HASAN PART 12

BAB 12
TENTERA NERAKA

Hanya AKU SEORANG dalam keadaan terbaring, dengan kain batik yang menutupi separuh badanku bagaikan diselimutkan.

Pantas aku bangun dan lihat sekeliling. Rumah makin usang, langsir putih penuh darah melambai-lambai ditiup angin. Rekahan dinding kayu yang usang dimakan usia. Rumah usang tadi hanya dikelilingi dengan beberapa pelita karat yang menyala, yang memberikan sedikit biasan cahaya pada rumah itu.

Aku seret badan ke belakang mencari ruang untuk duduk di hujung sudut. Seram bukan kepalang!

Nun dari hujung sudut, aku nampak pintu depan terbuka. Perlahan aku bangun menuju ke pintu utama. Aku berjalan sambil tangan meniti permukaan diding kayu, sehinggalah sampai di tingkap disebelahku.

Aku intai di luar. Aku lihat bagaikan rumah tadi dikellilingi air. terang cahaya bulan membuatkan penglihatan lebih jelas sedikit.

“Haji Awang! Encik Samad! Tokwann! Mana kalian ni?” aku jerit sambil muka berpusing tiada arah, mata terkebil mencari kebenaran.

Aku jerit nama mereka lagi, namun masih aku seorang. Denyutan bunyi nyaring menyakitkan kedua belah telingaku. Bingung. Aku teruskan berjalan pergi ke pintu utama untuk mencari jawapn yang lebih tepat.

Bagaikan terkedu, badan aku rebah ke pintu utama, apabila aku tak dapat percaya apa yang aku sedang lihat. Kereta aku tak ada. Tiada apa-apa melainkan hanya aku dan rumah usang tadi yang dikelilingi takungan air paya. Hutan paya yang gelap.

Hutan paya yang aku tak pernah lihat. Semuanya pokok berdahan tidak berdaun. Akarakar pokok paya yang berselirat, tumbuh keluar dari permukaan tanah, kiri kanan depan belakang.

“Ini gila! Aku kat mana ni?” aku bingung.

HASAN / 87
Masih jelas gambaran situasi itu hingga ke hari ini, tapi aku makin pelik bila ada satu pokok kemboja berbunga di hadapan rumah usang tadi. Pokok lainnya semua pokok paya tak berdaun.

Malam menjadi lebih terang, bulan mengambang merah bagaikan aturan matahari yang garang. Suasana itu memberi aku satu pengalaman dahsyat di suatu tempat asing yang aku belum pernah lihat. Tempat yang di luar imaginasi aku.

Aku anggapkan ianya bak rupa “NERAKA!”

Semuanya usang, semuanya reput. Hidup bagaikan tak bernyawa. Air paya hitam bersama refleksi terang merah bulan menjadikan segala suasana umpama hari setelah kiamat. Aku pusing, meracau melihat keadaan sekeliling.

“Aku dah mati ke ni? Aku kat mana ni sebenarnya? Mana jalan keluar?” bisik hati, dan pada detik itu aku terlihat satu kelibat di sebalik pohon kemboja tadi.

Aku renung setajam tajamnya.

“Macam En Samad je ni,” detik hhati sambil tersengguk-senguk mengintai.

“En Samad!” aku jerit sambil aku lari turun dari tangga.

Aku terus lari ke arah pohon kemboja tadi, tidak berkasut. Disebabkan perasaan takut yang amat sangat, aku berlari tanpa hiraukan apa-apa disekeliling. Yang pasti aku mahu cepat sampai ke En Samad.

“En Samad! En Samad! Tunggu!”

Percaturan yang kurang baik.

Gedebak! Aku jatuh tersadung akar pokok paya yang berselirat di sekeliling aku.

“Aduh! Sakit! En Samad tolong!” aku jerit.

En Samad masih diri di situ pegun. Aku duduk semula, aku lihat kakiku yang bengkak tersadung sambil mengurut perlahan. Aku bangun terjengket-jengket, berjalan melepasi pohon kemboja.

HASAN / 88
Semasa aku sedang berjengket, aku toleh ke hadapan, En Samad tiada di situ. Aku hanya mahu pulang. Aku hanya mahu hidup seperti biasa. Aku berdiri pegun di suatu tempat yang aku gambarkan seperti NERAKA.

