HASAN PART 21

BAB 21
JERAT

Aku kini tiba di pintu depan Wad 6. Aku jenguk kepala ke dalam pintu masuk, mengintai ke meja kaunter. Bungkusan itu masih di situ. Aku lihat sekeliling, Tiada siapa di kaunter. Misi tadi sedang bekerja di hujung sana. Perlahan aku capai bungkusan makanan tadi, aku keluar semula.

“Doktor, ingat dah balik tadi,” ujar misi.

Langkah aku terhenti. Aku toleh ke belakang…

“Oh, saya ambil bungkusan makanan ni. Tersilap! Yang ni orang lain punya. Awak punya nanti saya belikan yang baru,” balas aku serba salah.

“Ha? Bungkusan makanan apa?” balas misi tadi.

“Belikan baru? Bila doktor ada belikan makanan?” balas misi itu lagi.

“Yang nilah,” balas aku sambil mengangkat tangan menunjukkan bungkusan makanan
itu.

Aku terkesima dengan bungkusan yang aku sedang genggam.

“Bocor ke makanan tu?” tanya misi.

Aku terbeliak. Aku buka plastik merah tadi. Alangkah terkejutnya aku. Seketul daging yang masih berdarah. Menggigil aku di situ. Makin runsing. Aku terus beralu pergi, melopong bagai tidak percaya. Aku buang bungkusan itu ke dalam tong sampah…

Aku melihat jari-jemari aku. Malam makin lewat. Hanya sedikit biasan lampu yang menerangi laluan itu. Aku terus berlari ke arah kereta namun, aku sempat menoleh— angin laut semakin kuat —bagaikan ada sesuatu di atas bumbung Wad 5. Kelibat hitam yang sedang berdiri memandang ke arah aku.

“Ya Allah! Ya Allah!” aku terus masuk ke dalam kereta dan terus memandu.

HASAN / 166
Aku memandu keluar dari hospital. Setibanya aku di pintu keluar. Aku melihat sebuah motor kapcai yang sedang dipandu Zam. Zam melambai tangan ke arah aku. Aku pun berhenti, lalu aku buka tingkap.

“Bos, bila balik sini? Kerja ke hari ni?” tanya zam.

“Eh aku masih dalam cuti lagi. Kebetulan ada barang tinggal. Aku balik sinilah,” balasku.

“Kau dari mana, Zam?” tanyaku.

“Alah lepak minum mamak belakang tu. Malam ni kes tak banyak, bos,” balas Zam.

“Bos, Balik rumah ke sekejap lagi? Kalau tak ada apa, saya nak datang lepak rumah jap. Kita layan FIFA sepam dua jom?” tanya Zam.

“OK juga tu. Aku pun seorang je ni. Boring juga duduk rumah seorang. Jom jom!” ajak
aku.

“OK saya settle kerja kat belakang tu kejap. Kejap lagi saya gi sana terus. Kita tengok Chelsea belasah Manchester malam ni,” gelak Zam.

“Haha OK! Jangan kau yang terkincit sudah. Jumpa jap lagi,” balas aku dan terus pandu ke rumah.

“Lega hati, ada jugak peneman malam ni,” bisik hati.

Aku berhenti di hadapan rumah. Aku lihat sekeliling. Perasaan membuak muncul kembali. Serabut fikiran terngiang ngiang. Kini aku dapat rasakan bahawa segala bahana iblis sedang menanti.

Aku parkir kereta. Aku masuk ke rumah. Sudah lama aku tinggalkan rumah ini. Namun semuanya bagai sediakala. Aku buka kesemua lampu yang ada. Aku bersiap untuk mandi. Aku biarkan pintu tandas terbuka sedikit. Makin hari makin paranoid. Aku mandi seperti biasa.

Dam! Bunyi datang dari dalam rumah.

“Eh awal pula mamat ni sampai,” bisik hati sambil aku perlahan menutup pili air untuk meneliti bunyi yang datang.

Dam! Dam Dam! Bunyi itu datang dari ruang tamu.
HASAN / 167

“Eh mamat ni tak sabar sabar pula,” bisik hati lagi.

Aku masuk ke dalam bilik untuk salin pakaian.

