HASAN PART 15

BAB 15
TOK WAN

Malam tu, aku masih lagi di rumah En Samad.

“En Samad, esok pagi saya pergi ke Johor Bahru . Lepas tu saya balik rumah saya teruslah,” aku membuka topik perbualan.

Raut wajah En Samad berkerut bagaikan sesuatu yang disembunyikan.

“En Samad, dengar tak ni?” sentak aku lagi.

“Alah doktor, lepas balik dari Johor Bahru, doktor datang rumah saya jelah. Saya pun boring. Puan Aini seminggu kerja malam,” balas En Samad senyum simpul.

“Seganlah, En Samad. Makan minum tidur sini, peliklah lama-lama,” kata aku kepada En Samad.

“Hmm macam nilah, doktor. Memandangkan doktor berkeras, saya berterus terang,” kata En Samad.

“Malam saya ke rumah doktor tu, ingat lagi tak? Selepas pulang dari makan malam di gerai Astro, waktu tu saya nak pergi ambil air,” kata En Samad.

“Ya, ingat. Kenapa?” balasku.

En Samad mula bercerita, “Malam tu. saya berjalan ke dapur untuk ambil air. Saya ambil cawan di tepi sinki. Kemudian saya ke peti ais di sebelah. Masa tu saya nampak sesuatu di cermin dapur. Kelibat hitam yang kemudiannya tiba-tiba hilang.

“Saya agak mungkin bayang-bayang sahaja. kemudian saya terdengar— Krekkk! Pintu garaj doktor terbuka. Saya pun perlahan pergi mengintai. Dari belakang, saling tak tumpah. Saya nampak bagaikan doktor sendiri yang berdiri dan berjalan ke arah garaj kereta.

“Saya pun ikut dari belakang, Waktu tu saya tak sempat jenguk ke ruang tamu. Saya terus berjalan ke pintu. Doktor toleh ke balakang dan terus berjalan. Saya pun ikut sama. Saya tanya ‘Doktor, pegi mana tu?’ tapi tak diendahkan.

HASAN / 128
“Saya buka pintu garaj lebih luas dan masuk ke dalam garaj. Saya pun pelik apa doktor buat gelap-gelap dalam garaj tu. Dalam gelap malam tu, saya nampak kelibat doktor di belakang kereta. Saya panggil ‘doktor cari apa tu?’

“Kemudian di balas‘mari sini’ suara yang agak pelik, lebih garau. Mungkin saya tersilap dengar. Saya pun berjalan perlahan ke belakang kereta tapi doktor tak ada. Saya mula pelik, masakan pantas doktor hilang sedangkan baru sahaja dengar suara.

“Saya mula rasa tak sedap hati . Cepat-cepat saya ke pintu, mencari suis lampu. Dalam pada tu, saya nampak doktor berdiri di hadapan saya. Memeluk kerangka abdomen bagaikan mahu mula muntah— Rahhhhh! Rahhhh!

“Klik! Saya nyalakan suis. Berkelip kelip lampu cuba menyala. Sementara lampu berkelip untuk menyala sepenuhnya, pada waktu itulah dalam keadaan samar-samar wajah doktor tadi bertukar jadi nenek tua. Kerut kedutan kasar, rambut panjang mengurai, pandang ke bawah, bertongkat.

“Perlahan dia mendongak senyum ke arah saya. Sebaik sahaja lampu meniyalah penuh hilang kelibat tadi. Saya terus lari ke dalam. Rupanya saya dipermainkan, tapi…,” panjang cerita En Samad.

“Tapi apa?” balasku.

“Sepatutnya, Tokwan dah berjaya kurungkan dia,” balas En Samad.

Masa tu aku bagaikan di alam perantara yang aku sendiri mula tidak kenal. Hidupku berkongsi dengan alam nyata dan ghaib. Ianya bagaikan aku berdiri di sempadan antara dua alam. Namun aku masih menganggapnya mimpi kerana masih banyak tanda tanya yang tak mampu dijawab dek akal yang logik.

