HASAN PART 10

BAB 10
MANTERA MERAH

Sampai sekarang aku masih gagal menghubungi Chaku. Apa agaknya sebab dia hilang macam tu sahaja Beg masih ada, orang dan keretanya ghaib.

Runsing betul, nak teruskan kenduri atau tak ni? Mana cukup tangan nak buat sorangsorang. Lagi pun aku manalah reti nak anjurkan majlis ni.

Tak apa, aku tunggu hingga tengah hari. Aku akan cuba semula, kalau tak dapat juga, terpaksa batalkan majlis ni. Aku dah minta cuti. Bazir je cuti aku ni.

Aku buat keputusan untuk ke Johor Bahru selepas tengah hari jika tiada apa berita dari si Chaku ni. Boleh juga aku melawat Hasan, lama tak dengar berita.

Jam 1 tengah hari— suara wanita masih lagi kedengaran dari telefon bimbitku, “Nombor yang anda dail, tiada dalam perkhidmatan kami”

Aku cuba lagi.

“Haih, apa gila si budak Chaku ni? Hilang macam tu sahaja. Makin pening kepala dibuatnya.”

Ahh pergi sahajalah ke Johor Bahru. Nanti kalau dia hubungi aku semula, aku larilah balik Mering. Sekejap je pun. 3 jam sahaja jika dengan Vitara hitam kesayangan.

Aku pun bersiap. Aku pergi ke bilik tamu. Katil bersepah. Beg Chaku masih ada di situ. Aku hanya mampu geleng kepala sahaja bila teringat si Chaku.

Aku mulakan perjalanan ke Johor Bahru, sampai di sana lebih kurang jam 4 petang. Aku terus ke hospital besar.

Tretttttt tretttttt! Aku telefon, “Hello! Bro Selan, kau ada di mana? Aku nak tanya pasal Hasan. Dia dekat wad mana?”

“Hasan tu ada di ICU. Kau pergi sana terus. Eh aku nak tanya sesuatu ni. Kau beriya-iya dengan si Hasan ni kenapa? Rajin kau datang JB, tak kerja ke?” tanya Dr. Maslan.

HASAN / 62
“Aku cutilah, bro. Hasan rapat dengan aku. Dia antara pesakit yang lama juga dekat wad. Lepas satu, satu masalah datang kat dia. Aku kasihan pada dia. OKlah, nanti aku terus ke ICU. Malam nanti aku tumpang tidur di hostel kau, OK? Aku tidur atas lantai pun tak apa. Esok pagi pagi aku kena balik Mering. Nak pandu kereta malam-malam, takut pula jalan tak nampak. Gelap!”

“OK, bro. Boleh, aku ada futsal malam ni. Kalau kau datang bilik hostel aku, aku tak ada, kau ambil kunci dalam kasut oren tu,” balas Dr. Maslan.

Aku pun terus bergegas ke ICU. Tak sabar!

“Kak, Hasan ada tak? Saya nak jumpa Hasan, pesakit dari Mering.”

“Encik, waktu melawat selepas jam 5 petang. Nanti lepas pukul 5, encik datang balik ya,” kata misi ICU dengan muka bengis.

Biasalah tu, jaga ICU ni stress. Penat! Tanggungjawab besar. Kena pantau pesakit kadang-kadang setiap jam sekali. IIu kalau satu pesakit, kalau ramai?.

Aku faham kebengisan itu. Kasihan misi-misi dekat ICU, tau!

“Kak, saya doktor dari hospital Mering. Saya yang refer kes Hasan tu ke sini. Saya nak review dia, boleh?” aku cuba lagi.’

“Oh! Cakaplah awak doktor. Boleh je. Doktor masuk lorong ni, bilik hujung skali, Hasan ada di situ. Intubated, masih belum sedar,” jawab misi bengis tadi yang tiba-tiba mula jadi peramah, comel dengan senyuman yang menawan.

Aku terus mencari katil Hasan.

SAYU.

Aku kasihan melihat Hasan dalam keadaan perlukan bantuan pernafasan, diletakkan dalam koma sementara.

Makin tekanan jiwa aku.

Tapi tak apalah, janji aku boleh tengok apa perancangan yang dibuat oleh pakar untuk Hasan. Aku berharap sangat agar Hasan selamat.