Namun… seketika… perhatian aku mula dicuri oleh renungan mata merah. Bukan satu, tapi rami, bak satu batalion tentera di celahan bangkai pohon paya memandang ke arah aku.

Di hadapan, di belakang, kiri kanan aku dikelilingi.

Kemana harus aku pergi?

Aku cuba nak pura-pura pengsan, tapi tak berjaya kerana degupan jantung yang laju menyegarkan pancaindera.

“Inikah neraka?” tanya hati.

“atau… di sinikah dunia iblis jin dan syaitan?”

Aku masih lagi terperangkap. Tiada suara cengkerik, tiada bunyi kersikkan hutan. Senyap, sunyi dan sepi. Cahaya merah terang bulan membuatkan aku bingung. Kenapa aku terkandas di sini?

Sekali lagi ada sesuatu yang mencuri perhatian. Seorang nenek tua yang bongkok, nun dari hujung sedang berjalan ke arah aku. Rambutnya terurai panjang mencecah tanah, tidak bermuka, bertongkat kayu yang pendek, serta berpakaian serba putih dan kotor.

Aku lari! Lari semula naik ke rumah.

Dari atas rumah, aku dapat perhatikan kelibat nenek tua tadi berjalan perlahan-lahan dan kali ini lebih dahsyat kerana mata mata merah yang aku nampak tadi, bagaikan satu barisan angkatan tentera yang berbaris rapat, keluar dari celahan pokok paya, berjalan sama di belakang kelibat nenek itu.

Bagaikan satu batalion tentera yang sedang bergerak di belakang pemimpinnya.

“Mana aku nak lari?” aku meracau, meroyan pusing ke kawasan rumah kalau-kalau dapat mencari sesuatu yang dapat membantu.

Namun tiada apa-apa melainkan aku serorang diri dan Maha Pencipta.

HASAN / 89
Aku tak dapat bacakan satu pun ayat masa tu. Dunia aku gelap, kelam dan jahil.

Aku pergi ke pintu utama semula. aku intai dari dalam. Mereka semakin hampir. Sah, aku berada di alam mereka. Patutlah kaum mereka ini dilaknat oleh Tuhan. Alam mereka tidak bernyawa, semuanya bagaikan bangkai, pohon reput mati, air paya hitam busuk, cahaya biasan yang merah.

Alam yang penuh dengan kezaliman, dunia mati, dunia yang diabaikan. Alam mereka, alam NERAKA.

Kelibat nenek tadi akhirnya muncul di hadapan rumah, diiring lagi dengan tentera nerakanya. Kelibat nenek tadi melambai tangan memangil aku turun ke bawah.

“Kau siapa? Kau nak apa? Aku takkan turun. Jangan kacau aku!” Aku jerit kemudian aku terus lari ke belakang rumah, bersembunyi di bahagian dapur.

Mengigil basah kuyup. Tak lama selepas tu, aku intai. Senak dada, jatung bagaikan tak mampu berdenyut laju lagi apabila kelibat nenek tua tak bermuka tadi bersama tentera nerakanya sudah ada di dalam rumah.

Tanpa berfikir panjang. Aku lari ke tingkap belakang. Aku terjun!

Aku tak pasti apa yang ada di bawah, namun selepas mendarat, aku tenggelam semakin lama makin dalam. Aku rasa badanku sangat kaku, aku tak mampu berenang. Aku hanya mampu menahan nafas. 4 anggota tangan kaki lumpuh. Aku berada takuang air paya!

Semakin lama aku semakin hanyut ke dalam.

Badan lemah longlai. Akhirnya aku tutup mata, dan membiarkan jasadku pergi begitu sahaja kerana kudrat yang ada tak bermaya, tak mampu lagi.

Tiba-tiba, aku rasa bagaikan ada sesuatu di muka, sakitnya dada! Rupa-rupannya, muka aku dipercik air, dadaku ditekan. Tersentak aku bangun bagai tak percaya.

Muka En Samad di hadapanku, mulut berbicara, tapi satu patah pun aku tak dengar.

Teettttttt! Bunyi nyaring di kedua-belah telinga, bingit, menyakitkan kepala, pandangan kabur. Aku rasa sakit di pipi aku ditampar oleh En Samad berkali-kali.

Pendengaranku kembali pulih. Mata lebih jelas.
HASAN / 90

Aku bangun bagaikan kena sawan. Aku dipegang kuat oleh En Samad.

