HASAN PART 29

BAB 29
PERJANJIAN

“Shhhhh… Shhhh… shhhhh…”

Aku tergamam, terkedu. Mata mula menular mencari detik-detik inci frekuensi. Dalam masa yang sama mencari kepastian. Aku mula menarik selimut ke bawah. Aku amati bunyi tadi.mAku berharap ianya sekadar bayangan perasaan, namun ianya muncul sekali lagi.

“Shhh. Shhhh. shhhh.”

Bunyi itu datang dari belakang sekali lagi. Aku menoleh dalam keadaan badan serbaserbi terketar. Perasaan gundah yang kian pudar kini datang kembali.

“Doktor. saya ni En Samad. Tokwan dan Haji Mail ada di Wad 6,” bisik En Samad dari belakang.

Aku lantas bangun, terus menoleh ke arah tingkap. Kelihatan En Samad yang sedang membongkok dalam kegelapan itu memandang ke arah aku.

“En Samad cuba mengucap!” balasku.

“Ashaduallah—” En Samad mengucap.

Kali ini aku tidak mahu lagi diperdaya oleh si pendua.

“En Samad dah kenapa terbongkok ikut belakang ni? Kenapa tak masuk dari depan?” tanyaku.

“Tak boleh. Iblis tu kenal saya. Saya beritahu ni untuk doktor bersiap sedia. Haji Mail dan Tokwan nak tamatkan semuanya malam ni,” balas En Samad.

“Habis tu saya nak buat apa ni?” tanyaku.

“Nah doktor pegang uncang ni. Istighfar. Jangan berhenti,” balas En Samad.
HASAN / 230

“OK, habis tu En Samad pergi mana lepas ni? Teman sayalah dekat sini,” balasku.

“Eh tak boleh. Saya kena terus pulang. Haji Awang ada tunggu di kereta. Doktor tunggu sahaja Tokwan dan Haji Mail datang nanti. Ingat, pegang uncang tu. Berzikir jangan berhenti,” balas En Samad.

“OK dah, saya kena pergi dahulu. Tunggu Tokwan dan Haji Mail ya. Nanti apa-apa saya hubungi kemudian,” balas En Samad.

En Samad telah berlalu pergi. Kini aku berseorangan dengan uncang yang tidak aku ketahui apa isinya. Aku mulakan berzikir namun konsentrasi terganggu apabila 1001 persoalan di dalam minda yang rancak bermain di fikiran.

Kenapa tiba-tiba En Samad muncul? Kenapa tiba-tiba Tokwan dan Haji Mail ada malam ni? Kenapa mereka seakan akan dapat tahu yang iblis itu sudah kembali?

Mata yang tertutup rapat sambil berzikir. Kedengaran suara riuh rendah. Aku cuba amati sekali lagi dari mana datangnya suara itu. Suara bagaikan wad hospital yang sibuk, suara pesakit berbual antara satu sama lain, bunyi seretan troli, bunyi suara kanak-kanak berlari. Riuh rendah dibuatnya.

Dalam zikirku itu, bunyian tadi seakan-akan memujuk untuk aku bukakan mata.

Aku tetap mencuba untuk mendiamkan diri dan mengendahkan segalanya. Malangnya, aku tidak mampu melawan segala pujuk noda bunyian tadi. Perlahan aku bukakan mata.

Aku kini di bawa ke suatu alam. Alam yang lama. Cerah suasana. Dinding masih baru. katil masih berkilat besinya. Aku dikelilingi oleh manusia yang tidak aku kenali. Mereka seakanakan tidak memperdulikanku. Kanak-kanak sedang berlari di taman antara Wad 5 dan 6. Misimisi berpakaian uniform serba lama. Pesakit-pesakit sedang berbual antara satu sama lain.

Aku masih di hospital, namun aku telah dibawa ke zaman dahulu. Zaman hospital ini bermula. Betapa anehnya rupa wad ini.

Pada saat itulah, perhatian aku mula tertumpu kepada sesuatu yang sedang pegun dalam kesibukan di hadapan pintu Wad 6. Dua kanak-kanak perempuan sedang berdiri di hadapan Wad 6, sedang memerhatikan aku dan kemudiannya pandangan aku itu gelap. Aku mula hilang arah. Itulah kali terakhir yang aku dapat imbaskan. Kemudiannya duniaku gelap semula.

HASAN / 231
“Doktor, bangun!” satu suara yang mengejutkanku semula.

Suara yang datangnya dari Tokwan.

“Doktor, bangun. Tokwan ni. Haji Mail pun ada ni,” balas Tokwan.

Aku membuka mata. Perlahan aku mengimbas wajah Tokwan yang sedang mengejutkanku. Di sebelahnya berdiri Haji Mail dan misi.