HASAN / 63
Macam mana ni? Aku dah sampai sini, nak buat apa lagi ni? Nak cakap dengan Hasan, dia sekarang ibarat tumbuh-tumbuhan.

Aku pun ke kaunter semula.

“Kak, siapa misi incharge kubikel hujung, ya? Saya ada perkara nak tanya sikit,”

“Oh, Kak Ina yang selalu jaga Hasan ni. Nanti malam, jam 8 dia sampai,” ujar misi comel
tadi.

Jadi, aku pun ambik keputusan sekali lagi untuk menunggu di ICU sehingga Kak Ina sampai. Iyalah, manalah tahu kalau Kak Ina ada dengar apa-apa dari Hasan.

Aku cuba hubungi Chaku, tapi masih lagi gagal. Aku pelik betul mana si Chaku ni pergi.

Jam 8 malam, selepas solat maghrib, aku ke ICU semula. Aku masih tunggu di luar kubikel Hasan. Aku duduk di atas kerusi menghadap kubikel Hasan dalam keadaan langsir tertutup. Aku mula mengantuk maka aku rebahkan kepala ke atas lutut sementara menunggu Kak Ina datang.

Tiba-tiba aku perasan ada kelibat orang yang sedang berdiri di sebalik langsir yang menutupi kubikel Hasan. Berdasarkan kakinya, ia kelihtan seperti sedang duduk menghadap katil Hasan.

Eh pelik!

Aku dongakkan kepala. Di celah langsir kelihatan bayangan manusia berjubah besar yang sedang duduk di tepi Hasan.

“Takkan Kak Ina dah sampai. Tak perasan pun orang lalu di depan aku sambil selak langsir.”

Pelik ni.

“Takkanlah sampai ke hospital besar dia ikut? Mungkin juga gangguan dari makhluk yang memang ada di hospital ni.”

Aku meremanglah juga, tapi taklah takut sangat bila aku pandang kanan masih ada misi yang sedang bekerja.

HASAN / 64
Aku pun buat keputusan untuk bangun dan selak langsir. Iyalah, apa nak takut terang benderang, kan?

Sebaik sahaja aku bangun, aku disimbahi cahaya yang membutakan dari atas tepat ke arah muka aku.

Teeeettttttttt!

Telinga aku berdesing lama. Aku pejamkan mata kerana cahaya terang bagaikan matahari berada betul-betul di hadapan muka aku. Aku aku tutup telinga dengan kedua-dua belah tangan aku kerana tak tahan dengan nada yang sangat bingit.

Tiba-tiba bunyi bingit tadi hilang dan aku lepaskan tanganku dari kedua-dua belah telinga.

Perlahan-lahan aku buka mata.

Aku bermimpi ke ni?

Keadaan sekeliling berubah sekelip mata.

Aku toleh kiri, toleh kanan.

Terbeliak biji mata aku.

Aku bagaikan dibawa ke alam lain.

Nauzubillah! Keadaan sekeliling kelihatan seperti hospital lama yang usang. Kosong. Kotor. Semua kubikel langsirnya terbuka, kecuali kubikel Hasan. Meja kaunter jururawat pun kosong. Tiada orang. Hanya aku seorang di sini.

Bagai dalam suatu dimensi yang bukan milik aku, yang bukan alam aku. Sehingga kini aku tak boleh faham, tapi yang aku pasti, itu adalah dimensi dalam cermin, dimensi hitam. Dimensi yang bukan untuk makhluk manusia yang masih bernyawa. Satu alam yang tak terjangkau dek akal.

Aku cubit peha sekuat hati sambil tutup mulut menahan sakit.

Keadaan yang suram, katil-katil berkarat, lantai kusam dan dipenuhi percikan darah lama merata-rata tempat. Aroma bau hanyir. Aku terpinga-pinga.
HASAN / 65

Di hujung wad aku nampak 2-3 kelibat berpakaian ala-ala jeneral askar, sedang duduk bercakap sesame sendiri di satu sudut, dan bertentangan mereka ada dua kelibat yang berpakaian seperti askar biasa sedang mendera seorang wanita berambut panjang yang sedang terbaring sambil meronta minta pertolongan.

Pandangan menjadi makin kabur seketika.

