Kerja Raya(JKR). Aku amat bersyukur kerana staf JKR Daerah Mering sangat bermurah hati untuk membantu. Aku ditawarkan banglo ini. Siap dengan garaj kereta, tau!

Sebearnya, untuk aku yang tinggal seorang diri terasa besar sangatlah rumah ni. Aku lebih berminat dengan kuarters lebih kecil.

“Maaf doktor, dengan gred awak ni saya tak boleh kasi rumah kecil tu. Kita kena ikut
gred”
Aduh, rumah ni mungkin dah setahun lebih tiada penghuni, tapi syukurlah dapat juga penempatan dekat dengan hospital.

Setibanya aku di rumah, aku pun merebahkan diri di sofa. Dia punya empuk lain macam, longgar segala urat dan otot, mata pula mula layu dan tanpa sedari aku pun melayang masuk alam tidur. Dalam alpa lena, telinga aku ditiup bahasa luar.

Shhh…. Shhhhh!

Dalam keadaan mamai tertiarap di atas sofa dan separa lelap, dengusan di telinga membuatkan aku terjaga. Aku membuka mataku kecil dan cuba mengintip kiri dan kanan. Telinga peka bak kelawar. Sunyi, hanya kedengaran kipas siling berputar. Suasana senja gelap nan suram.
HASAN / 18

Ish, apa pula ni? Aku mula meremang.

“Allahuakbar Allahuakbar,” suara azan maghrib berkumandang dari surau berhampiran.

Alhamdulilah, lega rasanya. Cepat-cepat aku bangun meraba mencari suis lampu. Aku hidupkan semua suis yang ada biar terang satu rumah kecuali kawasan dapur kerana starternya dah rosak belum diganti.

Ah, mungkin aku terlalu terbawa-bawa kejadian semalam agaknya. Mungkin juga aku sangat penat. Maklumlah 36 jam bekerja tanpa henti, pastilah melayang. Perlahan aku mengucap, dan buat selamba.

Rumah banglo ni ada dua bilik besar; satu bilik dihujung itu iaitu bilik aku, dan satu lagi disebelahnya bilik untuk tetamu. Ada dua tandas; satu di sebelah bilik aku, dan satu lagi di sebelah dapur.

Kadang-kadang kalau hari minggu, ayah atau mak aku akan melawat ke Mering. Macam biasa aku dengan ayah memang kaki pancing. Banyak kali juga ke Penyabong untuk trip mancing. Jadi bilik tetamu pun memang lengkap dengan hiasan bilik tidur.

Aku pun terus ke bilik air untuk mandi, badan dah melekit dan muka berminyak. Masa untuk segarkan diri. Belum sempat aku sentuh pili, tiba-tiba ada bunyi seolah-olah memunggah sesuatu di dapur.

‘Aduhai, binatang apa pulak ni punggah sana-sini ni’ suara cemas hati aku.

Dengan pantas aku buka pintu lalu terus mengintai ke arah dapur. Bunyi tadi hilang! Tong sampah masih tegak macam biasa dan kabinet semua tertutup rapi.

Ah, tikus lalu agaknya. Macam biasalah mungkin terbawa-bawa lagi fikiran semalam aku kembali berfikiran positif.

Setelah semua selesai, aku macam biasa lepak depan TV dulu sambil layan warta berita. Tiba-tiba aku terbatuk— Uhhh hukkk! —dan dibalasnya uhhukk! Bergema suara itu dalam tona yang sayup, kurang jelas. Ia datang dari hujung sudut dapur yang gelap.

‘Eh, bergema ke rumah ni?’ bisik hati mencari punca. Fikiran yang tadinya positif, meremang balik. Banglo besar dan kali ini aku seorang diri. Aku cuba lagi memalsukan batuk aku kali ini untuk kepastian.
HASAN / 19

Uhhh hukkk!

“suara batuk itu bergema lagi dari hujung sudut dapur, sayup dan halus, tapi kali ini lebih jelas. Ini bukan bergema ni, ini macam lontaran semula. Bukan aku tak pernah terbatuk dalam rumah ni. Tak pernah pula perasan apa-apa.

‘Ya Allah! Dup dap laju jantung. Takikardia! Jiwa kembali goyang. Kali ni tak terasa nak terkencing sebab tadi aku dah kosongkan pundi kencing. Kalian mesti pernah rasa macam mana tengkuk meremang, kan? Dia punya naik sampai ke telinga.

Aku terdiam. Mata masih mengintai ke dapur tetapi tak sanggup nak berpura-pura batuk lagi. Duduk kaku, aku ambil telefon dan mainkan surah ruqyah. Makin meremang pula bila bacaan ruqyah berkumandang.

Aku nampak ubat selsema, tablet Piriton, di atas meja. Apa lagi, tanpa aku fikir panjang aku telan kerana tablet itu memberi kesan sampingan yang mengantuk. Aku mahu lena secepat mungkin. Aku kuatkan suara TV maksimum. Mesti orang yang lalu lalang di depan rumah akan ingat aku ni pekak badak.

Ah tak kisah lah!