“Tokwan mana?” balasku.

En Samad berkerut lagi. Menghembus nafas panjang lalu menyambung cerita.

“Malam itu, saya dan Haji Awang bawa Tokwan pulang bersama doktor. Kami silap. Kami terlampau gopoh,” balas En Samad.

“Sebenarnya, Tokwan dan doktor pada masa itu bukanlah jasad yang zahir. Ianya hanyalah satu permainan. Kami sebenarnya dah tinggalkan doktor dan Tokwan di situ. Kesilapan besar yang kami dah lakukan.
HASAN / 129

“Kelibat itu telah menghaibkan kewujudan doktor dan Tokwan untuk mengumpan kami hingga terjerat. Akhirnya, kelibat itu dah tahu di mana rumah Tokwan. Ianya tak selamat lagi buat Tokwan.

“Sejurus kami pulang ke kereta, doktor dah tiada lagi di situ. Kami toleh ke belakang. Begitu juga dengan Tokwan. Ghaib. Hanya tinggal abu api sahaja di atas katil. Saya dan Haji Awang sepantas kilat terus memandu semula balik ke tempat asal.

“Setibanya kami di sana, ibarat ribut halilintar yang dahsyat. Tempat itu bagaikan paya liar yang tak pernah diteroka. Bulan mengambang merah. Kami naik ke atas rumah. Alangkah lega, doktor sebenarnya masih di situ terbaring.

“Tokwan tidak ada di situ. Kami dengar sebutan bahasa pusaka datangnya dari pintu belakang. Saya pergi mengintai. Haji Awang duduk bersama doktor. Tokwan pula rupanya di belakang dapur sedang bertempur,” kata En Samad.

“Saya pun pertama kali lihat tempat sebegitu rupa. Kemudian dalam pada tu, Tokwan toleh ke arah saya. ‘Cepat! Bawa doktor pulang! Jangan sedarkan di sini!. Haji Awang kamu tolong En Samad masukkan doktor ke dalam kereta, tapi selepas tu kamu tinggal di sini bersama aku’ kata Tokwan.

“Saya pun terus memandu bawa doktor pulang. Tak lama lepas tu, dalam perjalanan yang aneh, kereta makin lama makin berat. Akhirnya berhenti di tepi hutan. Saya dah tak tahu nak buat apa, menggigil satu badan. Namun saya terpaksa beranikan diri.

“Saya keluar untuk periksa. Saya pun berjalan ke hadapan, buka hud sambil mengintai kiri dan kanan. Semasa hud kereta sedang terbuka, saya pergilah ke kiri sedikit, nak intai jika masa tu doktor dah sedar atau belum. Rupa rupanya kabel bateri sahaja tercabut. Mungkin jalan agak teruk dan bergoyang.

“Lepas je saya pasang semula, saya tutup hud kereta. Jelas terpampang wajah doktor di cermin hadapan. Doktor dah terjaga. Mata terbeliak pandang arah saya. Perlahan, doktor menjengket ke hadapan merenung tajam ke arah saya sambil mata terbeliak. Darah meleleh keluar dari mulut.

“Saya panik dalam ketakutan. Nak pergi tengok, takut. Saya undur ke belakang, tiba-tiba bagaikan ada sesuatu di belakang saya. Kemudian ia menepuk bahu saya, sambil mendengus di telinga, “Rahhhhhh…rahhhhhh!”

HASAN / 130
“Saya toleh ke belakang tapi apa yang saya ingat bila saya hanya dikejutkan oleh Tokwan. Saya tak ingat apa jadi mahupun rupa kelibat di belakang saya. Tokwan bangunkan saya semula. ‘En Samad, kamu OK, kan? Bawa mengucap. Dah dah dah! Kamu pandu kereta cepat. Bawa doktor keluar,’ kata Tokwan.