“Kenapa ni?” aku terus tersentak bangun sambil kepala toleh kiri dan kanan mencari orientasi.

“Saya dekat mana ni? Cukup, cukup, saya tak tahan lagi,” balasku.

“Mengucap, mengucap, doktor mimpi je tadi tu. Semuanya sudah selesai. Kamu tertidur tadi,” balas Haji Mail.

“Doktor, rehat dulu. saya dah masuk IV drip,” balas misi.

Aku masih lagi terpinga-pinga. Mencari kepastian kepada apa yang berlaku. Terlalu banyak persoalan.

“Mengucap, mengucap, tenang, tenang. Kita dah berjaya doktor’ balas Tokwan.

Aku mengucap perlahan sambil Tokwan menyapukan air pada mukaku. Aku bernafas
lega.

“Misi, saya bawa doktor pergi surau tepi bilik bersalin dulu ya. Kita nak solat subuh sekali, dan ada beberapa perkara perlu saya terangkan,” jelas Tokwan pada misi.

“Sekejap, saya buka IV drip ni dulu,” balas misi sambil mengangguk.

Aku di bawa ke surau diiringi Tokwan dan Haji Mail.

“Sekejap lagi nak masuk subuh. Kita berehat di sini saja, ya?” balas Haji Mail

“Doktor, sihat dah? Sesak nafas lagi?” tanya Tokwan.

“Alhamdulillah, dah makin pulih. Apa jadi sebenarnya? tanyaku.

HASAN / 232
Tokwan memandang ke arah Haji Mail seolah-olah memberi petunjuk kepada Haji Mail untuk terangkan segalanya.

“Sebenarnya, selama ini kami ada di markas waktu doktor di masukkan ke dalam wad. Saya dapat jangka iblis itu akan kembali. Itulah peluang dia di saat kita manusia ini lemah. Setiap malam kami cuba tinjau. Kami sentiasa ada,” balas Haji Mail.

“Kami sudah halaukan iblis tadi, tapi ada syaratnya,” balas Haji Mail.

“Apa syaratnya tu?” tanyaku.

“Perjanjian,” balas Haji Mail.

“Kamu tidak boleh ada apa-apa pertalian, mahupun pertalian darah yang baru dalam masa 66 hari,” balas Haji Mail.

‘Tapi kenapa? Pertalian? Pertalian darah apa?” tanyaku lagi.

“Kamu tak boleh lahirkan zuriat dalam masa 66 hari,” balas Haji Mail.

“Tapi saya bujang lagi, mana ada kemungkinan lahirkan zuriat,” balasku.

“Ya saya faham tu, sebab itu saya buat perjanjian itu dengan iblis kamu tadi. Saya tahu itu tak mungkin terjadi, tapi…” balas Haji Mail.

‘Tapi apa?” tanya aku tak sabar.

“Tapi walaupun kamu bujang, kamu kena ingat, walaupun kamu tak kahwin tapi manusia ni siapa boleh tahu. Bukanlah saya nak menuduh atau berprasangka jahat, tapi kalau kalau kamu terlanjur sebelum nikah, bahaya tu,” balas Haji Mail.

“Baiklah, saya faham. Saya akan jaga perjanjian ini, tapi apa akan jadi selepas 66 hari?” balasku.

“Selepas 66 hari, jika kamu dapat menjaga perjanjian ini, iblis itu berjanji untuk tidak mengikut kamu lagi,” balas Haji Mail.

Aku mengangguk tanda faham dan terima apa yang tak termampu aku fikirkan.

“Ada seperkara lagi yang saya perlu terus terang dengan kamu,” balas Haji Mail.
HASAN / 233

“Ada lagi? Apa seperkara tu?” tanya aku, makin gundah.

“Saya tak mahu menuduh yang bukan-bukan. Saya tak mahu membuat kesimpulan. Ingat tak saya pernah tanya keluarga kamu ada belaan atau tidak? Ingat tak?” balas Haji Mail.

“Ya saya ingat. Hmmm… Tok, saya… saya tak pastilah. Masa kecil dahulu ada juga lalui perkara yang aneh, tapi semuanya dilalui oleh sepupu saya—Wan. Saya tak pasti itu gangguan atau belaan. Selama ini, sehingga hari ini, saya tak ada gangguan,” balasku.

“Cuba fikir semula. Sebelum datang hospital ini, pernah tak terserempak dengan siapasiapa yang selalu perhatikan kamu atau kerap muncul dalam mimpi?” balas Haji Mail.

“Saya tak pasti nak kata macam mana, tapi bila difikirkan balik, adalah beberapa kali saya perasan seseorang yang selalu berdiri di satu sudut, perhatikan saya. Tapi saya buat tak endah sebab dia tak ada menggangu,” balasku.