Dam! Dam! Dam! Bunyi ketukan pintu hadapan lagi.

“Sekejap sekejap! Oi sabarlah, oi!” jerit aku sambil berjalan ke ruang tamu

Aku buka pintu. Tiada siapa, hanya kegelapan malam. Aku toleh semula berjalan menuju ke bilik. Dam! Dam! Dam! Perjalananku terencat apabila pintu diketuk lagi. Aku pergi semula, ke pintu dan buka. Namun tiada apa. Tiada siapa.

“Hoi Zam, kau jangan main-main. Keluar kau! Malam-malam buta ni jangan nak bikin onar!” jerit aku. Masih senyap. “Kalau kau nak main-main sangat, akukunci pintu. Aku nak layan FIFA sorang-sorang,” jerit aku. Aku sambung berjalan semula.

Dam! Dam! Bunyi ketukan lagi. Aku terus pusing dan buka pintu dengan sepantas kilat.

“Woiii!”

Terkejut!

“Kurang asam kau, Zam! Terkejut aku! Kau main-main eh,” bentak aku.

“Dahlah, kau tercegat apa situ? Masuklah,” ajak aku. Zam masuk ke rumah dan duduk di sofa. “OK, dah ready ke? Jom kita layan FIFA,” sambung aku.

“Kita lepak sajalah. Kepala peninglah,” balas Zam.

“Alah kau ni, potong stim betul,” balasku.

Aku pun duduk di sofa. Aku buka TV.

“Aku nak ke tandas kejap,” ujar Zam.

“Alah, itu pun nak tanya. Pergilah,” balasku.

Zam pun berlalu pergi. Aku masih sambung menonton TV. Agak lama. Hairan.

HASAN / 168
“Zam, kau berak batu ke apa lama sangat?” jerit aku.

Tiada respon. Aku sambung menonton semula.

“Eh lama betul ni. Kejadah apa dia buat lamalama dalam toilet tu,” bisik hati.

Aku pun bangun, terus berjalan menuju ke tandas. Tak ada orang.

“Mana pula si Zam ni,” bisik hati. Aku masuk ke bilik aku. Tiada orang. Aku keluar. Aku buka pintu bilik tamu.

“Lah sini kau rupanya. Kau OK ke tu? tanya aku sambil melihat Zam yang sedang terbaring. Zam tidak menjawab.

“Dah tidurlah tu, betul penat mamat ni,” bisik hati.

Lagi pun si zam ni memang dah selalu buat rumah aku ni macam rumah dia. Aku biarkan zam tidur di situ malam tu. Akukunci rumah, Tutup TV. Aku masuk tidur seperti biasa.

Keesokkan harinya, aku bangun pagi tu, aku jenguk bilik sebelah. Tiada siapa.

“Zam dah balik hospitallah tu pagi tadi,” bisik hati.

Selepas bersiap, aku pun pergi ke pintu untuk keluar. Aku cari kunci rumah.

“Eh mana pula aku letak ni? Selalu atas meja, ke si Zam ni keluar rumah lepas tu campakkunci merata?” bisik hati.

Puas aku cari. Aku masuk ke dalam bilik aku semula. Cari punya cari, tetap tak jumpa.

Namun, aku ternampak ada seluar malam tadi yang tergantung di belakang pintu. Aku capai seluar tadi, aku seluk poket.

“Eh, dalam seluar rupanya kunci ni,” bisik aku. Aku pun ambil dan keluar rumah.

Setibanya aku di salah sebuah gerai nasi dagang, aku pun makan sambil mata memerhatikan kunci rumah aku tadi.

“Malam tadi aku kunci pintu. Pagi-pagi Zam dah tak ada. Kunci ada dalam poket seluar. Hmm, macam mana si Zam ni keluar eh?” bisik hati yang runsing memikirkan.
HASAN / 169

“Ah mungkin aku lupa kunci kot. Aku je perasan macam aku kunci pintu,” bisik hati.

Setelah selesai bersarapan, aku memandu pulang ke rumah semula. Petang tu, aku keluar semula kononnya mencari air kelapa segar. Lagipun dah lama rasanya tak singgah di Air Papan. Rutin aku setiap hari dulu, lepas balik kerja saja, aku akan memandu ke Air Papan. Aku akan mandi laut dan minum air kelapa segar. Memang syok betul!

