HASAN PART 27

BAB 27
JALAN MATI

Angin pantai itu menderu. Tak dapatku lihat, namun dapat aku rasakan hembusan pada setiap rogga kulitku, berderu laju.

Aneh, bukan? Merasakan sesuatu yang tak dapat dilihat. Apatah lagi merasakan suram kehilangan dari sesuatu yang dapat dilihat.

Suara yang lenyap. Penglihatan yang kabur.

Aku yang kini sedang duduk di batuan jeti sambil tangan memegang rod pancing, Menanti sesuatu untuk menarik mata kailku. Aku cuba lakukan sesuatu. Sesuatu yang dapat melupakan segalanya.

Ombak deras yang menghempas pantai. Burung burung yang mencari mangsa si persisiran. Termenung. Bagaikan tidak percaya Hasan kini sudah berlalu pergi begitu sahaja. Kian lama penyakitnya itu cuba mengambil nyawanya. Tapi tak semudah yang disangkakan.

Tanpa kata-kata terakhir. Tak kira betapa liatnya nyawa kau, Hasan. Kini kau telah pergi. Ajal kau sudah pun tiba. Perginya kau, kawan, pesakit dan peneman setia.

Kini, seminggu berlalu. Melihatkan Feri keluar dan masuk pada petang itu. Bot-bot kecil yang pulang dengan hasil pencarian. Tenang.

Cuaca yang suram dan mendung. Hembusan angin laut yang agak deras. Aku kini duduk berseorangan sambil menitip batu-batu kecil dengan jari-jemariku. Mata kail bersama umpan yang masih tak tersentuh. Namun saat aku termenung itu, mata aku tertumpu pada sesuatu kertas yang melayang dan pada saat itu, sejenak aku teringat.

“Surat Hasan! Dia ada tinggalkan surat!” bisik hati.

Mata terbeliak. minda kembali berputar semula. Bingkas aku bangun, meluru pergi ke hospital. Setibanya aku di wad, “Kak misi, mana surat Hasan tinggalkan?” tanyaku.

“Oh surat tu ada pada Kak Ina. Dia yang simpan,” balas misi.

“Habis tu mana Kak Ina?” tanyaku.
HASAN / 216

“Malam ni dia ada. Shif malam,” balas misi tu lagi.

“Oh OK. Baiklah nanti malam saya datang balik,” jelas aku.

Kemudian aku memandu pulang. Malam itu aku kembali, Kak Ina ada di hujung sana sedang menolak troli rawatan.

“Asslamualaikum, kak,” aku menyapa.

“Eh doktor, walaikumsalam,” balas Kak Ina

“Kak, surat yang dari Hasan tu mana?” tanyaku.

“Alamak, dekat rumahlah. Nanti akak cuba cari dulu,” balas Kak Ina.

“OKlah, nanti kalau dah jumpa telefon saya. Saya datang ambil,” balasku.

Seminggu selepas itu aku masih belum mendapat apa-apa panggilan dari Kak Ina. Entah apa puncanya. Dada mula rasa berat, nak bernafas pun agak sukar. Termengah mengah. Aku pun pergi ke zon kecemasan untuk pemerikaaan. Aku di periksa oleh rakan setugas.

“Zeed, kau punya oxygen level 92% je ni,” ujar Dr. Chong.

“Kau ada asma ke apa?” tanya Dr. Chong lagi.

“Eh tak ada lah. Dari kecik tak ada,” balasku.

“Demam ni. 39 suhu badan,” balas Dr. Chong.

“Tapi aku rasa biasa je, tak rasa panas apa pun,” balasku.

“itulah, aku rasakulit kau ni sejuk je,” balas dr chong

Berkali-kali Dr. Chong memeriksa suhu aku. Suhu tetap menunjukkan 39 darjah Celsius.

“I will treat you as CAP, (Community acquired pneumonia), Masuk wad OK?” bermakna jangkitan pada paru-paru disebabkan kuman atau bakteria yang ada pada sekeliling.

HASAN / 217
Mungkin juga aku terlalu resah dan stress menyebabkan sistem imuniti pertahanan badanku makin lemah.

“Bro, aku admitkan kau masuk wad. Duduk Wad 6 OK? Wad 5 dah penuh!” balas Dr. Chong.

“OKlah, boleh,” balas aku kepenatan bernafas dengan topeng tekap oksigen. Aku ditolak masuk ke Wad 6.

“Eh kenapa ni doktor?” tanya misi yang menjaga.

“lung infectionlah, kak. Masuk antibiotik. Oksigen pun rendah,” balasku.

