HASAN PART 22

BAB 22
SIHIR

“Apa ni, En Samad!” teriak aku.

“Apa semua ni?” jerit aku lagi. Marah.

Pintu yang tadinya terbuka sedikit. Kini terbuka lebih luas. Aku yang sedang berdiri tadi terpegun melihat bukaan luas pintu yang menggambarkan keadaan dalam bilik itu. En Samad yang sedang duduk bersila membelakangi aku, menoleh kepala. Kemudian memandang ke arah kirinya. Satu lagi kelibat yang sedang duduk. Lantas En Samad memandang ke arah aku.

“Ha ha ha!” satu suara garau. Teriakkan gelak tawa yang riuh.

“Mari sini,” balas En Samad.

“Tak nak! Kau rupanya selama ni! Ajaran sesat. Ilmu hitam. Hamba setan!” jerit aku.

“En Samad, apa salah aku? Kenapa kau buat semua ni?” tanya aku lagi.

Marah, geram bercampur seram dalam masa yang sama. Apa salah aku pada kau En Samad? Kenapa aku yang menjadi mangsa? Dalam tanda tanya itu, kelibat di sebelah En Samad yang serba-serbi hitam tidak berwajah, bangkit. Mula melangkah ke arah aku.

“En Samad! Tolonglah. Jangan buat aku macam ni. Apa salah aku?” jerit aku ketakutan

“Allahuakbar, mengucap En Samad!” jerit aku.

Namun, segala pujuk rayu aku tidak dibalas dan tidak diendahkan lansung. Kali terakhir yang aku masih ingat hingga kini, di kala kelibat tadi yang mula bangun melangkah ke arah aku. Dalam ketakutan yang amat sangat, aku terus menoleh, aku mula berlari.

Dam! Dam! Dam! Bunyi goncangan pintu depan yang kuat! Kemudian— Bamm! Bagaikan aku terlanggar sesuatu. Itulah kali terakhir yang aku dapat ingat dalam situasi itu.

Aku tak sedarkan diri.

HASAN / 174
“Doktor! Doktor! Bangun! Boleh dengar saya tak?” satu suara yang bermain di telinga.

Suara yang menerjah deria membangkitkan aku semula. Aku gosok mata berulang kali.

Aku buka mata, pandangan yang kabur, kini mula jelas. Tersentak, badan aku terus bangun, tertujah ke belakang. Bagaikan melihat hantu di depan mata.

“Kau nak apa, En Samad. Tolong, tolong!” aku merayu.

“Mengucap doktor, mengucap. Saya ni En Samad. Cuba lihat siapa di sebelah saya ni,” balas En Samad.

“Doktor, mengucap dulu! Sabar, duduk dulu. Nah! Selawat 3 kali. Minum air ni,” jelas Tokwan yang rupanya ada di sebelah aku. Aku terus duduk. Aku terus memeluk Tokwan.

“Tokwan, apa semua ni? Saya tak sanggup lagi. Saya tak tahan lagi, Tokwan. Tolong saya, Tokwan,” rayu aku sambil menangis tak keruan.

“Doktor, mengucap dulu. Nah minum air ni, selawat,” balas Tokwan tenang.

Aku pun mengucap, selawat 3 kali. Aku minum air yang diberikan oleh Tokwan.

“Sabar, sabar doktor,” tangan En Samad mengusap bahu aku.

Dengan kadar refleksi yang pantas, aku menolak usapan En Samad. Aku berganjak merapatkan diri aku pada Tokwan seolah-olah aku tak mampu melihat muka En Samad.

“Doktor, sabar. Saya ni, En Samad. Sama seperti yang doktor kenal dulu,” jelas En Samad.

“Macam nilah, biar Tokwan terangkan pada kamu,” Tokwan mencelah.

