HASAN PART 31 AKHIR

BAB 31
PERTALIAN

Kini genap hari ke-20 sejak gangguan terakhir itu.

Selepas hari itu. aku menjalani hidup yang aman. Sudah sekian lama aku tidak berjumpa dengan En Samad, Haji Awang, Haji Mail dan Tokwan. Aku amat merindui mereka.

En Samad tidak lagi tinggal di kota ini. En Samad telah berpindah ke utara dan tinggal bersama anaknya.

Aku lebih kerap berhubung dengan bakal tunangku, namun cerita ini aku rahsiakan darinya. Tenang, itulah perkataan yang dapat aku ungkapkan. Segalanya indah. Aku juga tidak terlepas dari menantikan saat-saat indah dalam hidupku semula.

Hari ini, aku bakal bertemu dengan bakal mertuaku. Aku masih lagi di sini sedang mengemas rumahku. Mereka dalam perjalanan untuk berjumpa denganku di sini, begitu juga dengan ayah dan Mak.

Lewat petang, Ayah dan Mak sampai di sini dan tak lama selepas itu kedua-dua bakal mertuaku juga akhirnya tiba. Kedatangan mereka memeriahkan lagi suasana dirumahkuartersku.

“OKlah, sebenarnya seperti yang kita rancangkan masa merisik dulu. Tarikh pertunangan sebulan sahaja lagi ni,” balas bakal mertuaku tersenyum.

“Kalau diikutkan bulan depan macam tak sempat 66 hari,” bisik hatiku.

“Boleh tak kita lewatkan sedikit, lagi 2 bulan ke?” tanya aku.

“Eh tak boleh, kami dah booking dewan. katering pun dah bayar,” jelas bakal bapa mertuaku.

“Kita ikut je tarikh tu, ya?” balas bakal bapa mertuaku lagi.

Aku pasrah. Ayah dan Mak mengangguk tanda setuju. Tersergam indah senyuman dari mereka. Aku hanya menurut perintah.
HASAN / 241

“Ayah. kalau tunang tu, pertalian darah ke?” tanyaku.

“Ish, apa pelik soalan kau ni.itu pertunangan je. apa benda kau mengarut pertalian darah semua ni,” balas Ayah.

Aku hanya terdiam menunduk layu.

Keesokkan harinya. bakal mertuaku pulang. Tinggal ayah dan Mak sahaja di sini untuk menemaniku buat beberapa hari lagi. Malam itu, selepas maghrib. Aku mengambil peluang.

“Ayah, nak tanya sikit ni,” aku membuka bicara.

“Kenapa? Tanya jerlah,” balas ayah.

“Tapi soalan ni pelik sikit. Pasal, hmmm pasal tok,” tanyaku lagi.

“Kenapa dengan Tok kau? Dia sihat je,” balas ayah.

“Ish bukan pasal tu. Taulah dia sihat, tapi pasal benda lain ni,” jelas aku lagi

“Benda lain apa?” tanya ayah.

“Ayah rasa, Tok ada bela, tak?” tanyaku.

“Bela? Bela apa? Bela ayam ke?” balas ayah sambil tertawa.

“Bela saka,” tanyaku. Terdiam, tunduk membisu seketika.

Ayah terdiam sambil menggosokkan matanya.

“Saka? Kau tanya saka?” balas ayah.

“A’ah, saka. Rasanya Tok ada bela ke sebenarnya?” tanya aku lagi.

Ayah terdiam, sekali lagi memandang ke arah Mak.

“Dah lah, jangan mengarut. Dunia zaman sekarang ni mana ada saka-saka ni semua,” balas Ayah.

HASAN / 242
“Tapi yang dulu dekat rumah Tok Nek, apa yang jadi pada Wan, bukan saka ke?” tanyaku.

“Alah, tu cerita lama. Apa yang kau ungkitkan ni dah berbelas tahun. Umur kau pun sekarang dah nak masuk 30-an. Apa yang kau terkenang lagi?” balas ayah.