Saya pandang ke dalam kereta. Doktor sebenarnya masih lagi dalam tak sedar, kepala baring ke tingkap kereta. ‘Samad, aku dan Haji Awang dah usir mereka. Ada satu yang susah sedikit. Aku dah kurung dalam simpanan aku. Haji Awang dah cerita semuanya tadi. Aku tak boleh pulang ke rumah. Haji Awang perlu hantar aku ke suatu tempat yang lain. Jika ada apaapa, kamu berhubung dengan Haji Awang saja, ya,’ kata Tokwan.

“Saya masa tu tarik nafas lega. Saya pun pandu ke rumah doktor, letak doktor di sofa dan percikkan air pada muka. Saya panggil dressar check, semuanya OK. Tak lama lepas tu doktor dah bangun semula.

“Tapi hairannya selepas saya hantar doktor pulang, saya di permainkan lagi di garaj tu. Saya pelik, kata Tokwan semuanya dah dikurung. Masa doktor tidur malam tu. Saya ada hubungi Haji Awang. Kata Haji Awang, ‘susah nak terangkan.’

“Haji Awang masih menguruskan Tokwan. Tokwan jatuh sakit, selepas pulang dari kes malam itu. Tokwan mula muntah darah. ‘Nanti dah selesai, aku ceritakan. Pastikan doktor tinggal dengan kamu ya’ itu saja ayat terakhir dari Haji Awang.

“Semalam saya ada SMS dia, katanya nanti dah selesai baru dia panggil jumpa. Tapi yang terbaru, Tokwan kini pula dalam rawatan. Muntah darah tak berhenti. Tokwan tak mahu ke hospital. Haji Awang sedang ikhtiar cara lain,” balas En Samad.

Aku rasa amat serba salah kerana telah melibatkan orang lain. Aku amat terhutang budi.

“Bawa saya jumpa Tokwan. Biar saya periksa,” balasku.

“Tak boleh! Haji Awang dah pesan. Kita tak boleh pergi ke tempat baru mereka. Takut masih ada yang lain masih mengikut,” kata En Samad.

Sejenak aku termenung, masih memikirkan apakah kaitan aku dengan si dia. Aku lihat En Samad yang memandang ke bawah berkerut muka memikirkan sesuatu.

“Ikutkan hati, saya nak ke Johor Bahru hari ni. Badan tak sedap, jadi saya pergi esoklah,” aku cuba mengalih topik.

HASAN / 131
“Dah lama tak jumpa Hasan. Apa khabar berita dia? En Samad rasa, ada kaitan dengan Hasan ke atau ada di sebaliknya?” tanyaku.

“Saya nak cakap pun susah. Hasan tu dahlah sakit. Benda ni pun saya pelik. Mulanya mungkin sebab pohon tu dah ditebang tapi dari sudut lain macam ada kaitan dengan Hasan. saya pun bingung,” kata En Samad.

“Tak apalah, nanti saya cuba dapatkan jawapan. Kita tidur dulu. Saya dah telan dua biji ubat selsema. Betul-betul mengantuk dah ni,” balasku.

Lena. Malam itu bagaikan tenang, namun dalam lena itu tup tup aku tersedar dalam lena. Aku bagaikan di tepi jalan. Sunyi sepi. Tiada sempadan, tiada penghujung. Kabus kiri dan kanan.

Aku lihat ada sesuatu di hadapan jalan, bertentangan denganku. Meniti bongkok tua. Nenek tua yang berdiri bagaikan seperti dalam mimpi yang sebelum ini. Kemudiannya menghilang begitu sahaja dalam ketebalan kabus malam.

Mimpi malam tu membuatkan ketenangan aku dirobek. Apakah motif kewujudan nenek itu? Di markas, di garaj rumah, di dalam mimpi, dan kenapa pula ada kelibat lain, pendua Hasan? Apa kaitannya semua ini?

Namun pada aku ianya hanya mainan mimpi. Mungkin paranoid aku ni mengeruhkan lagi keadaan. Namun aku dapat rasakan, bagai aku mengenali susuk nenek itu. Keesokan harinya selepas subuh, selepas bersarapan…

“En Samad, saya ke Johor Bahru dulu ya! Nanti petang saya balik,” kata aku.