Tak lama selepas tu, aku mula rasa mamai disebabkan Piriton tadi. Aku pun mulai relaks dan rasa makin mengantuk. Kaki diatur ke bilik tidur dan lantas merebahkan diri untuk beradu. Lampu bilik aku biarkan menyala.

Lebih kurang jam 2 pagi, aku dikejutkan dengan ketukan yang datangnya jauh dari belakang. Aku jangkakan ianya dari pintu belakang dapur. Dalam keadaan separa sedar, aku perasan keadaan amat sunyi dan gelap! ‘Kalau tak silap, aku tidur dengan keadaan lampu menyala. Ligat otakku berfikir. Bulu roma yang tadinya tunduk, kini tegak semula. Aku pasang telinga sepenuh perhatian.

Tok! Tok! Tok! Bunyi ketukan itu makin kuat, makin jelas.

Ahhh sudah, dugaan apa pula la ni? Aku mula fokus, deria telinga makin tajam. Kaku dalam keadaan tertiarap, sambil aku tarik selimut menutupi bawah mata. Satu badan terketar, meremang.

HASAN / 20
Tok! Tok! Tok! Bunyi yang tadinya kurang jelas, menjadi semakin kuat. Itu bunyi ketukan pintu bilik air sebelah bilik aku. Perlahan-lahan bunyi ketukan tadi terasa semakin dekat dan jelas.

Tok! Tok! Tok! Lebih kuat, lebih nyata. Ya! Itulah ketukan pada pintu bilik aku.

“Siapa pulak ni pukul 2 pagi main ketuk-ketuk,” rungut hati aku.

Kata orang, makin kuat maknanya makin dekat “benda,” tu. Ada pula yang kata, makin kuat sebenarnya makin jauh. Entahlah!

Aku nyalakan handphone. Skrin menunjukkan sekitar 2.05 pagi. Aku mesej kawan aku, “Weh kalau tak tidur lagi, datang rumah aku sekarang”

Terkurung seorang diri di dalam keadaan gelap, sunyi dan sepi. Katil betul-betul di sebelah pintu. Bunyi ketukan tepat di sebelah telinga membuatkan jatung yang tadi laju bagai nak gugur.

Aku tak boleh nak lari mana lagi, aku tiada pilihan. Bak kata orang putih “FIGHT OR FLIGHT,” bermaksud “lawan atau lari”. Itulah apa yang dinamakan naluri semulajadi manusia yang dikawal oleh sistem saraf simptetik untuk respon atau reaksi spontan apabila ada sebarang bahaya atau ancaman.

Yang nyata aku tiada pilihan. Nak lari mana? Walaupun takut, saraf simpatetik aku memilih untuk lawan fight. Denyutan nadi makin laju. Adrenalin makin tinggi, mula lahir perasaan memberontak. Aku mula rasa marah. Panas hati dan hilang rasa takut.

AMUK!

Aku bangun dari katil, aku buka lampu. Aku jerit sekuat-kuatnya, “Woi!! Sial!! Kau nak apa, ha? Celaka! Memang dasar setan! ALLAHUAKBAR! Hanya Allah yang aku perlu takut! Bukan kau, sial!”

Fuh, hilang rasa takut. Rasa nak bergaduh, bertumbuk! Lega, tadi aku rasa kerdil, tapi sekarang sedang berdiri mencabar dia.

“Kau kacau aku lagi, siap kau! Sial betullah!”

Bila dah rasa marah, amukan tadi membuatkan aku kembali berani untuk tidur. Aman semula hidup aku. Kali ni aku tak kisah. Dalam keadaan marah aku tutup lampu tidur semula.
HASAN / 21

“Allahuakbar Allahuakbar,” seruan azan berkumandang.

Subuh, aku terbangun semula dalam keadaan tertiarap, sambil tangan aku cuba meraba atas katil mencari handphone aku.

Eh mana pulak ni, raba punya raba tak jumpa. Dalam masa yang sama aku rasa pelik. Tak macam biasa, posisi aku menghadap dinding. Aku toleh ke belakang.

Ya Allah, rupa-rupanya aku berada di bilik sebelah.

Aku sebenarnya terjaga di bilik tetamu. Aku terus melompat bangun. Aku buka lampu, aku jalan masuk ke bilik aku. Ya handphone yang dicari tadi, ada atas di katil bilik aku.aku termenung. Aku sleep walking ke ni? Sejak bila pulak ni? Tak pernah dalam sejarah.

Aku pun terus mandi, solat dan bersiap untuk ke tempat kerja. Setibanya di hospital, Zali menyapa “Bos mesej saya semalam 2 pagi suruh datang kenapa? Sorry, saya tidur awal semalam. Pinggang rasa tak sedap. Ni baru perasan ada mesej.”

Aku balas, “Takda apalah, aku ingat saja nak ajak lepak mamak. Malam tadi tak boleh
tidur”

Aku pandang hospital, dalam masa yang sama aku teringat kuarters aku dan dalam hati tertanya, ‘Kenapa aku?’ dan “Hmm… nak tidur mana malam ni?’

Advertisements

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.