Aku pun memandu keluar. “Eh macam kenal je mamat dekat roundabout tu,” bisik hati. Aku pun terus memandu ke arah bulatan kecil Mering, Ternyata tepat sekali. Zam ada di situ sedang menunggang motosikalnya sebelum memasuki bulatan.

Aku buka tingkap. “Oi Zam, gi mana?” jerit aku.

“Bos! Sori bos. Oh saya nak balik rumah kejap ambik barang.”

Masa tu, trafik mula lancar, Zam harus terus menunggang. “Bos! Malam ni saya datang tau!” balas Zam terus berlalu pergi.

“Hah baguslah. Malam ni boleh layan FIFA,” bisik hati.

Aku pun pulang semula ke rumah sebelum maghrib. Macam biasa, menu malas. Aku masak Maggi dan duduk di hadapan TV sambil menunggu Zam. Lebih kurangjam 9 malam— Dam! Dam Dam! Kedengaran ketukan pintu. Aku bangun, aku buka, tiada siapa.

“Oi dah la tu, Zam!” jerit aku.

Tiada respon. Aku biarkan pintu terbuka. Aku duduk di hadapan TV semula— Dam! Dam! Dam! Aku terus toleh. Tiada siapa.

“Pelik ni. Aku dah buka pintu, siapa lagi yang ketuk?” bisik hati.

Aku bangun dan tutup pintu semula. Tak lama selepas tu— Dam! Dam! Dam! Bunyi ketukan pintu lagi. Aku buka pintu.

“Hoi! Kau ni memang tak ada kerja lain eh nak kacau aku?” jerit aku.

Zam senyum, masuk, dan Zam duduk di sofa sambil meletakkan satu bungkusan makanan di atas meja.

HASAN / 170
“Nanti makanlah sikit. Ada bawak lebih,” balas Zam senyum.

Kringgggg kringggggg! Telefon aku berdering dari dalam bilik.

“Zam, kau lepak jap tengok TV. Aku pergi jawap telefon kat bilik kejap. Kejap lagi kita layan FIFA!” balasku.

Aku bangun. dan masuk ke dalam bilik. Aku capai telefon, malangnya tak sempat untuk aku jawab panggilan itu. Aku buka telefon. Skrin paparan aku— “MISSED CALL ZAM”

“Eh, dah kenapa si budak Zam ni, Ter-call aku kot,” bisik hati.

Aku pun berjalan semula ke ruang tamu namun dari sudut itu aku sedang melihat Zam masih di situ sedang duduk kaku. Kring kring! Telefonku berdering lagi.

“Haih, si Zam ni ter-call lagi ke?” bisik hati. Aku sengaja menjawab telefon itu.

“Bos, ada mana? bos saya datang lewat sikit tau, nak pergi beli susu anak dulu,” ujar
Zam.

Dup dap dup dap! Darah mula naik ke kepala, panas tengkuk. Berderau darah. Denyutan nadi makin laju. Terbeliak mata aku dengar suara Zam dari dalam telefon itu. Aku di situ terpaku melihat kelibat Zam yang sama sedang duduk di sofa itu.

“Celaka! Aku kena jerat lagi!” bisik hati.

Cemas. Meremang. Goyah. Aku terpinga mencari jalan keluar. Panik semacam.

Aku berlari perlahan masuk ke dalam bilik sambil terkinja-kinja ke sana ke mari mencarikunci kereta. Mujur kunci keretaku ada di atas tilam.

Perlahan aku ambil kunci, Aku terus berlari ke arah lorong rumahku yang menggala ke pintu garaj di belakang. Cepat-cepat aku berlari, aku buka pintu. Menggelabah aku masuk ke dalam kereta.

Aku pandu keluar garaj. Sekali lagi aku tersentak apabila aku toleh ke kiri. Zam sedang tegak berdiri di hadapan pintu rumah aku. Senyum ke arah aku. Aku pijak pedal minyak. Terus memecut pergi meninggalkan kelibat itu di rumahku.

