AKU DAN MERING

“Doktor! Tadi ada panggilan dari pejabat, bos nak jumpa!” kata seorang misi di yellow zone, Jabatan Kecemasan Hospital Besar Johor Bahru.

Tersentak aku yang sedang mencucuk branula pada seorang pesakit menoleh ke belakang, hilang fokusku pada waktu itu.

‘Alamak, kenapa pula bos panggil ni?’ bisik hatiku.

“Entahlah, saya dapat pesanan macam tu je, mana saya tahu. Doktor pergilah terus ya.

Nampak macam serius je bos tadi,” Kata misi itu tadi.

Kata-kata itu telah menimbulkan seribu keraguan., dengan tambahan muka bos yang sedang serius lagi membuatkan aku lebih goyah.

“Ok sekejap. Bagi saya siap pasang branula ni dulu. Lepas tu saya pergi ke ofis,” balasku.

Aku pun menyambung semula kerja yang tertangguh dengan penuh keraguan.

“Aduh, sakit!” jerit pesakit.

“Maaf ya encik, tak masuklah pula. Saya kena cuba lagi ni,” balas aku sambil memandang ke bawah.

“Dahlah! Panggil doktor lain pula cuba! Sakit tau!” jerit pesakit tu tadi.

“Maaf encik, maaf. Baiklah kejap lagi saya minta kawan lain tolong pasang kan. Saya minta maaf banyak-banyak,” jelas aku penuh rasa serba salah.

Aku berlalu pergi. Berjalan perlahan menuju ke Bilik Ketua Jabatan Kecemasan. Siapa tak kenal DR BORHAN, seorang bos yang tegas dan garang. Walaupun begitu, beliau juga adalah seorang bos yang perihatin dan boleh diajak berbicara.

‘Aduh, aku buat salah apa pula kali ni’ bisik hati

HASAN / 4

Memikul tanggungjawab sebagai seorang doktor bukanlah mudah. Bukan sahaja merawat pesakit, namun harus juga berhati hati dengan isu legal. Jika kau tersilap langkah, dokumentasi tidak lengkap, kau bakal diheret ke muka pengadilan.

Itulah yang menjadi titik notah kepada kami para doktor, walaupun kami hanya manusia biasa yang sentiasa terdedah dengan kesilapan, namun untuk kami amat berbeza, segala tindak tanduk, gerak geri dan keputusan, wajib dilakukan dengan sempurna dan berhati hati.

TAKUT!

Ya, satu badanku terketar ketika berjalan. Menantikan sesuatu yang buruk bakal tiba.

Tok! Tok! Tok! aku mengetuk pintu bilik Dr. Borhan.

“Masuk!” balas Dr. Borhan dari dalam bilik.

Aku pun membuka pintu perlahan-lahan, sambal menjenguk serta mengintai ke arah dalam bilik.

Muka Dr. Borhan yang sedang dalam kemurungan membuatkan aku mahu berpatah balik, tetapi ke arah mana yang nak ku tuju ?

Tiada pilihan! Aku perlu hadapi sekarang juga!

Dengan penuh debaran, aku pun melangkah masuk.

“Assalamualaikum, bos. Bos cari saya tadi?” tanya aku perlahan.

Lantas Dr. Borhan mendongak dan memandangku dengan satu renungan yang agak

tajam.

Terdiam seketika.

,” KAU TAHU KENAPA AKU PANGGIL KAU NI?” tanya Dr. Borhan dengan bengis.

“Emmm… emm… saya tak pasti, bos. Saya ada buat salah ke?” tanya aku penuh pasrah.

“HARI NI HARI TERAKHIR KAU DI SINI!” balas Dr. Borhan.

Terbeliak mata. Aku berdiri kaku memandang ke arah Dr. Borhan.

HASAN / 5

“Tapi kenapa bos? Kenapa saya dibuang kerja?” tanya aku lagi

“Kau bacalah surat ni!” balas Dr. Borhan.

“Sukacita dimaklumkan anda telah pun ditempatkan di Hospital Daerah Mering, Johor.

Sila laporkan diri satu minggu dari sekarang,” bacaku perlahan.

Mata aku mula mendongak ke atas, terkial-kial cuba mencari di manakah Daerah Mering.

“Bos, saya kena pindah ke hospital daerah,” balasku.

“Ha ha ha,” satu gelak tawa yang besar, terbahak-bahak Dr. Borhan mentertawakan aku.

“Saja kacau kau. Bukan main pucat muka kau tadi,” balas Dr. Borhan sambil menyambung semula gelak itu.

“Bos ni, saya mati-mati ingat saya kena buang kerja atau buat kesalahan besar.

Memanglah pucat saya, bos,” balasku.

“Ha ha ha. Lawak betul aku tengok muka pucat kau tadi. Dah dah, kau kerja sini lagi tiga hari lepas tu aku kasi kau cuti untuk kau bersiap pindah ke sana,” balas Dr. Borhan.