“Iyalah, sejak kematian Tok Nek, kan macam pelik selepas tu. Takkan ayah tak tahu apaapa?” tanya aku lagi.

“Ish, kau tau kan Wan tu ada masalah depression. Kan dah bawa pergi hospital. Jumpa psychiatrist. Doktor cakap masalah depression je tu,” balas ayah.

“Kalau masalah depression, apa kaitannya malam tu yang sebelum dia meracau. Lepas tu ada suara luar rumah menjerit masa Wan buka pintu malam tu. Tak pelik ke, Ayah? Ada bunyi loceng lagi. Kita semua dengarkan? Selepas bunyi loceng tu Wan terus meracau. Sekian lamanya, Ayah tak pelik ke?” tanyaku. Kali ini cuba mematahkan segala ayat-ayat dari Ayah yang berbau defensif.

Ayah terdiam sekali lagi. dari raut wajahnya cuba mencari jawapan.

“Ayah, kalau tahu sesuatu, tolonglah cerita,” balas aku cuba memujuk.

“Ah, dahlah. Kau ni! Semua tu mengarut! Kau tahukan aku tak percaya semua tu,” balas
Ayah.

“Tapi Ayah, alam ghaib, jin, syaitan iblis tu kan wujud,” balasku.

“Sudah sudah! Ayah tetap tak percaya. Dah, Ayah nak pergi surau. Nak masuk isyak ni. Buat apa kau susah-susah nak fikir pasal benda tu? Kau fikir dekat Allah je cukup,” balas ayah yang kemudiannya berjalan berlalu pergi.

Ada betulnya juga kata Ayah. Aku hanya perlu fikir kepada yang Satu.

Hanya kepada yang Maha Esa. Namun, masih terdapat teka-teki dan persoalan yang tak terjawab. Aku bertekad suatu hari nanti, aku pasti akan berjumpa Paklong atau Tok Nek untuk kepastian.

Kini genap hari ke-50 selepas kejadian malam itu. Aku masih terkenang apa yang mahu dipesan oleh arwah Hasan. Aku kini sedang bersiap sedia, mengemas untuk pulang ke Kuala Lumpur untuk majlis pertunanganku.
HASAN / 243

Tak sabar.

Aku kini sedang memandu melalu detik-detik liku perjalanan meninggalkan kota Mering. Aku dijadualkan untuk bertunang keesokkan paginya. Aku memandu perlahan. Bak kata orang tua-tua,

Darah manis perlu berjaga-jaga.

Aku teruskan memandu, namun entah kenapa terdetik perasaan kurang selesa. Tak tahu datangnya dari mana. Aku tak endahkan. Mungkin dalam keseronokkan itu, adanya perasaan goyah untuk majlis pertunangan.

Memang tepat jangkaan itu. Aku kini sedang berada di bandar Kluang. Aku mula rasa kereta yang aku pandu mula terhoyong-hayang ke kiri dan ke kanan.

“Ish, dah kenapa pula ni?” bisik hati.

Aku mengambil keputusan untuk berhenti di tepi untuk melihat keadaan tayarku. Ternyata tayar keretaku pancit, kempis sekempis-kempisnya. Namun, walaupun diuji dengan kesusahan, aku bertuah kerana ada kedai tayar tak jauh dari tempat aku berhenti.

Perlahan aku memandu dalam keadaan yang sukar, akhirnya tiba di kedai tayar. Aku menukar dua biji tayar belakangku. Tayar baharu.

“Hish, nak balik bertunang pun susah. Masa nilah kau nak pancit,” keluh hatiku.

Betul kata orang, darah manis ni perlu lebih berhati-hati. Setelah selesai semuanya, aku sambung semula pemanduanku. Kini aku sudah pun memasuki lebuhraya utama. Lega, jalan lebuh raya yang besar dan selesa, aku boleh memecut lebih laju.

Jam hampir 5 petang.

Sementara aku memandu itu, aku terkenangkan semula cerita dari Tok Jamal, salah seorang ahli jawatankuasa kampung yang aku jumpa beberapa hari yang lepas.

