HASAN PART 24

BAB 24
UMPAN

“HA HA HA HA!” gelak tawa garau dari En Samad yang datangnya dari belakang di saat Haji Mail dan Tokwan telah berlalu pergi.

Kini hanya aku, En Samad, dan kelibat yang di luar. Aku menutup telinga, merapatkan kepala di lutut. Berpeluh menahan ketakutan dan diiringi bau hancingnya seluar. Kepekatan malam, awan pekat menghitam, biasan sinar cahaya bulan. Sunyi sekeliling.

Aku tak mampu bertahan lagi.

“Siapa kau? Kenapa kau di sini?” jerkah En Samad.

Dalam ketakutan itu, terdetik satu tanda tanya.

“Kau yang sibuk nak kacau aku, takkan kau tak kenal aku?” bisik hati sambil aku membuka mata sedikit menoleh ke belakang.

Rupa-rupanya soalan itu bukan untuk aku. En Samad merenung tajam ke luar tingkap, ke arah tingkap kereta hadapan sambil mendengus acap kali— hissss hisss hisss! —diikuti nafas berat En Samad. Marah.

“Pergi kau dari sini!” jerit En Samad.

Eh, pelik betul. Marah dekat siapa pula En Samad ni? Mungkin jelmaan Tok Nek. Rupa paras yang sangat mirip dengan Tok Nek. Tapi hairan, kenapa kelibat itu mahu menyerupai Tok nek?” bisik hati.

Tok Nek adalah nenek keluargaku yang berasal dari Segamat, Johor. Namun banyak rahsia yang tidak aku ketahui dari Tok Nek kerana perwatakannya yang agak serius walaupun aku cucu kesayangannya.

Adakah ini, hanya permainan iblis untuk mengaburi aku, atau adakah kelibat berwajahkan tok aku itu sama sekali berkait rapat dengan aku? Aku bingung menjadi mangsa keadaan. Apa yang sebenarnya penyebab utama gangguan di wad tempoh hari hingga terbawa bawa sekian lama?
HASAN / 191

Aku masih tidak pasti di saat ini. Yang aku tahu, hanyalah beberapa kelibat yang wujud di sekeliling aku. Kelibat yang dipertuankan oleh Hasan, kelibat yang datangnya dari belahan pokok di belakang hospital, kelibat yang sentiasa mengekori aku.

Kini, aku masih terperangkap di dalam kereta Haji Mail bersama rasukkan En Samad. Tiba-tiba En Samad meracau sambil menjerit “ARGHHHHH!”

Tangannya yang sedang menarik helaian rambutnya yang tidak seberapa nak ada. Menggeliat kiri dan kanan.

“Arghhhhh Arghhhhh. Pergi kau, pergi!” jerit En Samad.

Sambil kakinya menendang-nendang seat hadapan. Aku makin seram. En Samad sudah mula naik sawan, bak histeria, namun aku tahu itu bukanlah En Samad yang sebenar.

“En Samad! Aduhai! Ya Allah! En Samad, mengucap mengucap!” jerit aku sambil toleh ke belakang.

Mahu sahaja aku keluar dan lari, tapi disebabkan pesan Haji Mail dan Tokwan untuk menjaga En Samad, aku terpaksa bertahan. Lagi pun, ke mana lagi arah tuju yang boleh aku pergi?

Di sebelah aku hanya ada hospital, dan di sudut sebelah lagi satu hanyalah pantai. Masuk semula ke hospital dan membuat kacau sementara Tokwan dan Haji Mail sedang bertarung? Bukan pilihan yang tepat. Aku harus bertahan menjaga En Samad.

“Arghhhh arghhh,” En Samad meracau lebih dahsyat.

Hidungnya mula berdarah. Mengalir dari kedua-dua lubang hidungnya. Berkerut dahi En Samad. Berpeluh peluh. Aku toleh ke tingkap kereta, Aku toleh sekeliling. Mata kasar aku tidak dapat menampakkan apa-apa. En Samad masih lagi meracau lebih dahsyat.

Aku tak mampu bertahan lagi. Walaupun sudah di pesan, aku hanya perlu duduk di dalam kereta itu sahaja, aku tak sanggup lagi.