“Ala, beratnya hati nak tinggalkan tempat ni. Saya dah seronok di sinilah bos,” balasku.

“Biasalah tu. Kau sekarang sudah gred UD44, dah jadi medical officer. Wajiblah kerja di kawasan daerah. Selalunya tak lama. Paling lama pun setahun. Lepas tu kau boleh pindah hospital lain pula,” terang Dr. Borhan.

Tiada pilihan, aku harus mengikut arahan yang datangnya dari bos besar di Kementerian Kesihatan.

Kerana ayat yang terakhir dalam surat tersebut.

“YANG MENURUT PERINTAH,”

Maka, kau tiada pilihan lain selain menurut perintah. Aku mula terkial-kial mencari koordinat daerah Mering.

‘Duduk kampunglah aku lepas ni’ bisik hatiku yang pasrah.

HASAN / 6

“Bos, Mering tu dekat mana?” tanyaku.

“Daerah Mering tu, kalau dari sini menghala dari Kota Tinggi naik ke atas, sebelum sampai Endau Johor. Dekat tepi laut,” balas Dr. Borhan.

Bila terdengar sahaja laut, aku jadi tidak sabar. Aku memang sukakan laut kerana salah satu hobiku adalah memancing. Aku memancing sejak dari kecil lagi. Mengikut ayahku ke mana sahaja dia pergi.

Kini, kepasrahan tadi bertukar menjadi rasa seronok dan teruja. Namun dalam masa yang sama, rasa berat untuk aku berpisah dengan Dr. Nelly.

Aku pun tak pasti sama ada kami ini kekasih atau hanya sekadar kawan baik.

Rentak kami bagaikan kekasih, tapi kami tidak pernah berterus terang antara satu sama lain. Aku mengenali Dr. Nelly sejak dari mula mendaftarkan diri di Hospital Besar Johor Bahru ini sebagai Houseman.

Pada waktu itulah detik aku mengenali Dr. Nelly dengan lebih rapat. Kami sering bersama walau apa pun jua dugaan yang tiba.

Berat rasa hati untuk aku jelaskan pada Dr. Nelly.

Hi! You, saya nak ajak jumpa lepas kerja nanti. Macam biasa kita pergi ke Warung Goreng Pisang Mawar nak? Ada benda yang saya nak cerita,” jelas aku semasa membuat panggilan kepada Dr. Nelly.

Petang tu kami pun berjumpa. Keceriaan Dr. Nelly membuatkan aku rasa makin berat untuk menerangkan apa yang bakal berlaku nanti.

“Awak, saya nak beritahu something ni,” aku memulakan perbualan.

“Kenapa? Apa yang something ni? Selalu awak terus cakap je. Kali ni segan-segan pula.

Cepatlah cakap,” balas Dr. Nelly.

“Ehmm…awak baca surat ni,” balas aku sambil meletakkan surat tadi di atas meja di hadapan Dr. Nelly.

HASAN / 7

Ternyata raut wajah Dr. Nelly sedikit berubah. Dia terdiam. Bungkam. Bisu seribu bahasa. Tangan yang memegang surat itu tadi, kini dilepaskan. Dr. Nelly merenung ke arah meja. Masih lagi mendiamkan diri.

“Bila awak kena pergi?” tanya Dr. Nelly perlahan.

“Hmmm, minggu depan. Terpaksa menurut perintah,” balasku.

“Jauh kan tempat ni?” balas Dr. Nelly.

“Hmm ok juga, taklah jauh sangat. Masih dalam Johor. Rilek la, nanti weekend, saya datanglah Johor Bahru,” balas aku tenang.

Dr. Nelly memandang aku semula. Tangan aku digenggamnya.

Promise OK?” tanya Dr. Nelly.

Yes, I promise,” balasku.

Nelly.

Belum sempat aku mengenalinya, masih banyak lagi cerita tentang Nelly yang aku tidak tahu. Nelly seorang yang akan berkongsikan cerita kisah hidupnya apabila dia rasakan perlu, sikit demi sedikit. Mungkin itulah karekter Dr. Nelly.

Tapi, apakan daya aku harus meninggalkan Nelly di sini. Aku pula nun jauh di sudut hujung negeri.

Hari berlalu dengan pantas, dan akhirnya tiba hari yang dinantikan. Aku sibuk mengemas dan memenuhkan segala barang keperluanku ke dalam bonet kereta. Lebih kurang jam 6 petang, aku bertolak ke daerah Mering.

Satu daerah yang belum pernah aku jejakkan kaki seumur hidup aku. Entah bagaimana rupanya agaknya. Tapi yang pasti segala hiburan bandar tidak mungkin wujud di situ. Walaupun aku dilahirkan di Kuala Lumpur sebuah bandar yang pesat dan maju, agak rimas buat ku dikelilingi hutan batu, segalanya bangunan kiri dan kanan. tidak mengapa, aku lebih sukakan aktiviti luaran. Dengar cerita banyak tempat memancing di situ sungguh mengujakan.