Aku mengenali Tok Jamal, semasa aku berjalan-jalan di Kampung Tenggu. Waktu tu aku minum di gerai kampung, seorang lelaki tua yang tak kelip mata memandang ke arah aku. Pandangan itu membuatkan aku kurang selesa. Sekali sekala aku mengintainya semula.

HASAN / 244
“Eh macam aku pernah lihat pakcik ni, tapi di mana, ya?” bisik hati.

Lelaki tua itu masih lagi mengintai ke arah aku. Lalu aku mengangkat tangan melambai ke arahnya. Lelaki tua itu kemudiannya berjalan ke arah aku. Jantung aku berdegup laju.

“Assalamulaikum, saya Tok Jamal,” sapa lelaki tua itu.

“Aalaikumsalam, saya Yazeed,” balasku.

“Kamu doktor Hospital Daerah Mering, kan?” balas Tok Jamal.

“Ya, betul. Mana Tok Jamal tahu?” tanyaku.

“Alah, doktor Hospital Daerah Mering ni lima orang je. Siapa tak tahu. Kalau ada pertukaran doktor baru, sekejap sahaja satu kampung dah tahu. Kamu ni kaki mancing, kan? Ramai yang kenal kamu. Tempoh hari, saya nampak kamu dan En Samad muntah di tepi kubur tu. Baru balik mancing laut ke? Mabuk laut?” balas Tok Jamal.

“Tok Jamallah yang saya nampak di perkuburan tempoh hari?” tanyaku.

“Hmmm taklah. Bukan mabuk laut. Panjang ceritanya,” balasku.

Tak disangka, Tok Jamallah yang aku nampak di kawasan perkuburan sewaktu aku dan En Samad muntah di tepi jalan.

“Kalau kamu tak kisah, kamu ceritalah pada saya,” balas Tok Jamal.

Aku pun menceritakan segalanya pada Tok Jamal, Tok Jamal dengan khusyuk mendengar segala cerita aku.

“Sebenarnya ada beberapa perkara yang kamu perlu tahu. Cerita ini pun saya tahu dari turun-temurun keturunan saya. Dulu tok moyang saya tukang kayu di daerah ni. Cerita ni pun tak ramai yang tahu,” balas Tok Jamal.

“Apa tu Tok Jamal,” tanyaku.

“Tentang sejarah Hospital Mering ni,” balas Tok Jamal.

“Hospital Daerah Mering ni dibuka sejak tahun 1917, 100 tahun dahulu. Mulanya kecil sahaja. Diberi nama Rumah Sakit Mering. Jika tak silap saya, tapak hospital itu sebelumnya
HASAN / 245
terbina rumah sakit, adalah tapak tanah kosong yang mana orang-orang zaman dahulu membuang segala belaan atau jin-jin jahat.

“Pada asalnya segala makhluk jahat dibuang ke arah laut, ke arah Batu Cawan, tapi setelah dibuat pendinding, rupa-rupanya masih banyak lagi belaan belaan makhluk ghaib ini tak terbuang.

“Zaman dahulu, kita semua tak ada senjata, ada beberapa penghuni asal dan juga pendatang yang membawa ajaran ilmu hitam dan belaan saka ni. Bila zaman dah makin moden, segala alat tukang lebih mudah untuk didapati, segala belaan saka ini tidak diperlukan lagi, malah generasi baru yang lahir pula semuanya menolak makhluk belaan ini, atau yang biasa kita panggil saka.

“Jadi kemana saka-saka ini, atau jin jin lain ini pergi? Di tapak itulah. Mereka ikatnya di sana, pendinding di sana.

“Asalnya rumah sakit itu kecil sahaja, namun setelah mendapat sambutan dari ramai orang, kerajaan mula membesarkan binaanya hampir ke semua pokok-pokok di situ ditebang untuk menaikkan banggunan baru tapi sejak dahulu, ada beberapa pohon yang tak ditebang oleh orang tempatan semasa pembesaran bangunan hospital.