“Malam tadi, apa yang kamu lihat itu, bukanlah En Samad sebenarnya. Itu adalah iblis yang selama ini menggangu kamu. Apa motif dia, Tokwan masih tak pasti tapi rasanya ada kaitan dengan Hasan. En Samad ada ceritakan tentang Hasan,” jelas Tokwan.

“Kamu bernasib baik kami sempat sampai. Kalau tak, kamu dah disihir,” balas Tokwan.

“Sebenarnya apa yang kamu nampak semalam dan selama ini adalah semata-mata jelmaan syaitan yang cuba menakutkan dan melemahkan kamu.
HASAN / 175

“Kamu perasan tak? Hinggakan kamu tak mampu baca apa-apa surah diingatan kamu. Itulah dia iblis yang akan cuba sedaya-upaya untuk menyesatkan kamu.

“Dan semalam itu merupakan satu adat sihir iblis yang selama ini menjadi tuan kepada Hasan. Namun, sejak Hasan dijangkiti HIV, jasad tubuhnya makin mereput. Jasad itu lemah namun rohnya makin kuat.

“Disebabkan jasad yang lemah itulah, membuatkan tuan iblis kepada Hasan mencari pendamping yang paling rapat dengan Hasan, dan juga mencari seorang yang lebih baik dari Hasan.

“Tapi, Tokwan perlukan sedikit masa untuk memahami apa yang sebenarnya dimahukan oleh iblis ni,” jelas Tokwan lagi.

Aku tunduk menangis. Pasrah dengan malang yang menimpa.

“Tokwan, saya nak hidup normal semula. Saya tak sanggup lagi dengan gangguan ni. Tolong saya, Tokwan,” pujuk rayu aku.

“Jangan risau, doktor. Kami cuba sebaik mungkin,” balas En Samad.

“Tapi, macam mana Tokwan dan En Samad tahu apa yang saya nampak semalam?” tanya aku lagi.

Tokwan memandang ke arah En Samad. Tokwan mengangguk.

“Semalam, saya di Endau. Saya memang kebetulan melawat Tokwan. Malam semalam, ada satu lebai ni pulang dari bandar. Dia telefon saya. ‘Eh Mad, Rumah kau ni ada kenduri ke apa ni? Ramai sangat orang di luar rumah? Semua pakai baju hitam. Ada majlis berkabung ke? Pelik pula aku. siapa meninggal?” kata lebai.

“Bila saya dnegar sahaja penjelasan lebai, saya dah tahu mesti ada sesuatu tak kena. Saya terus ceritakan pada Tokwan. Tokwan dan saya, tanpa berlengah. kami terus bergegas pulang ke rumah saya.

“Orang rumah saya ada di KL. Di rumah saya tiada siapa. Itu yang menjadi tanda tanya. Jadi bila saya dan Tokwan sampai sahaja di rumah, saya nampak kereta doktor. Saya dah menggigil, Tokwan berlari keluar kereta masuk ke dalam rumah.

HASAN / 176
“Masa tu, lepas saya buka je pintu, kami nampak doktor dah terjatuh pengsan. Kami toleh ke dalam bilik. Tokwan arahkan saya untuk usung doktor ke ruang tamu. Kemudian Tokwanlah berdepan dengan kelibat yang ada di dalam bilik saya tu.

“Kelibat itu menyamar menjadi pendua saya untuk memastikan kamu terjerat dengan sihirnya. Nasib baik Tokwan sempat menghalang. Lebih kurangmacam tulah doktor,” jelas En Samad.

“Syukurlah, kamu terselamat dari sihir itu. Saya pernah melihat sihir yang begini. Banyak kali. Kuasa iblis yang cuba menyesatkan manusia macam-macam cara,” jelas Tokwan.

“Tokwan ada berhubung dengan beberap ilmuan dalam bab ni. InsyAllah dalam masa terdekat nanti, mereka akan maklumkan semula pada Tokwan bagaimana nak bantu kamu. InsyAllah mereka akan datang sini untk melihat sendiri keadaan di sini,” jelas Tokwan lagi.