”Allahuakbar! Sabar sabar! Mengucap! Mengucap!” kat En Samad.

“Aku kat mana?” aku jerit sekuat hati.

Aku pusing keliling. Aku kenal tempat ini. Aku di rumahku sebenarnya.

“Mengucap, mengucap,” deras desakan En Samad yang cuba tenangkan keadaan. Aku ditemani En Samad yang duduk di tepi sofa.

“Kau, nama siapa? Kamu dekat mana ni?” tanya En Samad.

“Saya Yazeed. Saya kat rumah saya kan ni?” balasku.

En Samad senyum semula. Mukanya penuh kesyukuran.

“Syukurlah doktor, awak OK. Awak pengsan tadi di markas Haji Awang,” kata En Samad.

Sambil picit kepala, aku lihat keliling. Hari sudah siang.

“Lama ke saya pengsan? Rasa kepala sakit sangat ni. Berdenyut. Badan pun lemah je rasa ni,” balasku.

“Boleh tahan lama, saya dan Haji Awang angkat awak masuk dalam kereta,” balas En Samad.

“Mana Haji Awang dan Tokwan?” tanyaku.

Muka En Samad berubah pucat, seperti merahsiakan sesuatu.

“Haji Awang dah pulang tadi dengan Tokwan. Eh, awak rehatlah dulu. Nanti saya pergi hospital, ambik Paracetamol. Awak baring dulu rehat,” kata En Samad.

Aku rasa bagai ada sesuatu di dalam kocek baju.

Aku keluarkan di tapak tangan aku.

HASAN / 91
Sekuntum bunga kemboja yang layu.

Aku lunjurkan tangan pada En Samad.

“Cuba tengok ni, mana datang bunga kemboja ni?” tanyaku.

En Samad berpaling. Mukanya resah.

“Tak pastilah dari mana datangnya. Mungkin doktor ada lalu mana-mana, bunga tu jatuh masuk dalam kocek kot!” kata En Samad.

“Apa sebenar terjadi ni En Samad? Saya bingunglah. Kenapa saya pengsan pula ni?” tanyaku.

“Nanti saya ceritakan. Tadi saya panggil seorang budak dressar datang sini, check darah, tekanan darah semua. Semuanya baik-baik sahaja,” kata En Samad.

“Doktor jangan risau. Nanti kita borak lagi. Doktor rehat dulu, saya pergi hospital sekejap nak ambil ubat. Nanti saya hantar,” kata En Samad dan berlalu pergi.

Aku bingung, letih dan pening.

Sakit kepala yang amat sangat.

Tekak kering, kehausan.

Aku bangun untuk ke dapur. Disaat aku mahu mulakan perjalanan, “Aduh sakitnya!” aku menjerit. Tatkala aku mula memijak dan berjalan dengan kaki kananku, sakit yang datang bukan kepalang. Aku duduk semula.

Aku angkat kaki kanan, aku pegang, aku teliti. Kaki aku merah, bengkak dan bagaikan ada calar yang panjang.

Memori malam tadi datang semula dalam fikiran. Apa yang cuba disorokkan oleh En Samad ni? Ke manakah aku semalam? Apa yang terjadi sebenarnya. Adakah aku memang berada di tempat semalam? Kenapa aku pengsan dan sedar di rumah? Siapa kelibat nenek itu?

Aku tak sabar nak dengar penjelasan En Samad

Tak lama kemudian En Samad sampai ke rumah. Dia hanya letakkan ubat diatas meja.
HASAN / 92

“Nah, doktor makan ubat dulu, ya. Saya ada hal penting ni,” kata En Samad dan berlalu pergi dengan motorsikalnya. Aku makan ubat, dan terlelap di atas sofa. Pintu pun tak sempat tutup rapat.

Beberapa lama selepas tu, aku rasa badanku digoncang. Bahu digoyangkan ke hadapan dan ke belakang

“Ish apa pula lagi ni?” aku buka mataku kecil.

“Doktor, bangun. dah nak maghrib ni!” kata En Samad.

“Kita solat sama-sama,” kata En Samad lagi.

Aku pun bangun perlahan-lahan, terhincut-hincut pergi ke tandas.

“Kenapa kaki tu?” tanya En Samad.

