HASAN PART 28

BAB 28
SEJARAH HITAM

Cahaya yang masuk tepat ke dalam mata, memeningkan kepala. Aku buka mata perlahan, makin perit, namun aku tetap mencuba. Diiringi dengan deringan mesen monitor, sangat membingitkan. Aku membelek jari-jemari, pergelangan tangan dan pergelangan siku yang lebam kebiru-biruan, membuatkan mataku celik terbuka.

Aku melihat sekelilingku, aku sedar kini aku bukan lagi berada di Wad 6. Aku telah dipindahkan ke Wad 5— wad jagaan rapi. Aku lebih dekat dengan kaunter misi. Aku lebih lega.

“Doktor, sihat hari ni?” tanya misi yang sedang mengambil tekanan darahku.

“Rasa lebih lega. Apa jadi semalam?” tanyaku.

“Semalam pre-syncopal attack je. Pengsan sekejap. Bila misi Wad 6 periksa, rupanya gas oksigen dalam tong dah habis. Itu yang doktor tercungap-cungap tu,” balas misi.

“Sekarang dah pakai nasal prong, oxygen level dah bagus,” tambah misi lagi.

Aku hanya mengangguk, sambil cuba mengesotkan badan cuba duduk.

“Saya nak cabut nasal prong, lagi 10 minit awak ukur balik paras oksigen saya, rimaslah!” balasku.

“Tapi Dr. Chong pesan untuk pakai nasal prong ni,” balas misi.

“Alah, jangan risaulah. Saya pakailah nanti bila saya tercungap balik,” balasku.

Aku pun menanggalkan topeng oksigen tadi, aku bangun terus berjalan ke tandas.

“OK doktor, dah 10 minit. Saya periksa paras oksigen dulu,” balas misi sebaik sahaja aku keluar dari tandas.

“Hah, OK! 99%. Bagus, kalau ada rasa sesak nafas lagi, cepat-cepat panggil saya ya,” balas misi.

HASAN / 224
Hari itu, tenang buatku. Katil Hasan tidak lagi ada di sebelah, Aku di kelilingi pesakit pesakit lain. Namun masih terdetik perasaan ingin tahu. Aku terkenang semula apa yang terjadi malam tadi. Apa benar tank oksigen kurang? Apa benar iblis itu sudah kembali, atau semua ini hanyalah khayalan sahaja disebabkan kekurangan oksigen? Halusinasi minda?

Aku masih lagi teringa, “Ish semak betul kerusi ni dekat sini!”

Itulah ayat terakhir yang aku dengar malam tadi. Aku yakin tiada kerusi di sebelah aku sebelum ini. Jadi aku merancang untuk pergi ke Wad 6, untuk melihat kembali keadaan di dalam wad itu.

Malam tu, selepas maghrib, aku ke Wad 6. Misi yang bekerja malam tadi, ada di situ.

“Kak, semalam sebelum saya pengsan, saya terdengar tentang kerusi tu. Masa akak periksa saya tu, memang ada kan kerusi kacau dekat sebelah katil? tanyaku.

“A’ah, siapa entah letak. Selalu ada di hujung sana tapi semalam masa doktor pengsan tu, saya periksa, rupanya tank oksigen dah habis . Patutlah doktor tercungap-cungap,” balas misi tadi.

Aku hanya mengangguk. Aku pun bangun, bingung memikirkannya. Aku berjalan perlahan ke wad belakang, Katil aku di situ, begitu juga katil Hasan masih di situ. Kerusi itu nun jauh di hujung sana. Aku terus berjalan ke sudut itu, mengangkat kerusi itu. Aku simpan di dalam bilik rawatan.

“Kak, saya simpan kerusi ni dalam bilik rawatan tau. Jangan keluarkan,” arah aku pada misi yang sedang asyik menulis di meja kaunter.

“OK baiklah, tapi kenapa, eh?” tanya misi tu lagi.

“Tak ada apalah. Senang simpan dalam, nanti ada pesakit lain, senang sikit nak buat kerja,” balasku.

Aku pun berjalan pulang ke Wad 5. Walaupun hati masih runsing, namun dengan kehadiran pesakit lain di situ membuatkan aku lebih lega dan selesa.

Lebih kurang jam 10 malam, aku berjalan ke tandas, setelah selesai semuanya, aku keluar berjalan ke sinki untuk membasuh muka. Pada ketika itu, di saat aku sedang berdiri, aku dapat rasakan seperti ada sesuatu yang sedang berdiri di belakangku.

HASAN / 225
Seorang pakcik tua berpakaian pesakit berwarna hijau sedang berdiri melihat ke arahku dalam suram cahaya. Mukanya tak dapat aku lihat dengan lebih jelas. Aku pun menoleh.