Aku menjadi makin pegun. Terketar satu badan dan dalam masa yang sama aku terduduk semula di atas kerusi yang bertentangan dengan kubikel Hasan. Di sebalik langsir, aku nampak jasad di katil kubikel itu bangkit dongak ke atas, dan kemudian memandang ke arah aku.

Hasan! Hasan! dan selepas itu aku terdengar tapak kaki yang sedang berjalan ke arah aku dari hujung wad.

Tap! Tap! Tap! Tap! Tap! — makin hampir

Aku pejamkan mata semula. Terkumat-kamit aku mula membaca surah yang ada dalam ingatan. Aku buka mata sebelah kanan untuk mengintai.

Dalam suram kegelapan tu, kelihatan ada kelibat bagaikan gergasi yang tak berkepala sedang berjalan perlahan menuju ke arah aku. Macam nak pengsan pun ada. Badan kebas.

Aku pejamkan mata semula, hanya mampu menyambung bacaan surah yang teringat dalam hati. Aku intai ke depan arah kubikel Hasan.

Bayangan kelibat yang duduk di tepi Hasan masih ada di situ. Tiba-tiba, bayang-bayang tu bangun dan menerpa dengan kedua-dua belah tangan ke langsir. Berlumuran darah merah menjejes jatuh menuruni kedutan langsir, dan ia memandang ke arah aku.

Ya Rabbi! Aku toleh ke kanan. Kelibat tak berkepala tadi hilang. Aku toleh ke belakang, pejam mata, lutut menggigil, goyang atas bawah sambil ibu jari dan jari telunjuk mencubit peha.

Aduh sakit! Aku rasakan sakit itu.

Adakah aku bermimpi?

Aku berharap sangat aku mimpi.

Tapi tak semudah itu.
HASAN / 66

Aku buka mata sedikit, dan intai semula.

Bayangan hilang, darah pun tak ada. Bersih macam biasa.

Zapp!

Dari bayang-bayang langsir tu, aku nampak bayang lambaian tangan kanan Hasan tibatiba menerjah tegak ke atas, bagaikan meminta sesuatu dari atas. Bagai meminta nyawa atau bagaikan tercekik, kemudian tangan itu dia genggam!

“Eh, Hasan dah terjaga dari koma!”

Dalam keadaan yang macam tu, seram tak seram, aku tak kira, yang penting keselmatan Hasan sekarang ni. Aku cepat-cepat cuba bangun, walaupun berat rasanya. Aku selak langsir.

Malangnya, aku dipermainkan sekali lagi.

Kadang-kadanag rasa macam mimpi pun ada. Dunia berubah sekelip mata, in split second kata orang putih. Di sebalik langsir itu, tiada apa yang berlaku.

Hasan masih koma, kedua-dua belah tangannya layu dan kaku seperti biasa.

Berpeluh peluh, dan terketar badan aku. Fuh! Masa tu aku tak boleh faham perasaan tu. Macam biasa, takkanlah aku nak menjerit dalam ICU. Nanti kena cop doktor gila, lagi-lagi bila tiba-tiba jerit dalam ICU. Tak pasal-pasal kena halau.

Aku toleh keatas kanan kiri dan bawah. Lampu terang benderang semula, semua jururawat sedang sibuk bekerja.Riuh dan kecoh.

Dalam kesibukan misi yang sedang bekerja, tiba-tiba aku perhati ada satu jasad yang yang statik. Aku ternampak nun di hujung sana, ia sedang berdiri tegak, pegun di kala yang lain sibuk berjalan.

Dia senyum ke arah aku sambil menggerakkan tangannya melambai mengajakku untuk ikut. Pelahan-lahan dia kemudiannya undur dan hilang menembusi dinding.

Cepat-cepat aku pun terus keluar dari ICU untuk ambil angin di laluan luar ICU. Tak boleh tahan macam ni.

HASAN / 67
Fuhhh… fuhhh… fuhhh! Aku hembus nafas laju

Masa tu memang basah muka dan baju aku.

Dalam keadaan cerah pun kau muncul. Kau masukkan aku ke alam lain. Angkara apa ni? Dalam masa yang sama, aku rasa aku bermimpi.