“Yang paling terbaru, kerajaan nak perbesarkan lagi hospital. Populasi masyarakat di Mering sudah mula bertambah, tapi malangnya salah seorang kontraktor dah tebang salah satu pohon besar di belakang bilik mayat tu walaupun rakyat tempatan dah beri amaran.

“Mungkin apa yang doktor cerita tu ada sedikit sebanyak kaitannya dengan penubuhan Rumah Sakit Mering itu, ditambah lagi belaan saka dari Mak Hasan yang turun kepada anaknya. Mungkin Hasan antara anaknya yang bermasalah, jadi untuk selamatkan adik-beradik lain, maknya turunkan saka itu pada Hasan.

“Hasan pula waktu itu khayal dengan dadah, mungkin secara tak sengaja dia dah terima. Saya rasa mungkin begitu, atau memang kebetulan ada roh-roh jahat ini yang sengaja nak kacau doktor.

“Banyak lagi sejarah Mering ni jika doktor nak kaji dan tahu. satu hari tak sempat nak cerita semuanya. Nanti, tentang kamu nampak dua mayat tergantung tu, saya ceritakan. Tak silap saya, saya pernah dengar cerita itu,” balas Tok Jamal.

HASAN / 246
‘Tempoh hari masa saya nampak kamu muntah tu, sebenarnya…,” jelas Tok Jamal.

“Sebenarnya apa, tok?” bingkas aku tidak sabar.

“Ada kelibat yang duduk di belakang. Hitam, rambut mengerbang. Itu yang buat saya pelik, tapi lepas kamu cerita ni, fahamlah saya. Keluarga saya, tok moyang saya dulu pun ada belaan tu semua. Siapa nak angkut kayu balak berat-berat tu?” ujar Tok Jamal sambil tersenyum mengangkat keningnya.

Aku masih lagi memandu menyusuri lebuh itu. namun. Bagaikan ada sesuatu yang cuba menangkap perhatianku, mula menyelinap, mencelah imbasan cerita dari Tok Jamal. Dari jauh bagaikan ada sesuatu yang sedang berdiri di bawah rimbunan pohon besar di tepi lebuhraya itu. Entahlah, mungkin kontrakor pembersihan.

Tapi…

Susuk tubuh itu, bagaikan seorang wanita tua bersanggul. Berbaju serba putih. Bagaikan ada selendang merah yang tersisir di bahunya itu. Dia melihat ke arahku. Makin lama, pandanganku makin jelas. Aku kini menghampiri, kian dekat. Ternyata susuk tadi lebih nyata. Memerhati aku dari jauh. Mata yang tidak berkelip. Masih kekal merenungku dan tiba-tiba…

Bammmmm! satu letupan bunyi yang kuat. Datangnya dari belakang. Bagaikan tayar yang baru sahaja aku ganti kini telah meletup. Aku tahu. amat berbahaya jika aku terus menerus memijak pedal brek kerana ia boleh mengakibatkan keretaku berpusing dan hilang arah.

Aku mengambil keputusan untuk menukar gear rendah, melepaskan pedal minyak dan cuba mengawal. Aku memandang cermin refleksi belakang untuk memastikan tiada kereta di belakangku jika berlaku apa-apa yang tak diingini.

Malangya fokus aku itu terganggu sepenuhnya. Mataku terbeliak besar apabila susuk itu tadi muncul pada cermin belakang keretaku, membuatkan aku menerjah pedal brek dengan keadaan yang panik dan akhirnya kereta aku mula tersasar. Aku tak mampu mengawal stereng keretaku lagi. Keretaku kini terseret, tidak dapat dikawal dan akhirnya menuju ke arah penghadang jalan.

“Allahuakbar!” aku menjerit.