Aku ditolak ke belakang.

“Bahagian depan dah penuh. Belakang je kosong, doktor,” balas misi.

“Eh tak apalah. Saya OK je,” balasku.

Disaat itu, bagai janji menuntut takdir. Katil aku kini bersebelahan katil arwah Hasan. Kami kini berjiran, cuma bezanya aku masih bernafas, dan katil Hasan itu hanya tinggal kenangan.

Bukan lagi sebagai umpan, Malah aku bagaikan sudah terperangkap di dalam sangkar itu, tiada pilihan. Sejak pemergian Hasan, tiada lagi gangguan yang datang, Tokwan, Haji Mail, dan Haji Awang sudah pun berlalu pergi. Entah di mana. En Samad pula ke kelantan menziarahi saudaranya.

Gangguan itu lenyap dengan tiba-tiba? Tapi kenapa? Adakah ianya sudah selesai? Tapi masih belum terjawab. Kini hanya aku seorang, melawan siksa durjana bakteria jangkitan paruparu yang hanya mampu didiagnos dari sudut perubatan moden, yang telah menjerumuskan aku ke dalam sel Wad 6, yang hanya bakal menanti sesuatu yang bakal kunjung untuk tiba.

Malam tu, Lebih kurang jam 12 malam, aku diberikan suntikan antibiotik yang kedua. Misi berlalu pergi. Dengan bantuan pernafasan, kini aku sedikit lega. Aku hanya terbaring, kelemahan. Angin laut bertiup kencang, berterbangan langsir di dalam wad

Kini baru aku sedar. Kini baru aku dapat rasakan, beginilah kehidupan Hasan selama dia di sini. Hanya ada kegelapan, tiupan angin malam. Tiada apa-apa lagi. Tiada peneman. Mak bapaku nun jauh di kota Kuala Lumpur dan aku tidak bercadang untuk memberitahu mereka.
HASAN / 218

Sunyi sepi melainkan bunyi-bunyian dari luar dan tapak kaki misi yang giat bekerja pagi dan malam. Aku mula cuba melelapkan mata. Bagaikan ada sesuatu bermain di telinga— srett! Kain langsir katil Hasan perlahan bertebangan. Sedikit-sedikit ianya bergerak menutup ruangan katil itu.

Aku menoleh.

Sunyi sepi, cuma ada langsir yang dihembus tegak berkibas dan pada ketika itu, dalam kegelapan malam itu, perasaan yang kian lama pudar, kini kembali. Bulu romaku semuanya tegak. Bagaikan ada rasa sesuatu yang tak kena.

Pada saat aku menoleh pada katil Hasan itu, seluruh badan kekejangan. Hanya mata yang masih mampu melihat. Di saat kain langsir yang giat berkibas, setiap kibasan itu memberi satu bingkas tampak bayang-bayang.

Pada mulanya seakan akan tidak jelas. Kain langsir itu berkibas lagi. Kini, Setiap kibasan itu melahirkan satu bayang-bayang berbentuk susuk tubuh yang sedang duduk. Makin dikibas, makin jelas. Bertemankan cahaya lampu luar dari belakang, menjelaskan lagi susuk tubuh itu.

Susuk tubuh yang saling tak tumpah sedang duduk dan menundukkan kepalanya dari atas ke bawah bagaikan berzikir.

Beep! Beep! Beep!

Dari susuk telingaku, amat jelas kedengaran bunyi mesen monitor yang menyukat tahap oksigen badanku. Makin lama bunyi itu makin laju. Ianya petanda. Petanda kepada tahap saturasi oksigen badanku. Badanku waktu itu, bagaikan tugu, Kaku, pegun, tak dapat aku gerakkan walaupun sedikit.

Mataku terbeliak melihat kelibat yang sedang duduk di katil Hasan ditemani kibasan kain langsir itu. Apa lagi yang mampu aku lakukan? Aku kini hanyalah jasad yang lumpuh. Yang masih bernafas dengan paksaan.

Beep! Beep! Beep!

Nada deringan dari mesen itu makin laju. Aku mula tercungap-cungap dan di saat itu kelibat itu mula menoleh. Ianya bangun duduk di tepi katil dan mula berdiri.

HASAN / 219
Mata yang terbeliak makin luas. Aku makin tercungap meminta nyawa. Nikmat kurniaan udara kini tidak lagi menjadi sumber hidupku. Gas-gas oksigen yang disedut bagaikan tidak membantu.