Aku buka pintu. Aku melangkahkan kaki keluar dari kereta. Aku keluar. Menutup pintu kereta. Sambil berdiri. aku menjerit sekuat hati “En Samad kena rasuk! Tokwan! Haji Mail!”

“Tolong!” aku menjerit ke arah bilik mayat.
HASAN / 192

“Masuk! Masuk balik dalam kereta!” satu jeritan yang tidak beberapa jelas.

Aku melangkahkan kaki lebih dekat kepada Tokwan dan Haji Mail. Kini aku nampak mereka lebih jelas.

“Tolong, Tokwan! Haji Mail!” jerit aku.

“Masuk semula dalam kereta! Cepat!” jerit Tokwan.

“Haaa? Kenapa? En Samad meracau dalam tu! Aku tak nak masuk!” jerit aku.

Buat seketika, selepas jeritan itu, aku melihat Tokwan dan Haji Mail. Terpaku. Pegun buat seketika. Mereka memandang ke arah atas bumbung bilik mayat sambil berdiri dengan langkah kuda-kudanya, tangan dengan riak gaya yang mengawasi langkah. Kemudian mereka terus berlari ke arah aku.

“Lari! Masuk dalam kereta! Cepat! Cepat!” jerit Tokwan.

Aku bingung. Aku masih berdiri.

“Kenapa nak masuk dalam kereta, Dahlah orang tua tu tengah sawan. Apa kejadahnya aku kena masuk balik dalam kereta!” bisik hati.

Aku menggelengkan kepala tanda tidak mahu. Haji Mail dan Tokwan bergegas lari ke arah aku. Aku masih lagi pegun berdiri. Masih lagi keliru dengan apa langkahku yang seterusnya. Tokwan terus menerpa badan aku, Tokwan peluk dengan erat. Haji Mail kini sedang berdiri di hadapanku sambil menoleh atas, kiri dan kanan.

“Kan saya dah cakap jangan tinggalkan kereta tu,” jerit Tokwan pada aku.

“Ya saya tahu, tapi En Samad sedang meracau dalam tu. Dia tendang habis semua tempat duduk. Saya seram. Tak sanggup duduk dalam tu,” jerit aku marah.

“Apa? En Samad meracau? Ah sudah,” balas Haji Mail.

“Tokwan, Mari kita rapat ke kereta,” sambung Haji Mail.

Kami pun mengesot rapat ke arah kereta. Badan aku masih lagi digenggam erat oleh Tokwan.
HASAN / 193

“Tokwan kamu tunggu dengan doktor. Aku masuk ke dalam kereta,” balas Haji Mail.

Aku dan Tokwan kini berada di luar kereta. Masih terpinga-pinga memandang sekeliling. Tokwan masih merenung tajam pada bumbung bilik mayat itu. Aku mengintai dari luar.

En Samad sudah pun terbaring di kerusi belakang kereta sambil Haji Mail yang sedang terkumat-kamit membaca sesuatu kepada En Samad. Dalam masa yang sama, dalam genggaman itu, Tokwan terus beristighfar. Aku turut mengikut bacaan Tokwan.

“Tokwan, dah, cepat masuk dalam,” jerit Haji Mail.

Aku duduk di hadapan, Tokwan memandu. Haji Mail di belakang bersama En Samad. Dalam gelap malam itu, Tokwan memandu ke jalan besar arah ke Endau-Rompin

Dalam beberapa ketika, di satu sudut, kami masuk ke simpang jalan yang sempit, jalan yang menuju ke satu rumah persinggahan yang kecil. Nun jauh ke pelusuk kampung. Kami pun masuk ke dalam, Haji Mail dan Tokwan memapah En Samad.

“Aku tak tahan,” balas en Tokwan.

“Hancing betul bau!” balas Tokwan sambil ketawa.

Aku memandang ke bawah. Malu.

“Ha ha ha, biasalah, baru pertama kali. Siapa tak takut? Sampai terkencing dibuatnya,” tawa Haji Mail pula.

“Nah ambil kain ni. Pergi mandi,” arah Tokwan.