“Jangan risau! Tokwan dah pagarkan semula pendinding di rumah En Samad. Kamu tinggal bersama En Samad dulu buat sementara waktu, ya,” balas Tokwan lagi.

“Doktor. kamu masih lagi dalam tempoh cuti tanpa gaji, kan?” tanya En Samad.

“A’ah, ada lagi 2-3 minggu,” balasku.

“Kalau boleh, Kamu jangan ke hospital lagi buat masa ni. Jangan jumpa Hasan buat sementara waktu. Sehingga saya dapat cari puncanya,” balas Tokwan.

“Baiklah, Tokwan. Tapi hari-hari tengok muka En Samad boring juga ni,” balas aku sambil ketawa, sempat bergurau.

“Ha ha ha. Tak apalah, muka saya hensem lagi dari setan tu,” balas En Samad yang ketawa berdekah dekah.

“Doktor pergi mandi dulu. Nanti malam ni orang surau akan datang baca doa selamat. Nanti kita pergi bandar beli apa yang patut untuk jamuan, ya!” balas En Samad.

“Nanti kejap lagi Haji Awang ambil aku. Ada beberapa kerja nak diselesaikan,” balas Tokwan.

Aku pun pergi mandi. Dah cerah rupanya. Ya, nikmat rasanya. Sekali lagi aku menikmati rasanya nikmat mentari pagi. Lain betul rasanya dunia realiti. Dunia tanpa gangguan. Aku tak tahu bagaimana untuk aku terangkan. Perasaan itu seakan-akan kembali semula. Perasaan ceria.
HASAN / 177

Selepas selesai mandi. aku kembali semula ke ruang tamu. Kelihatan Tokwan dan En Samad yang sedang serius berborak. Aku mencelah duduk di antara mereka.

“Tokwan, saya pelik juga. Semalam kali terakhir saya teringat, saya berlari dan lepas tu saya macam ada langgar sesuatu. Lepas tu saya tak sedarkan diri sampailah En Samad kejutkan saya. Saya ada langgar apa-apa ke? Tadi saya check badan masa mandi, tak ada sakit atau lebam mana-mana. Pelik juga. Kenapa eh?” tanyaku ingin tahu.

Tokwan memandang ke arah En Samad.

“Saya tak beberapa pasti yang itu. Masa kami masuk dalam rumah tu. Doktor memang dah terbaring atas lantai tapi—” belum sempat En Samad menghabiskan ceritanya itu, Tokwan mencelah.

“Tak apa, jangan risau. Sekarang kamu dah selamat di sini. Nanti saya akan cuba cari jawapannya. Jangan difikirkan lagi. Buat masa ni, Tokwan nak kamu tenang. Banyakkan berzikir, solat sunat. Kalau ada masa, baca Yasin berulang kali,” jelas Tokwan.

Aku pun menerima segala jawapan yang Tokwan berikan walaupun terdetik beberapa persoalan yang masih bermain di benak fikiran. Bagaikan ada beberapa perkara yang masih disembunyikan oleh Tokwan, atau sesuatu yang masih belum boleh diungkapkan.

Aku redha.

Hari-hari seterusnya berlalu seperti biasa. Tiada gangguan lagi. Bertemankan En Samad sebagai sahabat yang paling akrab. Beberapa hari selepas tu, En Samad dapat panggilan dari Tokwan.

“Doktor, esok, lepas isyak, Tokwan nak jumpa kita di surau. Katanya Tokwan ada bawa kawan untuk jumpa doktor,” balas En Samad

“Alhamdulillah, syukur. Ada juga yang sudi membantu,” balas aku gembira.

Seperti yang dijanjikan, kami pun tiba di surau. Selepas selesai solat isyak, kami menunggu Tokwan di surau. Tak lama lepas tu, Tokwan tiba di pintu surau.

“Kenalkan ni sahabat saya dari jauh, Haji Mail,” jelas Tokwan.