Susuk itu mula bangun. Berdiri pegun. Kini memandang ke arah aku. Aku hanya redha, Tunduk kepada situasi. “Kun fayakun,” Jadilah, Maka jadilah ia. Apa pun yang berlaku, akan tetap berlaku dengan izinNya.

“Cepat! cepat!” satu suara yang datang dari depan.

Misi yang berlari ke arah aku, menerpa mesin monitor itu,

“SPO2 low!” jerit misi itu.

Aku masih dalam kekejangan, namun masih mampu mendengar. Jika ditafsirkan dari sudut perubatan, kekurangan oksigen itu pasti melumpuhkan sisa-sisa ototku. Maka disebabkan itu menjadi punca pada kekejangan.

Tapi, adakah ianya benar benar tafsiran kitab perubatan moden, atau ianya terselindung asbab mistik dari keumpuhan itu? Hanya Tuhan yang tahu.

Tanpa aku sedari, aku tersedar semula. Tersedar dari satu kesakitan. Kesakitan pada pergelangan tangan aku. Aku membuka sedikit mata. Cahaya yang meluru masuk amat menyakitkan.

Terlihat kawan aku tadi. Dr. Chong yang sedang mencucuk jarum pada pergelangan tanganku untuk ambil darah arterial, darah merah menyala yang datangnya dari jantung terus ke badan. Darah yang membawa bekalan oksigen itu mahu disukat, untuk kajian yang berterusan.

“Yazeed, I ambil ABG(Arterial Blood Gas) you. Tadi you punya SPO2 (tahap oksigen) dalam badan drop. I sudah pasang Hi Flow mask. For the time being, we will monitor you closely ya,” ujar Dr. Chong yang mengangguk cuba memujukku.

Aku redha. Aku mula bernafas dengan perlahan. Kini lebih lega. Jari-jemari aku mula dapat aku rasakan.

Nikmat. Itulah nikmat kehidupan yang Allah berikan. Udara itu, oksigen itu, yang tidak kita hargai selama ini. Itulah rezeki dan nikmat dunia yang tak terkata. Bukan wang ringgit. Bukan pangkat. Nikmat bernafas, ianya percuma,. Itu adalah satu nikmat yang tak dapat dibeli dengan wang ringgit.
HASAN / 220

Manusia selalu alpa dan mudah lupa. Aku pasti kepada mereka yang pernah melalui, kini mereka akan sedar betapa indahnya nikmat menghirup udara. Aku akhirnya rebah, tumpas. Aku melelapkan mata kepenatan.

Keesokkan paginya. bagaikan ada sesuatu yang menepukku di bahu.

“Doktor, saya ambil darah sikit ya. Saya nak masukkan ubat sikit,” sapa dari misi.

Aku menoleh ke kiri. Misi Kak Ina sedang berdiri. Misi yang pertama berlalu pergi.

“Doktor, maaflah saya tak dapat jumpalah surat tu,” balas Kak Ina.

“Tak apalah. Jangan risau. Kalau jumpa nanti baru beritahu saya ya,” balas aku lemah.

Petang itu, aku duduk di tepi katil, memandang ke luar. Taman kecil yang ada di antara Wad 5 dan Wad 6. Seorang perempuan tua yang menutup mukanya dengan selendang.Selendang merah.Hanya duduk dikerusi itu memandang ke arah aku.

Aku cuba mengelak, kemudian aku mengintai semula. Dia masih di situ. Aku mengelak lagi di balik dinding. Jantung berdegup pantas. Perlahan, aku mengesot dari belakang dinding dan mengintai.

Perempuan tua itu berjalan perlahan ke pohon besar itu dan kemudian hilang dari penglihatan di balik pokok itu. Hairannya, mana ada jalan keluar belakang tu?

“Ish dah lama tak ada gangguan apa-apa. Ke aku je yang berperasaan curiga lebih-lebih ni?” bisik hati

Tiba-tiba satu tepukan pada bahu belakang, “Hah, Mengintai sapa tu,” sapa Kak Ina tertawa.

“Ohh, tak adalah. Saja tengok pemandangan. Rimaslah pakai topeng tu,” balasku.

Malam itu seperti biasa, selepas suntikan antibiotik yang kedua. Aku cuba melelapkan mata. Aku dapat rasakan sesuatu yang tak kena. Aku hanya berserah. Berzikir. Aku mula tertidur.

“Doktor. bangun,” bagaikan ada sesuatu yang dibisikkan di telingaku.

HASAN / 221
“Doktor… doktor,” bisikkan itu lebih kuat.

Aku menutup mata. rapat. Yang dijangka sudah pun tiba.