Aku pun terus mengambil kain, berjalan ke tandas untuk mandi. Manakala En Samad pula di baringkan di tengah-tengah rumah itu. Setelah selesai mandi, aku pun berjalan semula ke arah mereka. En Samad sedang duduk keletihan.

“En Samad, Awak OK ke?” tanyaku.

“OK doktor, tapi berat betul rasa kepala. Apa yang jadi tadi?” terpinga-pinga En Samad bertanyakan soalan sambil baring semula kepenatan.

Haji Mail dan Tokwan tenang duduk di sisi.
HASAN / 194

“Penunggu Hasan, sangkar hitam tu, dia rasuk kamu tadi Mad,” balas Haji Mail.

“Payah ni, Mail. Berat ni,” kat Tokwan.

“Pelik juga, iblis tu semua tak boleh lepas dari pagar hospital, kan?” balas Tokwan lagi.

“Aku sangkakan belum dipagar, rupanya dah di pagar tapi ada lubang,” balas Haji Mail

“Kuat betul si kelibat sangkar hitam tu. Dia sahaja yang boleh lepas, boleh keluar masuk sesuka hati,” balas Haji Mail.

“Kenapa tadi? Kenapa saya kena duduk dalam kereta?” tanyaku.

“Sepatutnya saya dah pagarkan kereta tu tadi. Tak sangka dia boleh masuk juga rasuk En Samad. Kuat betul,” balas Haji Awang Mail.

“Habis tu macam mana ni? Macam mana nak halau dia?” tanya aku lagi berdebar.

“Boleh. Kita umpan dia semula di dalam hospital, tapi kita kena tangkap semua masuk dalam bas,” balas Haji Mail.

“Saya ada mesej Haji Awang. InsyAllah bas tu boleh sampai esok,” kata Tokwan.

“Tapi—” balas Haji Mail.

“Tapi apa, Haji Mail?” balasku.

“Malam esok, kamu kena duduk di katil Hasan,” balas Haji Mail.

“Apa? Sekali lagi umpan? Aduh tak sanggup, Haji Mail. Ada cara lain tak?” tanyaku lagi.

Haji Mail menggelengkan kepalanya tanda tiada jalan lain lagi.

“Ah sudah! Tokwan, tolonglah kasilah idea. Macam mana ni?” pujuk rayuku.

“Itu saja caranya,” balas Tokwan dengan muka yang serius dan kepenatan.

“Macam mana umpan tu?” tanya aku pada Haji Mail. Berkerut dahi aku tak sanggup untuk tahu.
HASAN / 195

“Malam esok, kamu duduk di sana. Di sini, Hasan. Saya pasti dia akan datang kepada kamu,” balas Haji Mail.

“Lepas tu?” tanya aku lagi tidak sabar.

“Pastinya dia akan tanya kamu, sanggupkah kamu menjadi tuan barunya,” jelas Haji Mail sambil memandang ke arah Tokwan. Tokwan mula memandang ke bawah.

“Ermm. ermmm. saya kena jawap apa?” mata aku terbeliak menunggu jawapan.

“Kamu perlu setuju,” tak sempat habis Haji Mail berbicara aku mencelah.

“Ha? Tak tak tak. No no no! Tak boleh Haji Mail. Takkanlah saya nak bela si iblis tu pula,” jerit aku mula marah.

“Nanti. Dengar dulu. Bila kamu dah kata yang kamu setuju. Iblis itu akan mula tinggalkan jasad si Hasan dan akan mula masuk ke dalam badan kamu…”

“Aduh, tak naklah!” aku mencelah lagi.

“Sabar! Biar saya cerita dulu!” bentak Haji Mail.

“Bila dia mula nak masuk badan kamu. Aku dan Tokwan akan tangkap dia. Masa tu bas pun dah standby untuk bawa iblis-iblis ni semua,” kata Haji Mail.

“Maknanya, sebelum dia masuk badan saya Haji Mail dan Tokwan dah boleh tangkap?” tanyaku.

“Ya, lebih kurang begitu,” balas Haji Mail menundukkan kepalanya.

“Tapi macam mana kalau, Haji Mail dengan Tokwan tak sempat tangkap dan dia sempat masuk dan rasuk badan saya? Ada kebarangkalian akan terjadi, tak?” tanyaku.