Aku pun menyapa dan bersalaman dengan Haji Mail.
HASAN / 178

“Tuan, terima kasihlah sanggup datang dari jauh,” balasku.

“Ish, tak mengapalah. Mungkin hari ni hari saya membantu. Mana tahu nanti saya sakit, doktor pula yang bantu,” balas Haji Mail. Mesra dan peramah. Agak berbeza dengan perwatakan Tokwan yang serius.

“Tokwan dah ceritakan segalanya pada saya. Jelas sekali memang angkara iblis yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan umat manusia,” balas Haji Mail.

Aku pun menceritakan semula kepada Haji Mail dengan lebih jelas dan terperinci. Aku mahu Haji Mail mendapat gambaran yang penuh.

“Saya ada beberapa perkara yang saya agak kelirulah, Haji Mail. Mula-mula saya ingatkan disebabkan pohon besar di belakang tu kena tebang. Orang dulu-dulu kata, banyak makhluk ghaib yang diikat pada pohon tu. Jadi, selepas pohon tu ditebang untuk tujuan renovasi hospital, maka makhluk itu bebas lalu mengamuk.

“Tapi semakin lama, bagaikan dia ekori saya ke mana sahaja saya pergi. Tambahan pula sejak Hasan mula masuk dalam wad ni. Sejak itulah! Jadi, saya tak pasti gangguan ni datangnya disebabkan pohon yang ditebang atau disebabkan Hasan ni yang bertuankan iblis,” jelas aku lagi.

“Mari sini tapak tangan kamu,” kata Haji Mail.

Terkumat-kamit Haji Mail membaca beberapa surah yang aku tak pasti apa surahnya. Haji Mail memejamkan matanya. Keadaan sunyi sepi. Dalam kegelapan malam itu, Tiba-tiba— Bang! Bagaikan ada satu bunyi yang datangnya dari tingkap.

Kaca di tingkap yang ditutup rapi, pecah 2 baris. Bertaburan partikelnya di atas karpet surau akibat dilanggar seekor burung gagak hitam yang akhirnya jatuh ke lantai berlumuran darah. Aku tersentak dengan situasi itu. En Samad dan Tokwan berdiri meluru membelakangi Haji Mail.

“Tokwan, burung tu langgar cermin!” jerit aku.

Tokwan dan En Samad hanya memandang ke arah cermin itu. Mereka memandang sesama sendiri. Dalam keadaan yang sebegitu, Haji Mail masih tenang memegang tapak tanganku sambil meneruskan bacaan surah.

Haji Mail membuka matanya.
HASAN / 179

“Dia mengamuklah tu. Itu tanda amaran untuk saya tak teruskan lagi. Tapi dia silap. Dia belum kenal lagi, ada hamba Allah yang sentiasa dilindungi yang Maha Esa,” jelas Haji Mail perlahan.

Kemudian, Haji Mail mengambil langkah dan terus bangun sambil tangannya di belakang masih memegang tasbih dan zikir.

“Itu sahaja yang kau mampu wahai iblis? Berani kau! Ini rumah Allah! Iblis derhaka! Kalau kau berani, tampilkan diri kau sekarang di rumah suci ini! Sesungguhnya aku hanya takut dan mati pada tangan yang Esa sahaja! Tampilkan diri kau iblis laknat!” jerit Haji Mail.

Garau suaranya. Tak seperti yang aku kenal. Hebat! Haji Mail berdiri tegak untuk seseorang yang berumur sekitar 60-an, berbaju melayu dan seluar hitam.

“Alamak, Haji Mail dah seru. Saya pula yang seram ni,” bisik aku pada En Samad. Menggigil satu badan.

“Haji Mail, kalau saya balik rumah En Samad dulu, lepas tu baru Haji Mail sambung panggil iblis tu, boleh ke?” aku mencelah dalam keadaan genting dan serius tu.