“Tak pastilah. Pelik. Tiba-tiba sakit, bengkak, merah danlebam bahagaian atas ni,” aku balas lalu terus masuk ke bilik air mandi dan bersiap.

Kami solat bersama-sama dirumah malam tu. Bagus En Samad ni, dah macam ayah aku.

“Jom, kita keluar makan. Seharian doktor tak makan. Dari pagi tadi sampai ke petang tidur,” kata En Samad. Mungkin En Samad rasa bersalah sebab ini semua disebabkan cadangannya.

“Doktor nak makan di mana?” tanya En Samad.

“Macam biasalah, kita pergi Astrolah,” balasku.

Kami pun pergi ke gerai kegemaran aku— Gerai Nasi Goreng Astro “macam-macam
ada.”

Boleh kata setiap minggu aku makan di sini. Sedap tak terkata Nasi Goreng Astro ni. Macam-macam menu nasi goreng ada. Aku dah cuba satu persatu dan ulanginya semula.

Aku makan dengan agak lahap, En Samad perhati dan senyum sahaja.

HASAN / 93
“En Samad, saya nak tanya ni. Apa jadi sebenarnya? Saya rasa macam ada dekat neraka semalam,” ujar aku.

“Panjang juga cerita ni doktor… saya pendekkan je la, ya?”

“Ingat tak waktu Tokwan kata ‘jangan pandang’ tapi doktor tetap pandang? Lepas tu doktor terus tumbang di hadapan Tokwan. Saya dan Haji Awang pun seram masa tu. Kami mahu berganjak untuk bangun lihat doktor, tapi…

“…tiba-tiba Tokwan tercampak jauh, hingga ke pintu depan, dan kemudiannya gelongsor jatuh ke bawah, terseret ikut anak tangga,” jelas En Samad.

Aku terbeliak biji mata, bagai tak percaya, macam dalam filem!

“Tokwan ada mana sekarang, dia ok ke? apa jadi lepas tu,” aku tanya lagi

“Lepas tu saya dan Haji Awang terus bangun berlari turun dari rumah untuk lihat Tokwan. Tokwan terbaring di atas tangga, pengsan. Kami pun angkat Tokwan masuk ke dalam kereta. Lepas tu kami patah balik ke rumah nak ambil doktor, tapi waktu tu doktor sedang berdiri di pintu rumah…

“Saya jerit, doktor tak hiraukan, berdiri kaku di depan pintu. Saya toleh pandang Haji Awang, Haji Awang toleh pandang saya. Kami pandang semula ke rumah itu, doktor dah tak ada lagi di pintu…

“Apa yang buat kami terkejut, doktor rupanya dah ada di bawah rumah. Saya pun berlari ke arah doktor dan tarik doktor. Jadi saya bawalah doktor naik kereta, duduk di belakang bersama Tokwan…

“Saya pun pandu kereta ke rumah Tokwan. Semua orang cemas waktu tu. Doktor pun senyap saja. Hanya Tokwan di belakang terbatuk-batuk. Lepas saya dan Haji Awang angkat Tokwan masuk ke rumahnyn, Tokwan mula sedar…

“Saya baringkan Tokwan di atas katil. Tokwan pesan sesuatu pada saya, ‘Esok kau datang sini, pindahkan aku ke tempat lain’ kata Tokwan dan sebelum saya sempat balik ke kereta bersama Haji Awang, Tokwan pegang tangan saya seperti ada lagi yang mahu dia pesan,” jelas En Samad.

“Apa yang Tokwan pesan lagi tu?” tanyaku. Makin bingung.

HASAN / 94
“Tokwan bisik ‘Yang ada dalam kereta kamu tu, bukan doktor. Hantar dia semula tempat tadi’. Saya dan Haji Awang toleh ke arah kereta. Pendua doktor senyum, pandang ke arah kami,” kata En Samad.


“Sesungguhnya ia dan pengikut-pengikutnya melihat kamu dan suatu tempat yang kamu tidak bisa melihat mereka,” (QS. Al-A’raf: 27) Janna (Jin)

“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari tanah liat yang kering kerontang yang berasal dari lumpur hitam yang diberi bentuk dan Kami telah ciptakan Jin sebelum di ciptakan manusia dari api yang sangat panas,” (Surah Al-Hijr ayat 26-27)

Adakah itu alam mereka, atau itu adalah permulaan alam Neraka?

Wallahualam…

Advertisements

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.