“Ya, ada kebarangkalian jika kami gagal. Tapi, kami dah biasa. Selalunya berjaya. Selalu saya buat seorang sahaja. Malam esok saya dan Tokwan ada. Kerja lebih mudah,” jelas Haji Mail.

“Tapi masalahnya, kebarangkalian tu ada! Risiko tu ada, Haji Mail. Tak ada cara lain ke?” jeritku memberontak.
HASAN / 196

“Jangan risau, walaupun dia berjaya merasuk kamu pun, kami ada jalannya, ada cara untuk tangkap dia semula. Jangan risaulah,” balas Haji Mail.

“Saya tak nak! Saya tak kira! Fikirlah cara lain ,” jeritku.

“Ini cara yang terbaik. Susah untuk kami tangkap dia kerana separuh dirinya berpaut pada jasad Hasan. Iblis itu harus dilepaskan.”

Aku menggeleng kepala. Tetap berdegil.

“Macam nilah, kamu sebelum ni bedah orang, Ada risiko tak? Pasti ada, kan? Tapi kamu tetap bedah juga. Kenapa? Kerana kamu tahu caranya, kamu tahu yang kamu boleh kawal, kamu ada ilmu. Betul tak?” tanya Haji Mail.

“Walaupun ada risiko, kamu tetap lakukan pembedahan itu. Untuk apa? Untuk menyembuhkan penyakit pesakit kamu. Hanya dengan pembedahan sahaja dapat selamatkan pesakit kamu. Pasti kamu buatkan jika tidak ada cara lain?” bentak Haji Mail lebih serius.

“Betul juga kata Haji Mail. Pandai pula dia pusing ayat macam tu. Tiba-tiba rasa kena tampar setepek,” bisik hati yang sedang merenung berfikir.

“Doktor, sudah pasti saya dan Tokwan akan buat yang terbaik. Tenaga awak lebih penting. Banyak lagi rakyat tempatan, pesakit di sini perlukan khidmat awak. Awak ditugaskan di Mering untuk jaga pesakit-pesakit di sini. Sebab itulah saya berusaha nak pulihkan awak. Supaya bila dah tak ada gangguan, awak boleh bekerja seperti biasa. Tolong orang-orang kampung yang sakit ni,” balas Haji Mail lagi.

Tokwan mengangguk.

“Hmm. baiklah, boleh saya fikirkan dulu malam ni?” tanyaku.

“Baik. Kamu fikir masak-masak, sebab benda ni takkan selesai. Kamu kena tamatkan benda ni secepat mungkin,” balas Haji Mail.

Geram, bercampur sedih.

“Sial kau iblis, menyusahkan aku. Tak pasal pasal aku terlibat,” bisik hati.

HASAN / 197
Aku pun berjalan keluar dari rumah kecil itu. Pondok rehat Tokwan rupanya. Aku ambil angin malam. Tenang. Aku memandang sekeliling. Tidak ada rasa takut sedikit pun.

Kerana apa?

Kerana Haji Mail dan Tokwan ada di dalam?

Salah!

Bukan kerana mereka, tapi kerana penciptaku, kerana Allah yang Maha Esa di belakangku, kerana dialah yang menghantar Haji Mail Dan Tokwan dalam misi melawan iblis laknat. Disaatini aku sedang merenung ke atas sambil berlinangan air mata, tanda tekanan mental yang amat kuat dan juga terselit rasa yang amat bersyukur.

Aku mengangkat doa.

“Ya Allah, terima kasih, Kau masih melindungi aku. Terima kasih ya Allah. Lindungilah aku sehingga tamat hayatku,” aku menekap tangan doa ke mukaku dan pada saat itulah, bagaikan ada sesuatu yang mengusap tengkukku. Cakaran tajam yang halus. Membelai benak belakang kepalaku.

Aku terus menoleh ke belakang, kiri, kanan, atas dan bawah. Sambil aku mengusap belakang tengkuk dan leherku, aku terkapai-kapai aku menoleh mencari punca.

Amatku kenal dengan belaian dari belakang itu.

Advertisements

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.