“Kejap ya, pakcik,” jelas aku.

Aku memandang sinki semula, namun perasaan kurang selesa itu amat menggangu. Aku toleh ke belakang semula. Pakcik itu tiada lagi. Aneh, dah beratur tapi tak mahu tunggu pula.

“Ah mungkin dia malas nak berdiri tunggu kot,” bisik hati.

Sekali lagi, satu tapak kaki yang menghampiri dari belakang. Dari jauh, kini makin hamper. Cepat-cepat aku menoleh.

“Oh ingatkan siapa tadi. Kenapa, kak?” tanya aku pada misi.

“Saya nak pergi ambil selimut di belakang,” balas misi yang sedang memandangku.

Aku pun memandang semula ke arah cermin di hadapanku dan menundukkan badan, membasuh muka, tiba-tiba— “YA ALLAH!”

Satu jeritan dari misi di belakangku tadi. Aku terus menoleh, dalam keadaaan terpingapinga mencari punca. Aku terus masuk semula ke dalam wad dan berjalan ke kaunter. Terlihat misi tadi berlari dan duduk di atas kerusi kaunter. Misi tadi yang sedang termenung menunduk ke bawah, menggigil.

“Kak kenapa, kak?” tanyaku lagi.

Misi itu masih senyap, mengintai ke arah aku, kemudian terus menoleh ke bawah semula dan memejamkan mata.

‘Kak, kenapa ni? Apa yang terkejut tadi? Macam kena sampuk je?” tanyaku lagi.

Aku dapat rasakan bagai ada sesuatu yang tak kena. Kemudian aku berdiri, berjalan keluar sambil aku melihat pada misi yang seorang lagi.

“Kak, kenapa dengan dia tu?” tanyaku.

“Entahlah, tadi dia pergi belakang ambil selimut, tiba-tiba lari ke sini. Lepas tu kaku senyap,” balas seorang lagi misi yang ada di situ.

HASAN / 226
“Kak, awak pergi tengok dia. Macam pelik je. Jangan risau, saya ada dekat wad boleh tengok-tengokkan,” balasku.

Misi tadi berlalu pergi, mencari rakan sekerjanya yang gusar. Aku berjalan perlahan ke arah katilku semula. Sementara itu sempat lagi aku meninjau keadaan sekeliling. Semuanya ada 7 pesakit termasuk aku, tapi semuanya pesakit acute, kecuali aku yang dah mula stabil.

Dari satu sudut di hujung sana, aku nampak troli fail pesakit. Terdetik hati untuk mengkaji semuanya. Aku pun berjalan ke arah troli fail pesakit. Terkejut, kesemua enam pesakit adalah pesakit yang perlukan assistance untuk bergerak. Ada yang menghidap jangkitan paruparu, yang perlukan oksigen berterusan, semuanya perlukan kerusi roda untuk bergerak.

Aku menjadi lebih sangsi, seperti ada sesuatu yang tak kena.

“Doktor!” sapaan yang datangnya dari belakang.

“Ya kak, kenapa? Mana misi tadi?” tanyaku.

“Hmmm, katanya dia nak balik,” balas misi tadi.

“Balik, tapi kenapa? Sister kasi kebenaran ke?” balasku.

“Tadi dia ada cerita dekat saya, saya pula yang rasa seram nak tinggal sini sorangsorang,” balas misi.

“Apa dia cerita? Apa yang seram?” tanyaku lagi.

“Misi tadi dah balik, Sister benarkan dia balik atas sebab tidak sihat, jadi saya kena kerja seorang malam ni,” balas misi.

“Dia cerita dekat saya, tadi masa dia masuk ke belakang, dia nampak doktor di depan cermin dekat sinki tu, tapi bila doktor tunduk untuk basuh muka, refleksi tubuh doktor pada cermin masih kekal berdiri walaupun masa tu doktor sedang tunduk dan yang paling menyeramkan…” cerita misi tadi.

“Apa jadi lepas tu? tanya aku lagi.

“Bayang-bayang doktor dalam cermin tu senyum pada dia. Dia jenis lemah semangat sikit” balas misi tadi.

HASAN / 227
Tersentak aku mendengar penjelasan misi tadi. Patutlah aku dapat rasakan bagai ada sesuatu yang tak kena.

“Tak apa. Jangan risau, saya ada di sini, temankan awak. Mungkin dia salah tengok je tu. Perasaan je tu kot,” balas aku, cuba menenangkan keadaan

“OK, doktor. Terima kasih,” balas misi tadi.

“Kak, saya nak tanya sikit untuk kepastian,” tanyaku lagi.

“Ya, kenapa?” balas misi tadi.