Aku meraba peha. Ya memang sakit. Aku ke tandas, aku buka seluar untuk periksa peha yang sakit dicubit itu. Biru, lebam dan mula bengkak peha aku. Aduh!

Aku keluar dan berjalan semula ke arah ICU. Dalam perjalanan aku nampak sekumpulan misi yang sedang berjalan dari arah yang bertentangan, masuk ke ICU. Aku rasa, mesti salah seorang tu adalah Kak Ina.

Setelah mereka masuk dalam ICU, aku akan tunggu 30 minit sebelum bertanya, sebab aku tau dia orang mesti ada proses passover. Ia memang makan masa yang lama.

Aku duduk terpaku di lorong laluan ICU.

Apa kaitan objek askar lama tadi? Nampak macam askar British, tapi apa pula kaitan dengan aku? Kenapa aku nak kena saksikan sekumpulan askar yang menyeksa wanita tu? Siapa pula misi yang tiba-tiba hilang menebusi dinding itu? Ada kaitan ke tak ada ni?

Selepas setengah jam, aku masuk semula ke ICU mencari cari Kak Ina. Kak ina ada di situ. Tepat sangkaanku. Aku kenalkan diri dan aku mula bertanya, “Kak saya nak tanya sikit, sepanjang akak jaga dia di ICU ni, ada tak si Hasan ni meracau cakap apa-apa?”

“Doktor OK ke ni? Mengah semacam je. Oh masa dia masuk sini, mmg dia intubated (dipasangkan tiub bantuan pernafasan) dari wad. Jadi, memang dia sampai sini dah ditidurkan,” jawab Kak Ina.

“Oh ya ke? Hmm tak apalah. Dia dari wad mana satu? Kenal tak misi incharge yang pernah jaga dia?” aku tanya lagi.

“Dia dari Wad Anggerik. Sebelum dia transfer ke sini, Kak Zila yang jaga dia. Kenapa ya, doktor? Soalan pelik sangat. Selalunya doktor tanya kondisi pesakit. Ini tanya meracau pula,” balas Kak Ina.

“Tak ada apalah, kak. Tak apa, nanti saya ke Wad Anggerik, cari Kak Zila,” aku balas semula.
HASAN / 68

Aku mulakan langkah untuk keluar dari ICU, tiba-tiba…

“Sekejap, doktor!” panggilan dari Kak Ina membantutkan perjalanan aku.

“Tak silap saya, sewaktu Kak Zila transfer pesakit ni ke sini 2 hari lepas, dia ada cerita sesuatu. Saya tak pasti ini meracau ke tak,” kata Kak Ina.

Fuh, telinga aku tiba-tiba jadii tajam bila terdengar perkataan ”cerita sesuatu,” tu. Aku pusing semula.

“Kak Zila cerita apa?” aku tak sabar.

“Pesakit ni pelik. Kalau ambil darah waktu pagi, mood dia OK sahaja. Tapi, kalau dah malam, walaupun tiada siapa pun datang ke katil dia, nanti dia bising, suka marah sorangsorang.”

“Lagi, kak? Dia cakap apa sorang-sorang tu, apa yang dia marah?” Aku mencelah pantas tak sabar…

“Aku tak nak! Jangan ambil darah aku! Kau sial! Kau pergi! Balik SARANG!!

“Balik sarang! Balik sarang sial!

“Maaf saya bukan nak mencarut, tapi Hasan cakap macam tu. Saya hanya ulang semula,” balas Kak Ina sambil tersenyum segan.

“Padahal bukannya ada jururawat yang datang untuk ambil darah pun malam-malam. Bila pagi, misi ambil darah, dia OK je, senyap je Hasan tu macam tak berdaya. Tapi, bila malam dia jadi agresif. Kita ada juga beritahu doktor, doktor kata mungkin halusinasi Hasan sahaja sebab dia pun dalam keadaan lemah dan tak cukup darah.

“Itu sajhaalah yang Kak Zila cerita. Kadang-kadang dia ada cakap panjang lagi tapi Kak Zila cerita sampai situ sahaja. Saya dengar cerita, semua staf takut nak jaga Hasan. Kak zila seorang sahaja yang selalu jaga dia,” balas Kak Ina yang sedang buat riak muka pelik.

Dalam fikiran aku masa tu, ‘Apa yang Hasan bising tentang darah? Darah apa ni? Apa yang menggangu Hasan? Apa yang penting sangat tentang darah tu?’