Mereka semua memandang ke arahku. Tokwan mula gelengkan kepalanya. Bukan apa, rasanya aku tak sanggup lagi nak berdepan dengan jelmaan dan gangguan iblis ni. Aku rasa aku pun dah nak gila. Tak sanggup lagi nak menempuh bahana malam ini. Haji Mail yang sedang berdiri tadi, menoleh ke arah aku.

“Apa kamu takutkan. Ingat, ini rumah suci Allah. Yang paling penting, ingat siapa Dia atas kamu itu. Itulah yang kamu perlu takutkan. Bukan dengan iblis ni,” tegas Haji Mail.

“Betul juga, patutlah selama ni dia seronok kacau aku. Aku terlampau takut sangat pada dia sehinggakan aku sendiri tidak yakin pada lindungan yang Maha Esa,” bisik hati yang mula rasa insaf dan khilaf dari pengalaman.

Kata-kata Haji Mail, memang menyuntik semangat juang yang baru, tapi ianya hanya seketika.

“En Samad, teman saya pergi kencing kejap. Macam tak yakinlah nak pergi sorang,” balasku.

HASAN / 180
“Hai, baru tadi angguk-angguk tanda berani, ni nak kena teman juga?” senyum En Samad.

“Haji Mail, saya bawa doktor ke tandas sekejap,” balas En Samad.

Haji Mail mengangguk, tanda setuju. Setelah selesai semuanya. Kami kembali ke dalam
surau.

“Doktor, kita kena ke hospital sekarang,” balas Haji Mail.

“Tapi Tokwan kata buat sementara waktu, saya dilarang ke hospital,” jelas aku.

“Tak apa, jangan risau. Iblis ni tak mahu tampilkan dirinya. Aku nak umpan dia di sana,” balas Haji Mail.

“Tapi dengan satu syarat,” kata Pak Mail.

“Syaratnya, kamu perlu pergi bersendirian. Dari jauh kami akan ikut dari belakang,” sambung Haji Mail.

“Aduh! Aku kena pergi sorang-sorang? Habislah!” bisik hati sambil aku menunduk pasrah dengan riak wajah yang pucat.

“Doktor, kata nak habiskan gangguan ni cepat-cepat, kan? Jangan takut. Allah ada. Saya, Tokwan, En Samad ada. Kami akan ekori dari belakang. Jangan risau,” balas Haji Mail, cuba tenangkan keadaan.

“Doktor parking di kawasan bilik mayat. lepas tu jalan kaki. Tunggu di tengah-tengah antara Wad 5 dan 6. Di bawah pohon besar tu nanti Haji Mail tahulah nak buat apa,” balas En Samad.

“Nanti, kalau dapat rasakan ada sesuatu mendekati doktor, saya nak doktor lari terus ke belakang bilik mayat. Saya akan tunggu di belakang bilik mayat. Tokwan dan En Samad akan tunggu di depan kawasan Wad 6. Selepas jam 1 pagi, kita bergerak ke sana. Buat sementara waktu ni, kita tunggu di sini,” terang Haji Mail lagi

Jam 1 pagi. Akhirnya aku terpaksa bersetuju. Aku akur. Aku terpaksa berkorban untuk tamatkan semua ini. Aku memandu seorang, manakala mereka yang lain mengekori dari belakang.

HASAN / 181
“Aduh, ni yang tak best ni. Jadi umpan pula,” bisik hati.

“Ish aku rasa macam tak sedap. Macam tak bersedia ni. Ke aku pandu je laju-laju, hilangkan diri. Tak sanggup pula nak berdepan dengan bahana yang bakal menanti,” bisik hati.

“Ahhh! No No No! Aku kena habiskan hari ini. Sampai bila aku nak lari dari masalah?” bisik hati lagi

Aku terpaksa berserah. Aku yakin pasti ada hikmahnya. Akhirnya aku teruskan pemanduan. Kini aku sudah pun berada di dalam kawasan perkarangan hospital. Aku berhenti di hadapan bilik mayat. Aku parkir, kemudian aku keluar dari kereta. Seperti biasa, hanya suluhan beberapa lampu jalan sahaja yang menerangi kawasan itu. Gelap gelita.