HASAN / 8

Pada asalnya aku mahu bertolak lebih awal, tetapi banyak pula prosedur untuk keluar dari kuarters. Banyak dokumentasi dari pejabat yang perlu diisi. Berlarutan hingga ke jam 3 petang dan akhirnya semua proses itu berjaya dilunaskan.

Kini aku bukan lagi penghuni kuaters kediaman Hospital Besar Johor Bahru.

Aku bakal memulakan hidup baru di suatu daerah yang belum pernah aku jejak, namun begitu banyak cerita yang aku dengar tentangnya. Cerita tentang betapa hebatnya sejarah pahlawan tempatan dan macam-macam lagi termasuklah beberapa cerita tentang lagenda Batu Cawan.

Aku pernah baca di blog tentang sejarah Batu Cawan. Tempat berkumpulnya makhluk ghaib pada satu ketika dahulu. Tak pasti kebenaran kisah itu.

Walaupun dengan hati yang berat untuk aku tinggalkan Johor Bahru, terutamanya terpaksa berjauhan dengan Nelly namun ada sedikit rasa tidak sabar di hati.

PANTAI!

Aku bakal bekerja di sebuah hospital daerah yang terletak di hadapan pantai. Pastinya indah bekerja sambil bercuti. Seronok bukan?

Aku memulakan perjalanan petang itu dengan tenang. Subaru Impreza WRX STI, kereta kesayanganku kini memecut melalui selekoh berliku menuju ke daerah Mering. Tenang sekali, aku kini jauh dari kesibukan dan hiruk-pikuk bandar. Perjalananku ditemani ladang-ladang kelapa sawit dan hutan rimba di kiri dan kananku.

Hari makin gelap…

Lampu jalan ada yang menyala, ada yang tidak. Jalan pun tak sesibuk di bandar. Aku memandu bersendirian di dalam kegelapan malam. Pupil mata yang kekal mengembang mencari biasan cahaya lampu kereta dari luar. Aku menguap berkali-kali. Sekali sekala aku memainkan lagu rock & roll untuk mengisi kebosanan…

Setelah dua jam memandu, kini aku mula nampak signboard SELAMAT DATANG KE DAERAH MERING. Aku tahu, kini aku hampir tiba ke destinasi yang dituju.

Jam menunjukkan 8 malam.

HASAN / 9

Jalan masih gelap, namun terlihat masih ada biasan cahaya dari lorongan rumah-rumah di tepi jalan yang menerangi pemanduan aku malam itu. Dalam keletihan memandu dan dengan jalan yang berliku tajam, ku rasakan mataku mula layu dan mengantuk.

Namun di suatu sudut jalan, di selekoh sebelah kanan sebelum pencawang TNB, pada jarak yang agak jauh dan samar, bagaikan ada sesuatu yang berdiri, membuatkan mataku terbuka semula, terbeliak cuba mencari fokus. Noktah pupil yang tadinya makin besar, kini mula mengecil semula.

Bayang-bayang berwarna keputihan, seakan akan memberi satu susuk tubuh yang tinggi bagaikan tangannya sedang mengendong anak kecil.

Aku menggosok mata berkali-kali. Melihat kelibat itu yang menyerupai susuk tubuh.

Kini aku memandu perlahan…

Aku makin hampir…

Pandangan makin cerah. Bayangan susuk tadi kini ternyata lebih jelas. Aku melepasi kelibat itu dan sesekali aku mengintai pada cermin belakang. Kelibat tadi yang menoleh memandang ke arah aku semula.

Cepat-cepat aku menukar perhatian aku ke hadapan. Badan mula meremang. Aku rasakan bagai ada sesuatu yang tak kena.

“Astaghfirullahalazim!” bisik hati. Jantung berdegup laju sambil menelan air liur.

Namun, kata minda ku, ‘Kau mengantuk je tu, mata kabur. Itu tidak benar.’

Sejenak aku berfikiran positif semula. Sambil jari jemariku mengaru-garu kepala.

Akhirnya, kini aku mula memasuki Bandar Mering. Lampu-lampu jalan kini semuanya bernyala.

Cerah semula. Bandar yang kecil serba lengkap dengan kemudahan yang ada.

Not bad, I can survive this,” bisik hati.

Sambil itu aku terus memandu, mencari hotel yang terletak betul-betul di hadapan hospital.

Jam 9 malam— kini aku tiba di hadapan hotel. Aku memberhentikan kereta di tepi jalan.

Aku keluar dan melihat satu panorama.

HASAN / 10

Kini di hadapanku, sebuah hospital daerah yang usang dimamah usia. Segalanya tentang kisah aku yang tak pernah aku gambarkan selama ini bakal terjadi dalam hidupku. Di sinilah bermulanya…

Aku dan Hospital Daerah Mering

Apa Pendapat Anda?

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.