Balik sarang? Sarang apa ni? Sarang burung aku tahulah! Ada sarang apa lagi ni?
HASAN / 69

Arghhhhh!!

Aku pun terus ke Wad Anggerik untuk cari Kak Zila. Aku kenalkan diri di kaunter misi dan terus bertanya, “Kak Zila ada tak? Staf yang sebelum ni jaga Hasan.”

“Oh Kak Zila ambil cuti mengejut. Nak balik kampung katanya. Empat hari dia cuti. Minggu depan, hari Isnin baru dia masuk. Kenapa, doktor?” balas misi.

“Tak ada apalah. Kak Zila yang jaga Hasan, kan? Saya nak tanya sikit pasal Hasan. Masa dia ada di wad ni. Kau orang tau apa-apa tentang Hasan?”

Muka mereka terus berubah. Ada yang berpura-pura guna computer, ada yang terus bangun dan berlalu pergi. Muka misi yang aku sedang bercakap ni pula, tiba-tiba pucat.

“Emmmm… saya tak tahu apa-apa,” balas jururawat tadi sambil pandang ke wajah kawan sekerja yangg sedang pura-pura menaip di komputer.

Sementara itu aku ternampak kawannya tadi buat tanda geleng kepala sedikit sambil tenung mata tajam ke arah misi tu.

“Betul, kami tak tahu apa-apa. Nanti doktor Cari Kak Zila-lah minggu depan, dan tanya dia,” balas misi yang pucat tu.

Aku dapat rasakan ada perkara yang mereka cuba sembunyi.

Sama ada tak berani, tak sanggup, atau ada perkara yang mereka tak boleh beritahu. Pasrah, aku nak kena datang balik pula minggu depan. Tapi sekurang-kurangnya, ada juga idea tu.

“Jangan ambil darah aku. kau balik sarang!”

Aku akan cuba cari maksud ni.

Aku masuk dalam kereta dalam keadaan berkobar. Aku telefon salah sorang dari kawanku di Mering, En Samad. Dia memang orang lama yang bekerja sebagai dressar di Mering. En Samad ni banyak kenalan terutama ketua kampung, bomoh, pawing atau sesiapa sahaja. Dia kenal semua orang.

HASAN / 70
Aku pun telefon En Samad, dan ceritakan semuanya dari awal hingga kini. Aku cuba bertanya apa kesinambungan ayat dari Hasan tu.

“Ya Rabbi! Teruk kau kena ni. Sampai macam ni skali. Dulu ada satu doktor kena juga, tapi taklah sampai macam ni. Tak apa, saya tanya dekat Haji Awang. Nanti saya telefon semula.”

Tenenettt tenenett!

En Samad telefon semula.

“Doktor! Awak esok pagi-pagi, balik Mering. Cepat tau!”

“Eh, kenapa pula cepat-cepat ni. Memang saya rancang nak balik. Haji Awang ada cakap apa-apa tak?”

“Macam ni, doktor. Dari segi ayat darah dan sarang tu, nampaknya macam si Hasan diganggu dengan sumpahan MANTERA.

“MANTERA MERAH tu, doktor! Saya tak pasti, tapi kalau nak tau lebih lanjut, Haji Awang nak jumpa awak. Esok subuh, saya dengan Haji Awang tunggu di masjid kampung, ya.”

“Baiklah En Samad. Esok subuh kita berjumpa. Saya bertolak dari sini lebih kurang jam 4 pagi. Saya terus ke sana,” aku balas semula.

Fuh, buat pertama kali dalam hidup aku dengar Mantera Merah. Aku cuba Google, tak ada apa pun. Haih, runsing betul.

Aku pun terus pergi ke hostel Dr. Maslan dengan hajat nak tumpang tidur. Esok pagi-pagi nak balik Mering. Tak sabar nak jumpa Haji Awang.

Setibanya aku di hostel Hasan…

Tok! Tok! Tok!

Tak ada yang menjawab. Aku teringat semula, Dr. Maslan ada cakap kunci di dalam kasut oren. Kalau dia tak ada maknanya dia dah pergi futsal. Aku pun cari kasut oren, kasut dah lusuh. Fuh, dengan bau tengik dia, tak sanggup nak seluk tangan, tapi terpaksalah!