“Nanti balik terus ke sini, ya. Ingat pesanan Haji Awang,” kata En Samad.

“Baiklah, dapat makan free, ye dak?” balas aku memecah suasana tegang.

“Ni duit RM200. En Samad pergilah beli barang dapur. Takkan saya nak makan free. Jangan risau, ambil saja,” balasku.

Aku pun meneruskan perjalanan ke Johor Bahru. Lama juga aku ambil cuti lebih. Kasihan pula pada rakan doktor yang kena berhempas pulas kerana tak cukup seorang doktor. Lebih kurang jam 11 pagi akhirnya aku sampai di Johor Bahru. Aku terus naik ke ICU. Hasan tiada tempat asalnya.

HASAN / 132
“Salam kak, saya doktor dari Mering. Nak tanya, Hasan mana? Yang katil hujung tu” tanyaku.

“Oh kami dah pindahkan dia ke wad biasa. Sekarang Hasan bernafas guna venti mask sahaja. Dia dipantau di wad,” balas misi tadi sambil meneguk air liur.

“Doktor rapat ke dengan pesakit tu sampai sanggup datang sini?” tanya misi tadi.

“Iyalah, Hasan tu pesakit kronik. Berbulan lamanya dalam wad saya, dah macam kawan. Hasan dah sedar, kan?” aku tanya lagi.

“Ya dia dah sedar sedikit, tapi GCS (Glasgow coma scale) masih rendah. Antara sedar tak sedar. Cakap pun masih kurang siuman. Orientasi pun masih keliru. kadang-kadang OK, kadang tak,” balas misi tadi.

Lega, aku boleh cuba berkomunikasi dengan Hasan walaupun dia masih belum pulih sepenuhnya. Mungkin aku boleh cuba.

“Dia balik wad lama dia, kan?” balas aku cuba untuk memastikan.

“A’ah wad lama dia. Doktor pergilah, dia ada di atas,” kata misi tadi.

Aku pun terus pergi. Aku keluar dari ICU. Aku berjalan perlahan ke arah tangga, namun. di hujung tangga sana, bayangan jasad bagaikan ada seorang yang sedang berdiri, rebah ke dinding. Aku tak endahkan. Aku paranoid. Yang penting, aku nak jumpa Hasan.

Aku teruskan berjalan perlahan, namun kelibat lelaki tadi memang membuatkan fokus aku terpaku padanya. Aku jalan 3 tapak, dia jalan 3 tapak ke arah aku.

Aku berhenti, dia berhenti.

Aku berjalan lagi, dia turut berjalan.

Aku berhenti, dia turut berhenti.

“Ishh apa pula ni?” bisik hati.

Aku patah balik jalan ke belakang. Aku rasa tak selesa. Mana mungkin orang biasa buat macam tu. Aku jalan semula ke arah ICU. Aku toleh ke belakang, mengintai. Lelaki itu tiada. Kosong.
HASAN / 133

Tap!— sentuhan di lengan. Aku tersentak, tercungap.

“Doktor, jalan arah sanalah. Naik dua tingkat dekat tangga depan tu,” sapaan misi tadi.

Fuh! Berderau darah, rebah denyutan jantung.

“Oh, OK OK. Tangga tu, ya?” berpeluh bagaikan lepas marathon.

“Saya nak turun beli makan,” kata misi tadi.

Aku pun berjalan semula ke arah tangga naik ke wad. Aku masuk wad lama Hasan ssambil mengintai sekeliling. Paranoid terukkah aku?

“Hasan dari ICU katil mana, ya?” tanya aku di kaunter misi.

“Oh, Hasan ada tu di kubikel akut nombor 2,” balas misi tadi.

Aku pun berjalan ke kubikel tu. Hasan masih terbaring lemah dan longlai, dengan venti mask oxygennya, tiub IV drip kiri dan kanan. Tiub makanan yang keluar dari hidung, tiub kencing lagi di sisi katil.