“Eh kejap—,” aku bagaikan terkenang sesuatu, “saya selalu mimpi bagaikan ada orang yang berdiri tegak selalu memerhati,” tambah aku lagi.

“Itukah belaan?” tanyaku.

Haji Mail memandang ke arah Tokwan sambil mengangguk.

“Itulah SAKA kamu,” balas Haji Mail.

Tergamam. terkedu aku buat beberapa saat. Aku menelan airliur berkali-kali bagaikan tidak percaya. Aku termenung, memandang ke arah Tokwan dan Haji Mail.

“Haji Mail pasti?” tanyaku.

“Saya tak dapat pastikan segalanya tapi jika itu yang awak lalui, hampir tepat tekaan saya. Saka ini. bukanlah seperti yang lain, yang sentiasa mengikut tuannya,” balas Haji Mail.

“Habis tu saka apa?” tanyaku.

“Macam penjaga, pengikut. Kamu bukan tuannya, tapi dia sentiasa ada mengikut kamu. Selalunya kalau orang yang bertuankan saka, orang itu harus jaga sakanya. Makan minumnya. Namun untuk kamu, kamu seolah-olah bukan tuannya yang rasmi, tapi dia sentiasa ada bila perlu. Di saat kamu sedih, di saat kamu lemah. Lebih kurang macam penjaga sahaja. Saya tak
HASAN / 234
pasti siapa tuannya. Mungkin WAN sepupu kamu. Tapi saya tak dapat pastikan sepenuhnya sejarah saka kamu ni. Saya rasa kamu lebih berhak untuk tanya ahli keluarga kamu,” balas Haji Mail.

“Bahaya tak, Haji Mail?” tanyaku.

“Doktor, ingat pada yang Satu. Tuhan yang Maha Esa. Semua yang berlaku atas keredhaanNya. Tuhan takkan uji hambanya di luar kuasa mereka. Jika kamu takut, ingatlah… takut hanya pada yang Maha Esa. Tapi, jika kamu bukan tuanmya yang sebenar, tidak perlu takut apa-apa. Dia hanya ikut kamu sahaja. Kamu bukan penjaganya,” balas Haji Mail.

“Ish, walaupun saya bukan tuannya tapi… ishh saya tak mahulah. Macam mana nak buang atau nak halang dia ikut saya?” tanyaku.

“Yang itu, kamu harus berjumpa dengan ahli keluarga kamu. Tok kamu, atau pakcikpakcik kamu yang tahu,” balas Haji Mail.

Patutlah selama ini aku dapat rasakan seperti sentiasa ada yang cuba memerhatikan aku dalam dunia nyata mahupun alam mimpi.

“Ingat tak pendua Haji Awang? Saya rasa itu saka kamu. Dia cuba tarik kamu keluar dari rumah itu kerana iblis itu sebenarnya sudah ada di situ. Mungkin dia cuba selamatkan kamu. Wallauhalam saya tak pasti, tapi itulah kemungkinannya,” balas Haji Mail.

Sejenak, segala memori datang mengimbas kembali.

SAKA AKU. DIA.

Adakah DIA yang dilihat Chaku pada malam itu di rumahku.

Adakah DIA yang menjadi penduaku selama ini?

Adakah DIA yang mengusap leherku selama ini?

Adakah DIA yang aku nampak berdiri di tepi jalan dalam mimpiku?

Adakah benar DIA yang cuba menyelamatkanku?

Segalanya tiada jawapan noktah.

HASAN / 235
‘Tapi, dalam alam ghaib, ada 1001 kemungkinan yang tidak terjangkau dek akal fikiran logik manusia,” jelas Haji Mail.

“Apa-apa pun semuanya sudah selesai. Apa-apa pun kita serahkan kepada yang Maha Esa. Semuanya takdir dariNya. Mungkin Allah itu mahu kamu belajar sesuatu dari pengalaman kamu ini. Saya pasti ada hikmahnya,” balas Haji Mail.

“Allahuakbar, Allah—” suara azan berkumandang.

“Dah, mari kita solat dulu,” ajak Tokwan dan Haji Mail.

Malam itu berakhir dengan sesuatu yang tidak dijangkau. Sesuatu yang tak pernah aku terfikir, yang aku akan lalui semuanya ini. Masih banyak persoalan di dalam fikiran, masih banyak teka teki yang tak terjawab. Aku bertekad untuk bertemu TOK NEK untuk merungkai semula tekaan dari Haji Mail.

Selagi semuanya tak terjawab. Aku tidak akan hidup dengan senang. Tahukah kau, betapa seksanya hidup kau bila kau sentiasa diperhatikan? Itulah seksaan yang aku lalui. Aku tidak melalui norma-norma kehidupan seperti orang lain sejak gangguan ini bermula. Aku amat rindukan kehidupan yang biasa.

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.