Dah masuk, lepas mandi solat semua. Rasa lapar pula. Si Dr. Maslan ni tak balik-balik lagi. Aku pun tengoklah apa yang ada di dapur.
HASAN / 71

Chet! Memang dasar bujang. Haprak! Apa pun tak ada!

Perut dah lapar. Selongkar punya selongkar, jumpa juga la biskut kering bawah tu. Nak keluar, malas dah. Esok nak bangun awal. Aku telefon si Maslan ni tak berjawab. Tengah rancak main futsal la tu.

Aku pun mesej, “Aku dah masuk rumah ni. Pintu aku kunci. Kau ada kunci spare, tak? Aku nak tidur dulu. Nanti apa-apa, kau ketuklah.”

Dalam rumah tu ada tiga bilik. Dua bilik berkunci. Aku tidur di dalam bilik Dr. Maslan. Dalam bilik dia, ada satu katil dan satu tilam di lantai. Mestilah aku tidur di bawah, kan?

Aku pun tutup lampu dan lelapkan mata. Tak lama selepas itu, aku dikejutkan dengan bunyi pintu hadapan.

Kecak kecak kecak! Bunyi tapak kaki berjalan.

Aku lihat telefon, lebih kurang 1 pagi. Dulu sewaktu aku kerja di Johor Bahru, memang biasanya kami main futsal dari jam 10 hingga 12 malam.

“Pukul 1 pagi baru balik si Maslan ni, terus buka pintu. Mesti ada kunci sparelah tu. Tak payah aku nak bangun buka,” bisik hati.

Aku sambung lelap.

Dr. Maslan pun masuk, hidupkan lampu dan tutup lampu semula. Kemudian terus baring atas katil. Aku terjaga dalam keadaan mamai, separa kabur penglihatan dalam gelap.

“Oi Selan? Lambat balik, pergi la mandi dulu baru tidur. Kang mimpi setan nanti,” aku
tegur.

Si Maslan ni kalih, pusing ke arah lain.

“Penat sangatlah tu. Sanggup tidur tak mandi, mesti berkepam ketiak dia tu. Lantaklah,” bisik hati.

Aku lelap semula.

Kringggg kringggg!
HASAN / 72

Bunyi telefon berdering tapi masa tu aku rasa terlampau mengantuk jadi aku abaikan panggilan tu.

Bunyi lagi— Kringggg kringgg!

Ni dah masuk kali ke-4 ni. Stress betul. Aku baru je nak seluk tangan cari telefon dalam bantal, panggilan tu tamat.

Tiba-tiba… ting ting! bunyi mesej.

Aku seluk tangan meraba cari telefon dalam gelap tu.

1 new message— zaman tu masih aktif pakai SMS walaupun ada Whatsapp

Sambil aku buka mata kecil, perit disinar cahaya terang dari telefon bimbit. Mesej dari… Dr. Maslan.

Sebelum aku buka mesej tu, aku sempat mengintai Maslan yang sedang tidur nyenyak baring mengiring menhala ke arah aku.

“Tidur mati si Selan ni,” bisik hati.

Aku rapatkan screen telefon ke muka dan mula mengamati apa yang tertulis di paparan skirn telefon.

“Zeed, aku dekat Jabatan Kecemasan ni. Kaki tergeliatlah. Bengkak. Aku tengah tunggu nak X-ray ni. Aku tak ada kunci spare. Nanti kau biar je pintu tu tak terkunci OK. Sekejap lagi aku balik.”

Pada ketika aku sedang membaca mesej yang di hantar dari Maslan, jiwa aku goyah, bagai nak pecah degupan jantung.

Dengan perlahan, aku alihkan telefon dari muka. Dr. Maslan yang tadinya sedang tidur mengiring menghala ke arah aku sambil matanya masih tertutup. Tiba-tiba… dalam sinar suram kegelapan malam yang hanya diterangi biasan cahaya dari luar, Dr. Maslan membuka kedua matanya dan senyum ke arah aku.

Di kala itulah akhirnya aku terpaksa melepaskan jeritan yang telah sekian lama aku pendamkan. Jeritan paling kuat yang pernah aku lepaskan.

Advertisements

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.