Aku menoleh melihat sekeliling. Aku nampak kereta Haji Mail di luar pagar yang sedang mengintip aku dari dalam keretanya. Berat kaki untuk aku mulakan langkah. Seperti yang diarahkan, aku berjalan menuju ke kawasan di antara wad 5 dan 6. Aku terus berjalan ke pohon itu.

Masa tu, aku tak dapat nak gambarkan betapa takutnya aku. Menggigil, terkumat-kamit surah aku baca. Bercelaru. Al-fatihah pun boleh jadi tunggang-langgang. Betapa kerdilnya aku. Aku bakal diuji dengan iblis yang selama ini menantikan kehadiran aku.

Aku berdiri di situ. Masa tu lebih kurang 2 pagi. Tak lama selepas itu, lebih kurang 10 minit, tiada angin tiada ribut, tiba-tiba dedaun yang ada pada pohon itu bergoncang bagaikan ditiup angin kencang.

Kecak! Kecak! Kecak! Makin lama makin kuat. Daun-daun luruh berterbangan jatuh ke atas tanah dan pada saat itu tiba-tiba angin bertiup kencang. Siulan angin yang menerpa celahan dedaun memberi satu suasana yang aneh.

Aku ternampak En Samad dan Tokwan yang sedang berdiri di hadapan wad mengintai. Aku cuba pejamkan mata. Aku tak mahu melihat, namun goncangan pohon itu seribu kali merayu, bercampur lagi dengan perasaaan bergolak yang ingin tahu. Akhirnya aku menoleh ke atas.

Nun dari jauh. Aku tak dapat lihat dengan jelas, tapi seakan-akan ada satu kelibat hitam. Serba serbi hitam. Tidak bermata. Bersusuk tubuh seakan anjing berkepala manusia, leher yang panjang sedang merangkak turun dari puncak pohon itu.

HASAN / 182
Goncangan pohon itu makin dahsyat. Badan aku mula menggeletar. Aku pandang En Samad dan Tokwan. Malangnya, mereka seakan-akan berlari ke arah belakang.

Aku hairan. Kenapa mereka berlari lebih awal? Sepatutnya mereka perlu tunggu aku berlari terlebih dahulu. Aku panik. Aku terus menjerit. Malangnya, jeritan aku itu seolah-olah tidak didengari.

Semuanya berlaku dengan pantas. Aku terus berlari mengekori jejak langkah En Samad dan Tokwan ke belakang bilik mayat. Dari jauh aku menjerit— “En Samad! Tokwan!”

Setibanya aku di situ, Tokwan dan En Samad yang sedang berdiri pada satu sudut di tepi pagar, sedang melihat Haji Mail. Aku berdiri pegun. Terbeliak mata. Bagaikan gelanggang pertempuran di belakang bilik mayat itu.

Aku tercengang melihat Haji Mail yang sedang membuka langkah tari silatnya. Bagaikan sedang berdepan dengan sesuatu yang tidak dapat aku lihat dengan mata kasar. En Samad dan Tokwan terus berlari ke arah aku. En Samad menangkap bahu aku. Tokwan mengiringi aku keluar dari kawasan hospital.

Kami semua masuk ke dalam kereta Haji Mail. Hanya dari jauh kami mampu melihat.

Haji Mail bagaikan sedang bertarung hebat. Bersendirian. Sedang kami semua sedang mengintai dari dalam kereta, tiba-tiba.

“Jangan pandang belakang,” teriak Tokwan sambil menekap tangannya pada muka aku. Aku tergamam. En Samad pegun pada kedudukkannya.

“Ada satu lagi di belakang kita,” bisik Tokwan perlahan.

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.