“Doktor, bangunlahh,” bagaikan dipujuk lagi.

Kali ini, aku amat mengenali suara itu.Ya! Pasti suara itu! Aku cuba menyangkal namun detik mindaku, dengan frekuensi nada itu, aku tak mampu menipu diri lagi. Aku yakin, bagaikan dalam mimpi yang sedar. Aku mencubit pehaku. Mindaku berkata ‘sakit!’ Aku bukan bermimpi, Bukan subkonsius! Ini realiti!

“Doktor. He he he,” suara yang lebih jelas, lebih tajam.

Kini aku pasti. Aku mahu menoleh, tetapi tolehan aku terhenti . Aku memejamkan mata semula. Aku tersedar semula dari khayalan. Pujuk rayu itu hanyalah godaan. Hati berkeras mahu menoleh. Rindu, tapi dia kan sudah pergi.

Hidup ini, kita bisa terumbang dengan kenyataan, Bakal hanyut dengan godaan. Lihatlah kehidupan seharian kita, walaupun realitinya dicdepan mata, kita masih lagi tetap hanyut dengan pujukan rambang.

Seperti aku, Yang tidak yakin dengan realiti, Goyah bila diuji. Walaupun aku amat yakin dengan suara itu secara sedarnya, aku tahu dia telah pergi menghadap Ilahi. Namun, hati masih tertanya tanya. Apakah betul ini semua?

Kali ini aku memilih reality. Aku menampar mukaku berkali-kali. Aku sedar dengan kesakitan itu. Aku tetapkan jiwa. Ini semua godaan yang cuba mengganggu aku. Aku memilih untuk memejamkan mata, Aku tak hiraukan godaan itu.

“Tolehlah sini. Kita dah dekat sangat ni,” suara yang datang dari katil Hasan.

“Doktor, pusinglah. Lihatlah saya ni,” pujukan sekali lagi.

Makin rapat aku tutupkan mata. Perlahan aku mencapai selimut. Aku tarik ke muka, tutup segalanya. Gelap di dalam dunia selimutku. Namu suara pujukan itu, ternyata lebih halus dilontarkan melalui udara sebagai gelombang perantaraan.

Kaki aku makin kejang, Kedua tangan memeluk tubuh. Mata dipaksa tertutup rapat.

Kini aku hampir. Hampir dengan iblis laknat itu.
HASAN / 222

“Tidur atau takut? Hi hi hi,” suara tawa memainkan perasaan aku.

Berpeluh peluh satu badan. Panas. Badan kekejangan. Sretttttt! Tiba-tiba suatu suara seretan kerusi dari hujung. Sreeett! Semakin jelas. Amat jelas menghampiriku.

“Ya Allah, hanya kau tempatku berlindung,” bisik hati, terus beristighfar.

Sreettt! Perlahan, seretan itu makin lama makin hampir. Kini tepat digegendang telinga kiriku— Sreeettt!

Bunyi seretan itu berhenti di belakangku. Bagaikan ada yang menyeret kerusi dari hujung sudut itu hinggalah ia kini betul betul berada di belakangku. Aku memang dapat rasakan sesuatu di belakangku. Situasi yang membuatkanku panik dan tercungap-cungap semula mencari nyawa.

Aku cuba meraba topeng oksigenku namun malangnya topeng itu jatuh ke bawah. Aku tidak dapat berbuat apa-apa lagi, Dada bernafas kencang, Aku tidak mampu lagi menyedut udara di sekelilingku. Mesen monitor oksigen berdering nyaring— Beep! Beep! Beep!

Berpeluh bukan kepalang. Satu ungkapan yang datang di telinga kiriku membuatkan aku pernafasanku makin laju. “Kini, aku bersama mu.”

Beep! Beep! Beep! — bunyi mesen monitor oksigen makin kuat dan pantas

Aku makin lemah, mata tak mampu bertahan lagi. Aku rasa bagaikan tercekik. Bagaikan ikan yang baru ditangkap dan dibiarkan di atas tanah mencari nyawa.

Tiba-tiba— Tap! Tap! Tap! Bunyi larian tapak kaki yang menghampiri aku.

“Doktor, pakai topeng ni. Oxygen low ni,” ujar misi seorang lagi yang menyarungkan aku semula topeng pernafasan itu.

“Hish! Buat apalah kerusi ni ada sini. Semak betul. Siapa pula letak sini?” bebel misi.

Itulah kali terakhir ayat yang aku dengar pada malam itu. Pandanganku mula gelap, Badanku mula rebah dan aku akhirnya pengsan melelapkan mata

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.