“Kalau tak silap, saya tengok fail ni semua, semua pesakit ni perlukan assistantce untuk bergerak, kan? Ada yang boleh berjalan sendiri ke?” tanyaku.

“Kalau ikutkan, semua strict on bed. Kalau nak ke tandas, perlukan bantuan sebab tu kita ada dua kerusi roda dekat sini. Kenapa, doktor?” balas misi tadi.

“Tak adalah, saja nak tahu, sebabkan saya nak tolong cover awak malam ni, jadi saya kena tahulah keadaan pesakit ni semua,” balasku.

Sengaja aku tidak ceritakan apa yang terjadi sebentar tadi, takut misi itu menjadi lebih tak keruan. Siapa pula yang berdiri belakang aku tadi? Hmmm gusar aku memikirkannya.

“Nampaknya, dia mula ikut aku walaupun aku dekat Wad 5 ni,” bisik hati.

Aku mula meremang. Angin luar yang masuk ke dalam wad membuatkan helaian gantungan kain langsir mula berkibar-kibar. Termenung aku bersendirian, menyelimutkan diri, hanya memandang ke arah kaunter.

Di belakangku adalah bilik kuarantin, tidak berpenghuni. Entahlah, mungkin aku terlalu paranoid untuk memikirkan apa telah dan bakal berlaku. Aku dapat rasakan bagai ada sesuatu di belakangku yang sentiasa memerhatikan segala gerak-geriku. Akhirnya aku terlelap.

Tak lama selepas itu, aku terjaga semula. Jam dinding menunjukkan 3 pagi. Aku buka mata perlahan-lahan. Kehausan. Aku mula bangun dan duduk di sisi katil untuk minum, sambil memerhatikan misi di kaunter yang sedang khusyuk menulis.

HASAN / 228
Namun, pandanganku sekali lagi terganggu, bila aku dapat rasakan bagai ada sesuatu bayangan yang berjalan pada laluan di hadapan Wad 6. Aku menggosokkan mata. Perlahanlahan aku berjalan ke arah tingkap menghala Wad 6. Bayangan tadi tiada.

Aku memerhatikan kawasan sekeliling taman mini yang berada di antara Wad 5 dan Wad 6. Sunyi, hanya deruman angin laut. Aku mengintai pohon besar itu sekali-sekala. Aku pasti, si dia, iblis laknat itu hanya menunggu masa. Aku memandang ke arah belakang Wad 6, wad lama aku. dan juga wad arwah Hasan. Cahaya yang suram tidak berpenghuni.

Dari sini, aku terfikir macam manalah aku boleh duduk dalam wad tu selama ini. Bagaikan usang wajahnya pada waktu malam. Renungan aku itu kini menyebabkan aku tersentak ke belakang. Degupan jantung makin laju. Bagaikan tidak percaya apa yang sedang aku lihat.

Satu kelibat yang sedang berdiri pada tingkap Wad 6 itu. Kelibat itu adalah wajahku sendiri yang sedang memerhatikan aku, dan di belakangnya bagaikan ada satu kelibat yang sedang duduk di sebelah katilku.

Aku menjadi kaku, namun pada saat itu ada sesuatu yang lebih dahsyat pada tolehan kiri mataku. Mataku bagaikan dipaksa untuk melihat pada pohon itu. Ternyata lebih menyeramkan. Apabila, aku diberi peluang dengan tidak sengaja memperlihatkan sesuatu pada pohon itu.

Sesuatu yang buat pertama kalinya aku lihat dalam hidupku, yang tak pernah terbayang di fikiran. Mata makin terbeliak. Rasa kaku mula hilang. Aku berlari terus ke katil. Menyelimutkan badanku. Bernafas laju, mengenangkan apa yang aku lihat tadi.

Sekujur susuk tubuh bersarung serba putih, yang sedang tergantung lehernya pada tali yang terikat pada pohon itu. Bukan satu, tetapi DUA!

Apakah maksudnya gambaran itu? Apa kaitannya Hasan, aku dan mayat yang tergantung itu, atau hanya kebetulan? Sejarah lama? Sekadar menjadi teka-teki atau semata-mata gangguan? Sejarah hitam yang sekian lamanya disembunyikan atau yang tidak pernah diketahui selama ini?

Malam yang ku sangkakan tenang, kini menjadi pengalaman yang makin dahsyat dan lebih menyeramkan. Pada saat aku sedang menulis ini, minda masih lagi dalam kegusaran untuk mengenang semula detik-detik hitam dalam hidupku.

Dalam pada aku diselubungi selimut itu. Sekali lagi aku dikejutkan dengan kehadiran suara yang memujuk. Satu suara yang datang di belakang tingkap. Suara yang amat aku kenali.

“Shhhhh… Shhhh… shhhhh…”

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.