Pada saat itu. aku belum sempat mengucap. Aku tahu, itulah keadaan sebelum kau ditarik nyawa, keadaan yang mana kau belum sempat bersedia untuk menghadap Ilahi, keadaan yang tidak menyebelahi kau, dan yang paling utama, kau tiada pilihan.
HASAN / 247

“Allahuakbar,” aku menjerit lagi sekuat hati sambil menutup mata

Bammmmmmmmmmmm! Kereta itu laju terseret dan akhirnya menghentam penghadang jalan itu kemudian melompat ke udara lalu jatuh semula ke atas penghadang jalan itu dalam keadaan terbalik. Duniaku gelap. Sunyi.

Tetttttt!

Aku dikejutkan dengan bingitnya telinga. Perlahan aku bukakan mata. Aku tidak pasti dengan keadaanku sekarang ini. Adakah aku masih di dunia, atau aku telah bangkit semula di alam barzakh?

Mata, aku bukakan perlahan. Pandanganku songsang. Badan masih di atas namun kepalaku kini tergantung ke bawah. Barulah aku sedar. Aku kini dalam posisi yang terbalik. Aku lihat sekeliling

“ALLAHUAKBAR!” aku masih hidup.

Namun kepedihan pada mukaku amatlah nyata, bukan kepalang. Aku meraba-raba mukaku. Aku belek semua jari-jemariku, aku belek kedua tanganku, badanku dan akhirnya aku mampu menggerakkan jari-jemari kakiku.

“Tak ada darah apa pun. Tak ada patah mana-mana pun. Muka pun tak berdarah tapi pedih,” bisik hati sambil meraba-raba lagi tubuhku untuk kepastian.

Aku intai cermin refleksi belakang. Mukaku yang pedih itu tidak ada sebarang kecederaan. Mungkin dari tamparan airbag. Aku berjaya mencari suis tingkap. Bertuahnya aku, tingkap itu berjaya diturunkan.

Aku merangkak keluar sambil memandang pohon itu. Kelibat tadi itu masih berdiri melihatku, dan kemudian berjalan hilang melalu celah-celah pohon dan semak itu. Aku tunduk sujud sambil menangis, “Allahuakbar!”

Majlis pertunangan itu akhirnya telah dibatalkan. Sejenak yang masih bermain di dalam fikiran walaupun bukan pertalian darah. Adakah itu, si dia pengikutku yang cuba menghalang aku dari pertalian yang baru.

Aku tak pasti.

HASAN / 248
Adakah aku yang cipta watak itu? Hanya kebetulan atau sememangnya, takdir yang sudah pun tersurat dan tersirat dari Ilahi. Aku harus percaya pada qada’ dan qadar’. Semuanya yang pasti hanya satu, hanya dari yang maha esa.

Sehingga hari ini aku masih lagi tidak tahu apa yang cuba dipesan oleh arwah Hasan dan sehingga kini aku tidak dapat meneka apakah gambaran dua kelibat yang tergantung pada pohon besar itu.

Yang paling utama, siapakah pengikutku itu? Adakah semua ini ada kaitan dengan Tok
Nek?

Misi aku seterusnya, untuk mencari segala jawapan yang perlu. Aku pasti, aku akan cuba mencari asal-usul saka itu dan aku akan kembali ke bandar Mering untuk mencari kisah dua kelibat bertali gantung itu.

Masih banyak soalan yang tidak terjawab. Pertembungan di antara ilmu ghaib dan juga ilmu perubatan moden. Aku mencari jawapan noktah di tengah-tengah.

Adakah aku yang mencipta watak-watak itu seperti yang dikatakan oleh Dr. Hilmi? Adakah aku pesakit mental, atau sememangnya aku mengalaminya semua itu dengan jelas tanpa paranoia? Aku pasti akan temui jawapan itu suatu hari nanti.

Sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. Aku percaya kepada hikmah. Pengajaran dari cerita ini, aku telah belajar sesuatu tentang hikmah kehidupan. Setiap yang malang, adalah sebenarnya penyelamat dalam kehidupan.

Wallahualam.

TAMAT

SAMBUNGAN SIRI TOK NEK

Apalah kesinambungan TOK NEK dengan siri hasan ni?

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.