HASAN / 171
Bagaikan kena serangan jantung. Berpeluh, kebas satu badan. Kali ini aku dapat rasakan lain dari yang lain. Aku tahu mana hendakku tuju di saat genting ini. Tiada siapa lagi, selain En Samad

“Yes yes! En Samad, aku pegi rumah En Samadlah,” jerit aku.

Aku terus memandu ke rumah En Samad. Lewat malam, aku tiba di rumah En Samad.

Tok! Tok!

“En Samad! En Samad!” jerit aku.

“Ooo En Samad! Buka pintu!” jerit aku.

En Samad membuka pintu. Senyum menjemput aku.

“Jemput masuk. Kenapa kelam-kabut sangat ni?” ujar En Samad.

Aku pun terus masuk. Kami duduk di ruang tamu.

“En Samad, saya dari rumah, saya balik dari KL sejak 2 hari lepas. Kebetulan sebab Hasan dah balik, saya jumpa dia di wad hari itu. Panjang cerita. Lama tak jumpa. En Samad apa khabar?” balasku.

“Baik-baik sahaja,” senyum En Samad.

“En Samad, Tokwan mana? Tokwan dah OK ke?” tanyaku.

“Kamu pergi berehat dululah. Dah lewat malam ni. Esok pagi kita borak panjang, ya?” balas En Samad.

“Maaflah, kacau malam-malam ni, ya. Nasib baik En Samad tak tidur lagi. Ikutkan tak nak kacau En Samad. Seganlah saya, tapi saya rasa nak menumpang rumah En Samad. Esok saya cerita panjang,” balasku.

“Tak ada apalah. Baru nak tidur. Rehatlah dulu,” balas En Samad.

Aku pun masuk ke dalam bilik. Dalam keadaan baju tak bertukar. Nak mandi pun seram. Aku terus merebahkan badan di atas katil. Badan terlalu letih, tak mampu lagi untuk berfikir apaapa. Aku hanya merenung atap, kipas yang berpusing perlahan.
HASAN / 172

Aku menoleh ke arah dinding, tak sanggup lagi menoleh ke arah almari tu. Aku lelapkan mata. Tak lama selepas tu, jelak mata bagai dikejutkan. Pintu bilik aku sedikit terbuka. Cahaya dari luar yang masuk. Biasannya menyucuk mata, menggangu tidurku. Aku pun bangun.

“Aduh, pintu ni tak tutup rapat,” kata aku sambil berjalan menutup pintu.

Di kala aku sedang menutup pintu itu. Aku terdengar sesuatu yang aneh dari bilik En Samad. Satu bacaan yang pelik dari segi lenggok bahasa dan alunannya. Aku keluar dari bilik untuk menjenguk. Jelas suara itu datangnya dari bilik En Samad.

“Hish, En Samad buat apa ni?” bisik hati. “Takkan aku nak mengintai kot. Hish tak eloklah.”

Pintu bilik En Samad terbuka sedikit, ia membuatkan aku gundah-gulana. 1000 tanda tanya terngiang difikiran. Semangat ingin tahu makin berkobar-kobar.

Bunyi bacaan tadi lebih jelas dan nyaring. Aku tak mampu menangkap lenggok bahasanya. Yang pasti bukan Bahasa Melayu. atau bacaan al-Quran. Aku pasti. Apa yang membuatkan aku lebih ingin tahu adalah bau bauan asap yang mula menusuk ke dalam rongga hidungku.

Aku tak mampu mengawal benak fikiran. Aku ingin tahu. Bukaan celahan pintu bilik En Samad seolah-olah memujuk dan mengundang aku untuk mengintai. Aku tahu perbuatan ini salah, namun aku tak dapat mengawal nafsu ingin tahu.

Aku mengintai bilik En Samad. Alangkah terkejutnya aku pada waktu itu. Bagaikan tidak percaya apa yang sedang aku lihat. Aku merapatkan kedua belah tapak tangan lalu aku menekap mulut apabila melihat kelibat En Samad yang duduk bersila sambil mengangguk, membaca sesuatu yang aku tidak dapat fahami, bersama beberapa tepak piring di hadapannya bersama kemenyan yang terbakar dan berasap. Ayam hitam yang mati disisinya.

“En Samad, siapa kau?” bisik hati sambil menggigil seluruh tubuhku.

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.