Sebak hati. Makin kurus, bagaikan jasad bertulang masih bernyawa. Aku pun panggil
misi.

“Kak Hasan ni vital sign, blood investigation semua OK ke?” tanyaku.

“Kalau ikutkan doktor, pelik juga tau. Tekanan darah, 60/40 saja, susah nak naik. IV drip dah banyak juga pakar kasi. Oksigen level pun bawah 90% sahaja tapi tak tachypnic (tak sesak dada) sangat. Blood sugar, bawah 3 je. Bahagian nutrisi pun dah pening. Macam-macam cara, susu formula semua dah kira betul, tapi tahap tu saja gula dia.

“ECG jantung pula, ritma yang pelik, yang bukan bukan. Dah refer kardio. Kardio pun pening baca ECG dia. Kalau ABG pula, memang sangat acidic, memang tak cantik lansung.

“X-ray paru-paru putih semua. Pneumocystis carinii (jangkitan kulat pada paru-paru) je semua. Cumanya kencing sahaja dah tak berdarah. Berak pun cair, tak berdarah. Pakar pun pening kepala. Mungkin lagi 2-3 hari nak hantar pulang semula ke Mering kata pakar pagi tadi,” balas misi tadi yang memberi semua maklumat.

HASAN / 134
“Kalau bacaan macam ni, memang tak cantik. Susah juga aku rawat nanti tapi betullah kata pakar, dengan keadaan Hasan yang ada HIV lagi, apa lagi yang mampu mereka buat? Cukuplah dapat meringankan seksaan Hasan pun dah cukup,” bisik hati.

Kedua dua paru-paru habis kena jangkitan P. carinii. Jangkitan kulat ni untuk manusia normal, memang sukar untuk dapat. Tapi untuk pesakit HIV, memang sangat biasa. Disebabkan ketahanan antibodi yang sangat lemah. Tak apalah, aku akan cuba jaga Hasan sebaik mungkin, sampai hujung nyawanya. Aku pun duduk di tepi.

“Hasan… Hasan… Dr. Yazeed ni,” aku bisik.

Aku pegang tangan sejuknya. Aku bisik lagi.

“Hasan… Hasan… kalau dengar, genggam jari saya. Kalau dengar buka mata,” aku bisik
lagi.

Sejenak, aku rasa jari aku digenggam perlahan.

“Hasannnn, aku ni. Jangan takut!” bisik aku lagi.

Perlahan Hasan toleh ke arah aku. Matanya terbeliak. Badan kejang, menganjak ke belakang. Hasan menggenggam kuat jari-jemari aku!

TEETTTTTT! Tettttt! Suara yang datangnya dari cardiac monitor.

FLAT LINE! (GARISAN LURUS!)

Asystole! (tiada aktiviti jantung / berhenti berdegup)

Namun, matanya masih terbeliak, tangan masih menggengam kuat jari aku.

“MISI! come now! Patient Collapse. Asystole! Call doktor on-call!” aku menjerit sambil aku memandang ke arah Hasan.

Aku terpaksa periksa secara manual. Aku periksa pulsa karotid arterinya, namun tiada apa. tiada pulsa. Aku letakkan telinga aku pada dadanya, menyereng… sepenuh perhatian peka pada denyutan. Tiada degupan jantung! Kosong! Sunyi dan sepi.

Namun, semasa posisi kepala aku didadanya, bagaikan ada sesuatu di kepala aku. Bagaikan diusap-usap rambut kepalaku. Ianya tangan Hasan yang membelai.
HASAN / 135

Aku bingkas bangun dari posisi. Tergamam aku dengan situasi. Perlahan aku mengambil langkah ke belakang. Aku lihat Hasan. Dalam keadaan tiada degupan jantung, matanya yang masih terbeliak, tangannya diangkat separa, menuding jari ke arah aku.

Merenung.

Teeett… tett! teeeeeeeeeeeetttt!

CPR! CPR!

Advertisements

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.